Utusan Online - Mahkamah |
Dua remaja didakwa bunuh datuk Posted: Dua remaja didakwa bunuh datuk
JEMPOL 26 Jan. - Dua remaja lelaki hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau atas tuduhan membunuh seorang warga emas dan mencederakan isteri mangsa di Felda Palong Dua di sini pada pertengahan bulan ini. Bagi tuduhan pertama, kedua-dua tertuduh berusia 17 tahun itu didakwa membunuh Mohtar Yusoh, 71, di alamat No. 305, Blok C Palong Dua, Felda Palong Dua pada pukul 8 malam, 13 Januari lalu. Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Salah seorang tertuduh merupakan cucu kepada mangsa. Kedua-dua tertuduh yang tinggal di Melaka hanya mengangguk sebagai tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ellyana Razali. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan. Kedua-dua remaja itu turut menghadapi tuduhan kedua iaitu mencederakan isteri mangsa, Halimah Yasin, 57, pada masa, tarikh dan tempat yang sama. Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, sebatan atau mana-mana dua hukuman itu. Bagi tuduhan kedua ini, mereka berdua masing-masing mengaku tidak bersalah. Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahmud Abdullah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela. Ellyana menetapkan 28 Februari ini sebutan semula kes itu dan tiada jaminan dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh. Memetik laporan akhbar, pada hari kejadian, suami isteri itu disamun empat remaja ketika pulang ke rumah mereka diFelda Palong Dua selepas majlis tahlil. Mohtar mati ditikam salah seorang remaja terbabit yang memecah masuk rumah mereka manakala isterinya dicederakan dengan objek keras sehingga menerima 30 jahitan di bahu, dada dan lengan. Mereka melarikan beg milik Halimah, berisi wang tunai dan barang kemas bernilai lebih RM10,000. | ||
Akta Hasutan 1948 masih relevan Posted: Akta Hasutan 1948 masih relevanOleh SUWARNI MOKHTAR KUALA LUMPUR 26 Jan. - Walaupun digubal sebelum negara mencapai kemerdekaan, Akta Hasutan 1948 masih lagi sah dan boleh diguna pakai serta relevan dalam menjamin kepentingan awam. Akta tersebut juga akan terus diguna pakai selagi ia tidak dipinda oleh Parlimen, kata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ghazali Cha (gambar), di sini hari ini. Beliau menegaskan demikian semasa menolak permohonan peguam yang juga aktivis pertubuhan haram Hindu Rights Action Force (Hindraf), P. Uthayakumar untuk mengisytiharkan bahawa akta tersebut melanggar Perlembagaan Persekutuan. Dengan keputusan itu, permohonan Uthayakumar agar tuduhan yang dihadapinya di bawah akta tersebut digugurkan turut menemui kegagalan. Pemimpin Hindraf itu memfailkan permohonan tersebut pada 24 November tahun lalu bagi menuntut satu deklarasi bahawa Akta Hasutan adalah terbatal kerana tidak sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan. Menurut notis usulnya, Artikel 4(1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Perlembagaan tersebut merupakan undang-undang utama negara dan sebarang undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan adalah tidak sah. Pemohon turut mendakwa bahawa pertuduhan yang dikenakan ke atasnya merupakan satu pendakwaan terpilih. Pada 11 Disember 2007, Uthayakumar didakwa atas tuduhan menerbitkan satu surat berunsur hasutan di laman web Police Watch Malaysia dan pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(c) akta itu. Mengikut pertuduhan, dia didakwa antara November dan 8 Disember 2007 di No.8-10-5 Menara Mutiara Bangsar, Jalan Liku persimpangan Jalan Riong, Bangsar di sini telah menerbitkan satu surat berbaur hasutan. Surat bertarikh 15 November 2007 itu diterbitkan di laman web police watch yang mempunyai alamat web http:// policewatchmalaysia.com iaitu sepucuk surat oleh Hindraf yang beralamat di No.135-3-A, Jalan Toman 7, Kemayan Square Seremban, Negeri Sembilan dan dialamatkan kepada Perdana Menteri Britain ketika itu, Rt. Hon. Gordon Brown, 10 Downing Street. Berhubung dakwaan pendakwaan terpilih, Hakim Ghazali menyatakan, pendakwa raya mempunyai kuasa mutlak sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mendakwa seseorang individu berdasarkan bukti-bukti yang dikemukakan kepada mereka. Selain itu, alasan-alasan yang dikemukakan oleh pemohon adalah pra-matang di peringkat ini kerana perbicaraan masih di peringkat awal. ''Atas alasan-alasan itu, permohonan-permohonan yang dituntut oleh pemohon tidak dapat bertahan dan perbicaraan kes perlu diteruskan sebagaimana yang telah dijadualkan,'' kata Hakim Ghazali. Perbicaraan kes itu dijadualkan untuk sambung bicara di peringkat pendakwaan pada 17 Februari ini. Sejurus selepas penghakiman tersebut, peguam N. Surendran yang mewakili Uthayakumar memohon agar perbicaraan kes tersebut digantung sementara menunggu rayuan. Timbalan Pendakwa Raya, Melissa Mohd. Akhir memaklumkan bahawa permohonan penggantungan perbicaraan itu sebelum ini telah ditolak oleh Mahkamah Sesyen dan terpulang kepada budi bicara Mahkamah Tinggi untuk memutuskan mengenai perkara tersebut. Hakim Ghazali kemudian membenarkan penggantungan prosiding perbicaraan tersebut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan