Utusan Online - Muka Hadapan |
Posted: Novel Interlok terus diguna
Saya telah mengadakan perbincangan dengan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel dan Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam semalam mengenai isu penggunaan novel Interlok sebagai komponen sastera (Komsas) bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima. Pagi ini, saya, Palanivel dan Subramaniam telah mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri untuk mencapai kata sepakat bagi menyelesaikan isu ini. Dalam semangat muafakat Barisan Nasional, kita telah bersetuju bahawa novel Interlok akan terus digunakan sebagai teks Komsas bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk murid Tingkatan Lima di Zon 2, iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan. Namun, mengambil kira pandangan MIC, kita juga telah bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India. Untuk itu, satu panel bebas akan diwujudkan untuk mengkaji bentuk pindaan yang sesuai dan mengemukakan perakuan kepada kerajaan. Panel ini akan dianggotai oleh pakar bahasa, ahli akademik, sasterawan dan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka serta wakil masyarakat India. Saya menjangkakan pindaan ini akan dapat dibuat dalam masa yang terdekat. Sementara pindaan ini disiapkan, Kementerian Pelajaran akan mengarahkan guru-guru untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia dengan menggunakan silibus yang sedia ada untuk tidak menjejaskan pembelajaran murid. Novel Interlok hanya akan digunakan setelah pindaan disiapkan dan diedar ke sekolah-sekolah. Saya percaya kita mempunyai masa yang cukup untuk membuat pindaan secara teliti supaya tidak timbul lagi sebarang pertikaian mengenai novel Interlok selepas ini. Saya ingin menegaskan bahawa keputusan ini diambil dengan mengambil kira pandangan semua pihak bahawa novel Interlok adalah sebuah karya yang amat baik demi memupuk dan memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di Malaysia. Oleh itu, keputusan mengekalkan novel ini dengan membuat pindaan supaya tidak menyinggung perasaan kaum India adalah jalan penyelesaian yang terbaik. Pada masa yang sama, kita akan memastikan sebarang pindaan yang dibuat pada novel ini tidak akan menjejaskan jalan cerita dan juga mesej murni yang ingin disampaikan oleh Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain melalui karyanya. Tan Sri Muhyiddin Yassin 27 Januari 2011 | ||
Gapena terima keputusan, Perkasa bantah Posted: Gapena terima keputusan, Perkasa bantahKUALA LUMPUR 27 Jan. - Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) menerima baik keputusan kerajaan meneruskan penggunaan novel Interlok untuk komponen sastera (Komsas) dalam Bahasa Melayu tingkatan lima. Bagaimanapun pada masa sama, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) tidak bersetuju dengan keputusan tersebut kerana ia diteruskan dengan pindaan pada bahagian tertentu. Setiausaha Satu Gapena, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, mereka menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengekalkan penggunaan novel Interlok itu. Malah katanya, penubuhan panel bebas bagi membuat pindaan pada bahagian tertentu dalam novel karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain itu adalah dialu-alukan. ''Kami bersyukur kerajaan membuat keputusan itu. Bagaimanapun kami berharap perkataan asal dalam novel itu tidak diubah malah menyediakan glosari dan nota kaki bagi menjelaskan maksud perkataan-perkataan tertentu,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau mengulas mengenai keputusan kerajaan hari ini untuk meneruskan penggunaan novel Interlok sebagai sebuah novel untuk Komsas dalam Bahasa Melayu tingkatan lima. Novel Interlok yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi kontroversi kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India berhubung penggunaan perkataan 'pariah' (paria) di muka surat 211 dan 220. Sehubungan itu, beberapa pihak mendesak kerajaan menarik balik penggunaan novel tersebut sehingga mendorong kajian semula dibuat melalui panel penilai yang dilantik. Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, kerajaan turut diminta untuk mengambil kira penghinaan oleh kelompok tertentu yang bertindak membakar novel tersebut sehingga mengguriskan hati penulisnya, Datuk Abdullah Hussain. ''Kita tidak boleh berkompromi dalam penghinaan yang dibuat itu, oleh itu kami meminta kerajaan turut mengambil kira hal ini,'' katanya. Sementara itu, Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali memberitahu, pihaknya tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan itu kerana ia diteruskan dengan pindaan. Katanya, adalah lebih baik bagi kerajaan untuk menggantikan novel itu dengan karya lain daripada melakukan pindaan kepada naskhah asal Interlok. ''Sangat tidak betul sekiranya novel itu diubah apa-apa isi kandungannya tanpa kerelaan penulisnya dan jika dipersetujui sekalipun Perkasa akan berasa malu bagi pihak orang Melayu. ''Ia (keputusan) boleh dikatakan merupakan satu peristiwa yang amat malang kepada penulis yang juga merupakan seorang Sasterawan Negara dan kepada orang Melayu amnya. ''Novel itu telah diterbitkan lebih 40 tahun dulu dan sekiranya dirasakan ia tidak sesuai maka batalkan sahaja penggunaanya dengan menggantikan novel lain,'' katanya dalam kenyataan awal Perkasa. Tambahnya, kandungan novel tersebut langsung tidak bermaksud untuk menghina mana-mana kaum malah perkataan paria memang wujud sehingga kini serta golongan belia India perlu tahu bahawa kasta itu memang wujud. | ||
Posted: Suami Normala sakit kritikal?
KUALA LUMPUR 27 Jan. - Status kesihatan Maarof Abd. Mutalib, suami kepada Normala Sudirman calon Pas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, menjadi persoalan kerana beliau dilaporkan mengambil cuti sakit sehingga 21 hari sepanjang bulan ini. Perkara itu didedahkan menerusi sebuah blog, http://marahku.blogspot.com/ yang mendakwa Maarof mengambil cuti sakit selama dua hari pada 6 dan 7 Januari dari Pusat Perubatan Keluarga di Jalan Segamat, Labis, Johor. Ia diikuti dengan cuti sakit selama dua minggu bermula 10 hingga 23 Januari yang dikeluarkan oleh Klinik Kesihatan Bandar Putra, Segamat dan tambahan cuti lima hari lagi yang diperoleh dari pusat kesihatan sama. Ketiga-tiga salinan surat sakit yang dikeluarkan kepada Maarof itu turut dimuat naik ke dalam blog tersebut menerusi entri bertajuk 'PRK Tenang: Normala's cheating husband has been keeping secrets from her' yang disiarkan semalam. Menurut penulis blog itu, cuti sakit yang panjang tersebut membayangkan Maarof sedang berdepan masalah kesihatan yang serius. ''Saya bertanyakan rakan yang merupakan seorang doktor, apakah penyakit yang memerlukan seseorang mengambil cuti sakit sehingga dua minggu dan dia (doktor) berkata, penyakit itu mestilah sangat serius dan berkemungkinan mengancam nyawa. ''(Sebab jika) demam hanya diberikan cuti sakit satu atau dua hari dan jangkitan mata pula paling lama hanya beberapa hari. ''H1N1 pula akan dikuarantin selama dua minggu. Mungkinkah beliau dijangkiti H1N1?. ''Saya tidak pasti tetapi selepas dua minggu, adalah jelas beliau masih tidak sihat untuk mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tenang Stesen dan doktor menambah lima hari lagi cuti sakit dari 24 hingga 28 Januari," katanya. Tidak berpuas hati dengan perkara itu, penulis blog tersebut menambah, beliau membuat banyak rujukan, menyemak kamus perubatan, bercakap dengan ahli fizik dan pakar, malah, turut menulis kepada beberapa buah pusat kawalan penyakit. Bagaimanapun tambahnya, kesemua usahanya itu menjurus kepada satu jawapan iaitu kesimpulan yang tidak dapat dijelaskan. ''Kami dengan sedih memaklumkan kepada Cikgu Mala (Normala) bahawa suaminya itu telah mengalami politicitis husbandus temperaturis permanantum atau juga dikenali sebagai election fever-candidate's husband strain 2 (EF-CHS2). ''Ia boleh menjadi penyakit yang kekal dan membunuh kariernya sebagai seorang guru," katanya dalam blog itu. Penulis blog itu menambah, kelibat Maarof yang sentiasa kelihatan bersama Normala ketika berkempen sebelum ini telah menimbulkan pertanyaan di kalangan orang ramai mengenai pekerjaan sebenar beliau. Antaranya, kata beliau, apakah Maarof bekerja sendiri atau merupakan seorang ahli politik sepenuh masa. ''(Sebenarnya) Maarof adalah seorang guru dan sangat jelas beliau sedang merahsiakan sesuatu daripada isterinya. ''Bukan rahsia kecil tetapi rahsia yang boleh merubah hidup," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan