Utusan Online - Pahang |
- Peluang penganggur 'promosikan diri'
- Sikap terlalu pilih kerja punca pengangguran
- RM10.15j besarkan rumah peneroka
| Peluang penganggur 'promosikan diri' Posted: Peluang penganggur 'promosikan diri'Oleh Mohd. Fairuz Yusof dan Zamzurina Ahmad
KUANTAN 21 Feb. - Program Penempatan Pekerjaan (3P) Azam Kerja dan temu duga terbuka anjuran Kementerian Sumber Manusia di sini berjaya menarik lebih 4,000 pencari pekerjaan dan penganggur bagi meninjau peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh majikan di negeri ini. Program yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu lalu turut disertai lebih 40 majikan bagi mencari pekerja baru mengisi jawatan yang ditawarkan kepada golongan terbabit. Dengan tawaran gaji bermula RM750 sehingga RM4,000 sebulan itu, ia berjaya menarik golongan terbabit khususnya lepasan universiti mencari peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh majikan. Program yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Datuk Maznah Mazlan itu ternyata mendapat sambutan menggalakkan sehingga ada yang datang dari luar daerah ini untuk mencari pekerjaan. Menurut Maznah, kehadiran golongan tersebut membuktikan kerajaan bersungguh-sungguh menangani masalah pengangguran di negara ini supaya rakyat memiliki pekerjaan sesuai dengan kelulusan akademik masing-masing. "Setakat ini tindak balas masyarakat begitu positif terhadap program itu. Ramai yang datang sama ada mereka kalangan penganggur atau yang sudah bekerja tetapi ingin mencari pekerjaan lain. "Kementerian mendapati cara itu adalah sesuai dan berharap pencari pekerjaan tersebut tidak memilih kerja sehingga menyebabkan mereka tidak mempunyai pengalaman dalam bidang tertentu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program tersebut di Indera Mahkota di sini baru-baru ini. Program tersebut dianjurkan bersama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pahang dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Maznah berkata, program itu mempunyai matlamat memastikan setiap rakyat mempunyai pekerjaan untuk menyara diri dan keluarga. Tambahnya, selain itu ia bertujuan mengatasi masalah pengangguran dan mengurangkan pergantungan negara kepada kebanjiran pekerja asing yang datang merebut peluang pekerjaan di negara ini. "Perkara itu menjadi sumber informasi kepada golongan pencari pekerjaan dan peluang majikan menjalankan temu duga terbuka serta mendapatkan pekerja yang sesuai. "Secara tidak langsung program seperti itu memastikan setiap rakyat mempunyai peluang mendapatkan pekerjaan, latihan dan keusahawanan," jelasnya. Mengenai program Azam Kerja, Maznah menjelaskan, ia dirangka bagi membina keupayaan dan mewujudkan pekerjaan. Katanya, individu yang produktif akan dipadankan dengan jawatan kosong yang ada bagi mempertingkatkan pendapatan. "Bagi mereka yang kurang produktif, mereka akan diberi bantuan serta peluang latihan dalam mempertingkatkan kemahiran mereka. "Namun, kementerian menyasarkan golongan miskin tegar dan miskin yang didaftarkan dalam sistem e-Kasih dengan matlamat memberikan pekerjaan kepada mereka," katanya. Jelasnya, program itu diharap dapat membantu dan memainkan peranan penting membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan. Dalam pada itu, kementerian juga menyediakan perkhidmatan pendaftaran dan penjodohan pekerjaan menerusi portal Jobs Malaysia. Beliau berkata, portal tersebut membolehkan pencari kerja membuat pendaftaran dan permohonan pekerjaan secara dalam talian. Tambahnya, pada masa sama, majikan boleh mengiklan dan menguruskan permohonan pekerjaan yang diterima menerusi portal itu. "Bagi membantu mereka yang tidak mempunyai kemudahan Internet serta tidak mahir menggunakan komputer, kaedah pendaftaran secara manual boleh dilakukan yang mana pencari pekerjaan boleh hadir ke pejabat tenaga kerja untuk mendapatkan bantuan," katanya. | ||
| Sikap terlalu pilih kerja punca pengangguran Posted: Sikap terlalu pilih kerja punca pengangguranKUANTAN 21 Feb. - Sikap terlalu memilih pekerjaan merupakan faktor utama meningkatnya bilangan pengangguran di negara ini. Walaupun pelbagai usaha dilakukan kerajaan termasuk yang terkini, Program Penempatan Pekerjaan (3P) tetapi jika pencari pekerjaan itu masih meletakkan beberapa syarat maka peluang pekerjaan seolah-olah tertutup buat mereka. Tinjauan Utusan Malaysia pada program yang berlangsung selama dua hari berakhir semalam mendapati rata-rata daripada mereka memilih untuk tinggal bersama keluarga dan bekerja di dalam pejabat sahaja. Jika syarat itu yang diletakkan mereka maka masalah pengangguran tidak akan dapat ditangani dengan berkesan. Menurut seorang pegawai dari Felda Plantation Sdn. Bhd., Yusof Anuar Abdul Wahab, sepanjang dua hari menyertai Program 3P, kebanyakan pencari kerja tidak berminat dengan kerja yang ditawarkan. "Kalau berdasarkan gaji, ia amat setimpal dan mereka boleh menjana lebih pendapatan sekiranya rajin membuat kerja lebih masa. "Daripada 340 kekosongan yang ditawarkan iaitu daripada jawatan pembantu am, pemandu lori dan penuai, hanya 55 kekosongan sahaja dapat diisi," katanya ketika ditemui di Kompleks Dagangan Mahkota di sini. Tambahnya, selain gaji, mereka juga akan menerima faedah pekerjaan seperti perumahan, subsidi bekalan air dan elektrik, pengangkutan persekolahan anak-anak dan bantuan perumahan selepas persaraan. "Bagaimanapun, semua ini gagal menarik minat pencari kerja kerana mereka lebih berminat bekerja di dalam pejabat yang berhawa dingin daripada bekerja di ladang," jelasnya. Bagi Penolong Pengurus Besar Sumber Manusia, Canon Opto Malaysia, Amir Rashid Mohd. Talha, masalah utama yang menyebabkan kegagalan mereka mendapatkan pekerjaan ialah prestasi calon berkenaan yang terlalu tinggi daripada jawatan ditawarkan. "Sebagai contoh, jawatan juruteknik hanya memerlukan kelulusan sijil tetapi kebanyakan calon yang hadir adalah di kalangan pemegang diploma dan ijazah. "Jika kita menerima mereka maka akan menimbulkan masalah dari aspek skim gaji yang tidak sesuai dengan kelulusan," jelasnya. Sementara itu, bagi seorang pencari pekerjaan, Mohd. Azman Yahia, 24, dia memilih bekerja di sekitar bandar ini kerana enggan berjauhan dengan keluarga. "Cukuplah saya berjauhan dengan keluarga di zaman persekolahan dan universiti memandangkan ibu dan bapa semakin tua. "Justeru, saya akan berusaha mendapatkan apa sahaja pekerjaan di sekitar sini walaupun terlepas beberapa peluang pekerjaan lain yang memerlukan saya tinggal di luar daripada Pahang," jelasnya yang berasal dari Felda Chini, Pekan dekat sini. | ||
| RM10.15j besarkan rumah peneroka Posted: RM10.15j besarkan rumah penerokaOleh SALEHUDIN MAT RASAD KUALA KRAU 21 Feb. - Felda meluluskan RM10.15 juta bagi skim pinjaman pembesaran rumah kepada 359 peneroka melibatkan tiga tanah rancangan yang terletak di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau sehingga akhir Januari lalu. Pengurus Besar Felda Wilayah Jengka, Saari Din berkata, tanah rancangan terbabit ialah Felda Jengka 22, Felda Jengka 23 dan Felda Jengka 25 bagi tujuan membesarkan rumah asal yang disediakan oleh agensi itu sejak 30 tahun lalu. Menurutnya, seramai 119 peneroka Felda Jengka 22 menerima pinjaman RM3.06 juta diikuti 145 peneroka Felda Jengka 23 (RM4.7 juta) dan 95 peneroka Felda Jengka 25 (RM3.2 juta). "Secara keseluruhan Felda meluluskan sebanyak RM84.36 juta kepada 2,736 orang peneroka membabitkan 37 rancangan Felda Wilayah Jengka sepanjang skim itu diperkenalkan beberapa tahun lalu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui hari ini. Saari berkata, purata majoriti peminjam skim itu mendapat pinjaman maksimum RM40,000 seorang bagi membolehkan mereka membaiki atau membaik pulih rumah lebih luas dan selesa untuk didiami keluarga terbabit. Tambahnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak prihatin tentang keselesaan warga Felda yang membabitkan kesejahteraan keluarga, pendidikan, ekonomi dan keceriaan kampung. Jelasnya, keberkesanan skim itu mengubah landskap perkampungan Felda Wilayah Jengka yang lebih kondusif di samping persekitaran lebih ceria dan bersih. Katanya, susun atur rumah kediaman peneroka yang terancang itu menjadikan tanah rancangan Felda sebuah perkampungan masyarakat yang berpendapatan sederhana dan menjadi contoh kepada komuniti lain di negara ini. "Tidak keterlaluan ditegaskan bahawa komuniti Felda turut dikagumi dan dicontohi masyarakat antarabangsa,'' katanya. Dalam perkembangan lain Saari menambah, Felda turut memberi penekanan terhadap usaha meningkat pengetahuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di kalangan generasi pertama dan kedua di tanah rancangan. Jelasnya, bagi tujuan itu, Felda menyediakan skim pinjaman komputer kepada generasi baru bagi memudahkan mereka membeli komputer pilihan mereka. |
| You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |

Tiada ulasan:
Catat Ulasan