Utusan Online - Utara |
- Butik pengantin RS semakin popular
- Kerajaan tak pilih bulu agih bantuan
- Jemaah mahu surau reput dibaiki segera
| Butik pengantin RS semakin popular Posted: Butik pengantin RS semakin popularOleh AZELI ALI
NIBONG TEBAL 23 Jan. - Bermodalkan RM1,500 selain pengalaman sebagai jurumekap beberapa artis tanah air, Abu Hassan Johari memulakan langkah menceburi perniagaan salon rambut. Biarpun hanya bermula di rumah, Abu Hassan atau lebih mesra dengan gelaran Romzy tidak lagi menoleh ke belakang malah, kini mengembangkan perniagaan dalam bidang butik pengantin pula. Menurutnya, pengalaman yang diperoleh ketika menjadi jurumekap artis semasa pengambaran filem dan drama memberikan perangsang kepadanya untuk menceburi bidang perniagaan. Katanya, bermula dengan satu lot kedai di pekan Parit Buntar pada 1991, dia meluaskan premisnya. Sejak itu, nama Romzy Studio (RS) mula meniti di bibir penduduk sekitar daerah berkenaan sehingga ke Pulau Pinang dan Kedah. "Saya juga pernah membuka sehingga tujuh cawangan RS di beberapa kawasan di utara seperti di Pulau Pinang serta Changlun, Alor Setar dan Jitra di Kedah selain di Parit Buntar, Ipoh serta Taiping di Perak. "Namun, ekoran kekurangan staf yang berkemahiran, saya terpaksa menutup beberapa cawangan dan memberi fokus di Jitra dan Alor Setar," katanya ketika ditemui di butik terbarunya di Parit Buntar baru-baru ini. Tambahnya, cawangan di Alor Setar dan Jitra mula beroperasi sepenuhnya pada 2000 iaitu di kawasan Shahab Perdana di Alor Setar manakala di Jitra, RS beroperasi di tengah-tengah bandar. Jelasnya, dia banyak memberi tumpuan kepada kedua-dua cawangan berkenaan kerana sambutan yang diterima begitu menggalakkan manakala urusan RS di Parit Buntar diserahkan kepada adiknya, Mohd. Suhairi. Romzy memberitahu, butik RS juga menjadi pilihan beberapa artis dan individu terkenal selain VIP di Kedah dan Perlis. "Selain itu, musim cuti sekolah memang kami tak menang tangan nak penuhi permintaan pengantin yang perlukan khidmat solekan serta baju pengantin," ujarnya yang memiliki 26 kakitangan di semua premis butik RS. Menurut bapa tunggal itu, terlalu banyak perlu dihadapi untuk meneruskan perniagaan itu antaranya melayan kerenah pelanggan yang pelbagai serta mencari staf yang betul-betul mahir.
Ujarnya, agak sukar untuk mendapatkan staf yang mempunyai kemahiran pelbagai seperti solekan, hiasan pelamin dan menjahit baju pengantin. Malah, katanya, dia juga perlu peka dengan perkembangan semasa dan kepelbagaian corak rekaan baju kerana ramai pelanggan mahukan sesuatu yang baru pada majlis bersejarah mereka. "Kita kena kreatif dan tidak malu untuk belajar kerana setiap hari banyak rekaan baru muncul dan kita harus mengejar pembaharuan itu. "Kalau nak maju, tak boleh bergantung kepada corak rekaan lama tapi kena pandai sesuaikan imej pengantin dengan tema perkahwinan mereka," katanya. Tidak lupa juga ujarnya, bajet pengantin memainkan peranan untuk mendapatkan hasil rekaan yang menarik agar majlis bersejarah itu tidak membosankan serta menyusahkan pengantin sendiri. Di butik RS, pakej yang ditawarkan adalah serendah RM1,000 sehingga RM50,000 berdasarkan bajet pengantin serta kelengkapan yang diperlukan mereka. Bagi menarik lebih pelanggan, Romzy juga merancang mengadakan beberapa pameran perkahwinan serta pertunjukan fesyen antaranya di Taiping Sentral, Jitra Mall dan Tesco Extra Seberang Jaya dalam masa terdekat ini. "Ini adalah cara saya memperkenalkan nama RS kepada pelanggan sekitar kawasan terbabit serta mengukuhkan lagi jenama RS di mata masyarakat. "Saya nak mereka kenal RS kerana kualiti produk yang dimiliki serta perkhidmatan terbaik yang diberikan oleh butik ini agar hubungan mereka dan RS berterusan," ujarnya. Bagi mengukuhkan lagi jenama RS, Romzy membeli sebuah rumah di pekan lama Parit Buntar yang diubah suai menjadi pusat sehenti kepada pelanggan mendapatkan khidmat solekan, pakaian pengantin serta jurufoto perkahwinan. Selain itu, Romzy juga menceburi bidang busana muslimah apabila premis RS di pekan baru Parit Buntar memfokuskan kelengkapan seperti jubah, telekung dan tudung dibuka awal tahun ini.
"Saya rancang untuk mengeluarkan beg tangan dan kasut wanita dengan logo RS selepas ini supaya mampu bersaing dengan jenama lain di pasaran. "Proses ke arah itu sedang berjalan dan ia mampu direalisasikan dalam masa setahun, dua lagi dan berdoa agar jenama RS dikenali di seluruh negara," jelasnya. Sebagai promosi, Romzy menawarkan potongan sebanyak 15 peratus kepada produk busana muslimah terpilih yang terdapat di butik itu. Mereka yang berminat mendapatkan khidmat Romzy bolehlah menghubungi beliau di talian 019-4136045 atau e-mel romzystudio@yahoo.com selain laman web www.romzystudio.com. | ||||||
| Kerajaan tak pilih bulu agih bantuan Posted: Kerajaan tak pilih bulu agih bantuanOleh JAMLIAH ABDULLAH
ALOR SETAR 23 Jan. - Kerajaan tidak pernah bersikap 'pilih bulu' dalam pemberian bantuan kepada penduduk negeri ini sebaliknya sesiapa sahaja yang layak akan memperolehinya tanpa mengira kaum mahupun fahaman politik. Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kuala Kedah, Datuk Lat Shariman Abdullah berkata, sebagai contoh, bantuan elaun sara hidup nelayan diberikan kepada semua nelayan yang layak walaupun di negeri yang ditadbir pembangkang. "Bantuan ini diharap dapat meringankan beban nelayan-nelayan yang kebanyakannya masih hidup di bawah paras kemiskinan. Ia membuktikan bahawa kerajaan tidak memilih kaum mahupun fahaman politik dalam menyalurkan bantuan," katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian elaun sara hidup kepada nelayan di kawasan Parlimen Kuala Kedah di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kubang Rotan, di sini, hari ini. Hadir sama Pengarah LKIM Kedah, Mohamad Noor Had. Lat Shariman berkata, setakat ini lebih 1,161 nelayan Kuala Kedahberdaftar bagi menerima elaun tersebut yang berjumlah RM230,200 setiap bulan. "Bantuan sebanyak RM200 ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membela nasib golongan tersebut di negeri ini," katanya. Beliau berkata, selain pemberian elaun sara hidup nelayan, kerajaan turut memberikan bantuan lain seperti Skim Subsidi Minyak Petrol/Diesel, Skim Insentif Tangkapan Ikan, Program Transformasi Bot Nelayan dan Skim Bencana dan Kebajikan Nelayan. Beliau menambah, pembayaran elaun sara hidup nelayan dibuat secara tunai sejak tiga bulan lepas dalam usaha memantau dan mengenal pasti sebarang penipuan dan penyelewengan oleh golongan terbabit. "Kita sering menerima laporan ada pihak tertentu yang membuat penipuan dapat elaun tetapi kerja di bank dan sebagainya. Ada juga yang menggunakan nama ahli-ahli keluarga untuk mendapatkan elaun tambahan dan cara ini salah. "Jadi melalui cara pembayaran tunai ini nelayan harus datang untuk mengambil elaun sendiri jadi kita boleh memantau dan mengenal pasti status mereka yang sebenar," kata beliau. Menurutnya, majlis seumpama itu juga membolehkan agensi terlibat mengadakan pelbagai program lain seperti ceramah dalam usaha menerangkan langkah-langkah kerajaan membantu mereka. | ||||||
| Jemaah mahu surau reput dibaiki segera Posted: Jemaah mahu surau reput dibaiki segera
BALING 23 Jan. - Nampak cantik di bahagian luar tetapi rupa-rupanya reput di sebelah dalam. Itulah gambaran sebuah surau yang membimbangkan lebih 400 jemaah di Kampung Telok Durian, Mukim Kupang dekat sini. Rata-rata penduduk ketika ditemui berkata, keseluruhan bangunan itu reput dimakan anai-anai menyebabkan tingkat atas surau itu tidak boleh digunakan lagi hingga menyulitkan penduduk untuk berjemaah setiap hari. Seorang ahli jemaah, Johari Abd. Latif, 43, berkata, surau berkenaan hanya mampu menampung sekitar 30 jemaah untuk solat berjemaah dalam satu-satu masa kerana ruang sempit, malah tingkat atas tidak dapat digunakan akibat strukturnya reput. Johari menambah, surau itu bukan sekadar untuk penduduk berjemaah tetapi sebagai tempat penduduk menjalankan kegiatan kemasyarakatan termasuk sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) berkumpul setiap minggu. "Apa yang menyedihkan, di ruang itulah tempat kami berjemaah dan di situ jugalah tempat penduduk berkumpul menjalankan kegiatan kemasyarakatan. "Malah, bangunan atas tidak mampu digunakan lagi kerana kayunya reput dan bumbung bangunan itu juga bocor setiap kali hujan lebat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini. Penduduk lain, Abd. Jalil Omar, 69, berkata, surau itu bukan sekadar tempat mendirikan solat malah dijadikan tempat penduduk mengadakan kelas fardu ain untuk kanak-kanak dan sebagainya. "Surau itu terlalu uzur kerana sudah hampir 50 tahun digunakan oleh penduduk dan semenjak itu belum ada lagi penambahan dan pembaikan walaupun semakin hari semakin reput. Ahli jemaah lain, Zahir Awang Itam, 39, berkata, masalah itu telah berkali-kali dikemukakan kepada pihak bertanggungjawab namun, masih belum ada sebarang tindakan diambil menanganinya. "Inilah satu-satunya surau yang ada di kampung ini dengan keadaan surau yang begitu teruk menyebabkan tidak ramai penduduk berjemaah di situ dan terpaksa pergi ke surau lain untuk berjemaah. Menurut Jamaliah Che Had, 43, pula, kadang kala mereka takut untuk naik ke tingkat atas bangunan itu kerana keseluruhan lantainya telah reput dan bimbang mengadakan kegiatan di bawah lantainya reput dan akan runtuh pada bila-bila masa. Tambahnya, nampak sahaja dari luaran bangunan surau itu besar tetapi keadaan sebaliknya berlaku apabila ia telah reput dan menunggu masa untuk runtuh. "Sewajarnya surau itu diperbaiki segera untuk keselesaan penduduk menjalankan ibadat dan aktiviti harian," katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), Samsudin Senawi, 55, berkata, perkara itu telah dikemukakan kepada pihak yang berwajib tetapi belum mendapat peruntukan bagi memperbaiki surau berkenaan. Katanya, pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada pihak berkenaan setelah sering mendapat rungutan apabila setiap kali mengadakan perjumpaan dengan penduduk perkara itu dibangkitkan. "Permohonan telah dibuat dan berharap perkara ini mendapat perhatian memandangkan keadaan bangunan itu sudah uzur," katanya. |
| You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan