Berita Harian: Wilayah |
Posted: 21 Feb 2011 01:28 PM PST Wilayah MUHAMMAD (kiri) dan Rohaya (dua dari kanan) menerima bantuan daripada Yusuf di Kampung Durian Mas, Manir. KUALA TERENGGANU: Menjadi ibu dan ayah, selain perlu bersusah payah mencari sara hidup keluarga bukan terlalu perit bagi bagi Rohaya Awang, 35, dari Kampung Durian Mas, Manir di sini, tetapi penderitaan empat anaknya yang disahkan menghidap talasemia begitu meruntun hatinya. Selepas suaminya, Muhammad Abdullah, 38, tidak lagi boleh bekerja kuat menyara keluarga kerana kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya lapan tahun lalu, Rohaya mengambil alih tugas itu demi anak. Begitupun dengan kudrat seorang wanita, pendapatan Rohaya tidak cukup untuk menampung sara hidup mereka hingga menyebabkan anak sulung mereka, Zulhilmi, 15, berhenti sekolah dan bersama ibunya mencari nafkah untuk keluarga.Dengan pengorbanan Rohaya dan Zulhilmi, tiga lagi adik beradik, Nurul Asyqin, 13; Nurul Nabila Raseg, 11, dan Nurull Arisya Masarah, 8, dapat bersekolah walaupun dalam keadaan serba kekurangan. "Walaupun hidup kami umpama kais pagi makan pagi, terutama untuk menampung kos rawatan anak-anak, saya bersyukur kerana kami dapat bersama sebagai sebuah keluarga," kata Rohaya sayu ketika dikunjungi Pegawai Pembangunan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, Yusuf Awang Hitam, kelmarin. Dalam kunjungan itu, Yusuf turut menyampaikan sumbangan makanan dan kewangan bagi membantu meringankan beban keluarga terbabit.
"Saya terpaksa mengawal pemakanan anak dan melarang mereka makan makanan ringan kerana boleh menjejaskan kesihatan mereka," katanya yang bersyukur kerana mereka masih mampu bersekolah. Keluarga Rohaya adalah antara yang dikunjungi Yusuf dalam program kunjungan mesra di kawasan DUN Manir yang berada di bawah pembangkang. Inisiatif Yusuf melegakan penduduk di kawasan itu kerana ada pihak yang prihatin membantu menyelesaikan masalah serta memberi bantuan segera pada setiap minggu. Penduduk Kampung Durian Mas, Muhammad Abdullah, 38, gembira dan bersyukur kerana rumahnya yang sering dimasuki air apabila hujan mendapat perhatian segera daripada pegawai PPD berkenaan. "Kerja menaikkan lantai rumah setinggi 30 sentimeter akan dilakukan oleh penduduk kampung secara gotong royong melalui bantuan kewangan Yusof," katanya. Sementara itu, Yusof memberi jaminan untuk memberi bantuan kepada keluarga Muhammad bagi meringan beban keluarga berkenaan. "Saya buat permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya bantuan bulanan diberikan kepada keluarga Muhammad," katanya. |
Posted: 21 Feb 2011 01:26 PM PST Wilayah MUHYIDDIN menyaksikan majlis penyampaian cek sumbangan RM99,400 daripada pertubuhan Cina kepada mangsa banjir Parlimen Pagoh sempena Sambutan Tahun Baru Cina Parlimen Pagoh di SJK (C) Soon Moong, kelmarin. PAGOH: Penduduk Pagoh menyambut baik persetujuan Sime Darby Bhd membangunkan tanah seluas 1,618.74 hektar di sini sebagai hab pendidikan di utara Johor yang secara tidak langsung merancakkan lagi pembangunan kawasan berkenaan. Pengerusi Sekretariat Pendidikan Parlimen Pagoh, Tahir Taat, berkata Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan persetujuan Sime Darby itu ketika menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina Parlimen Pagoh di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Soon Moong di sini, malam kelmarin. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang berkata, persetujuan itu hasil perbincangan Muhyiddin dengan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Mohd Bakke Salleh, yang seterusnya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan kerajaan negeri supaya projek itu boleh dimulakan tahun ini juga.Katanya, hab pendidikan itu akan menempatkan kampus tujuh universiti termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Tun Hussein Malaysia (UTHM), sebuah universiti dari Indonesia dan sekolah menengah berasrama penuh. "Kewujudan hab pendidikan di kawasan itu akan memberi limpahan pembangunan kepada penduduk termasuk daripada segi ekonomi dan pendidikan sendiri yang diharap turut memberi semangat kepada golongan muda untuk terus menimba pengetahuan. "Saya menyokong penuh cadangan mewujudkan hab pendidikan Pagoh dengan membangunkan tanah Sime Darby dan berharap kerajaan negeri mempercepatkan proses merealisasikan projek berkenaan.
Tahir berkata, pengumuman Muhyiddin mengenai persetujuan Sime Darby itu disambut baik semua penduduk Pagoh dan kawasan sekitarnya termasuk Muar dan Ledang kerana limpahan pembangunannya akan turut dinikmati di kawasan berkenaan. Sementara itu, penduduk, Jamal Sudin, 69, berkata pemilihan Pagoh sebagai hab pendidikan bersesuaian berikutan kedudukannya yang strategik di tengah laluan ke selatan di antara Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Katanya, hab pendidikan itu akan meningkatkan lagi pembangunan dan ekonomi di kawasan Pagoh dan sekitarnya. "Pagoh mempunyai kelebihan dan kemudahan infrastruktur untuk dibangunkan sebagai hab pendidikan, malah persetujuan Sime Darby untuk membangunkan tanah miliknya akan dapat menjadikan kawasan itu membangun dengan lebih pesat," katanya. Peniaga di Pagoh, Ahmad Jamaluddin, 43, berkata sebelum ini Pagoh dianggap pekan kecil dengan pertumbuhan pembangunan agak perlahan tetapi pembinaan banyak pusat pengajian tinggi di situ kelak, diharap dapat membantu mempercepatkan pembangunan di kawasan berkenaan. "Pembinaan lebih banyak universiti di Pagoh akan menyebabkan pembangunan di kawasan itu semakin pesat, sekali gus memberi kesan baik kepada penduduk," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Wilayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan