Isnin, 21 Februari 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


'Hot staff' ditukar ke bahagian lain

Posted: 21 Feb 2011 04:47 PM PST

Nasional

Langkah untuk atasi rasuah agensi penguatkuasaan

KUALA LUMPUR: Kakitangan agensi penguatkuasaan bermasalah atau disifatkan sebagai 'hot staff' termasuk mereka yang pernah terbabit rasuah dan mempunyai rekod tatatertib buruk akan ditukar ke bahagian lain sebelum akhir tahun ini.

Mereka akan ditempatkan di bahagian lain yang kurang sensitif bagi memastikan keberkesanan tugas sesuatu agensi, sekali gus mengurangkan kemungkinan berlaku rasuah. Kakitangan berkenaan akan dikenal pasti oleh Unit Pematuhan lima agensi terbabit termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen bagi memastikan masalah sama tidak berulang, selain menjadi teladan kakitangan lain.

Pengarah Pemantauan dan Penyelarasan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Rasuah, Datuk Hisham Nordin, berkata selain mengenal pasti kakitangan bermasalah, agensi itu juga akan mengenal pasti jawatan panas (hot job) dan kawasan panas (hot spot) di agensi masing-masing bagi pertukaran kakitangan mengikut jawatan dan tempat bertugas.

"Unit Pematuhan setiap agensi akan diseragamkan supaya memudahkan urusan pertukaran kakitangan, komunikasi antara agensi dan pemantauan pelaksanaan tugas oleh kakitangan, termasuk mematuhi SOP (prosedur operasi standard).

"Dengan ini, setiap agensi dapat memeriksa tugas kakitangan penguatkuasa secara lebih terperinci seperti mengenal pasti kesalahan dilakukan serta menjalankan ujian integriti dan tidak hanya bergantung kepada aduan," katanya.
Berita Harian semalam melaporkan, semua pegawai dan kakitangan awam menjawat jawatan 'panas' terutama agensi penguatkuasaan akan diwajibkan mengikuti sistem penggiliran tugasan sebagai salah satu usaha kerajaan memerangi rasuah.

Beliau berkata, sistem itu dimulakan oleh JKDM tahun lalu di bawah inisiatif makmal NKRA rasuah dan dibentangkan pada pertemuan dengan semua agensi penguatkuasaan, sebelum diputuskan untuk diguna pakai memerangi gejala rasuah di kalangan kakitangan awam.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada bukti tuala wanita punca kanser

Posted: 21 Feb 2011 04:45 PM PST

Nasional

20 hospital kerajaan bakal dilengkapi sistem penyimpanan rekod perubatan secara digital

SERDANG: Kementerian Kesihatan akan menyiasat dakwaan dibuat beberapa persatuan pengguna berhubung penggunaan tuala wanita dikatakan menjadi punca wanita menghidap penyakit barah rahim walaupun setakat ini tiada bukti secara saintifik berhubung perkara itu.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, setiap produk di negara ini perlu melalui ujian dan pemantauan yang ketat, malah tiada kes berhubung dakwaan itu dilaporkan setakat ini. Beliau berkata, kementerian tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pengeluar tuala wanita jika didapati mengguna-kan bahan penyebab penyakit dalam produk mereka kerana ia membabitkan keselamatan pengguna.

"Kita akan siasat dakwaan itu tetapi setakat ini tiada bukti menunjukkan tuala wanita penyebab barah rahim," katanya pada sidang media selepas melancarkan Projek Astro Kasih Bersama Wad Pediatrik di Hospital Serdang di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kajian persatuan pengguna mengatakan punca utama wanita diserang barah pangkal rahim disebabkan penggunaan tuala wanita yang diperbuat daripada bahan buangan termasuk kertas terpakai.

Sementara itu, Liow berkata, sekurang-kurangnya 20 hospital kerajaan di negara ini akan dilengkapi sistem penyimpanan rekod perubatan secara digital menjelang 2015.
Katanya, langkah itu akan mempercepatkan proses pencarian rekod perubatan pesakit berbanding cara manual yang dilaksanakan di kebanyakan hospital kerajaan pada masa ini.

"Banyak lagi hospital di negara ini masih menyimpan rekod perubatan secara manual. Jika menggunakan fail digital, kita memperoleh maklumat dengan cepat, tepat dan menjimatkan masa," katanya.

Liow berkata, pada masa ini antara hospital kerajaan yang sudah dilengkapi sistem berkenaan ialah Hospital Serdang, Putrajaya, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Ditanya mengenai tempoh masa ditetapkan untuk melengkapi semua hospital dengan sistem itu, beliau berkata, ia satu proses yang berterusan dan dijalankan secara berperingkat.

"Selepas semua hospital dilengkapi sistem itu, kita akan membangunkan pula sistem khas yang mampu menghubungkan semua hospital di seluruh negara supaya dapat bertukar maklumat pesakit," katanya.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan