Jumaat, 28 Januari 2011

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Pesta WP kini bermula

Posted:

Pesta WP kini bermula

Pesta WP kini bermula

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
kota@utusan.com.my


TIMBALAN Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M. Saravanan (kanan) melekatkan bendera Wilayah Persekutuan pada sebuah kereta sempena Kempen Mengibar Bendera Wilayah Persekutuan di Plaza Tol Jalan Duta, semalam.


KUALA LUMPUR 28 Jan. - Sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini menampakkan sedikit kelainan apabila majlis pelancarannya diadakan lebih awal daripada tarikh sebenar sambutan.

Majlis pelancaran tersebut akan diadakan di Dataran Merdeka esok mulai pukul 7 pagi dan akan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Pelbagai acara menarik sudah disusun untuk memeriahkan majlis perasmian berkenaan dan dimulakan dengan perbarisan 88 kontinjen yang terdiri daripada agensi dan jabatan kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan.

Paling menarik dalam majlis esok ialah pelancaran lagu rasmi baru Wilayah Persekutuan tetapi mengekalkan tajuk yang sama iaitu Maju dan Sejahtera.

Lagu tersebut akan mempunyai tempo yang lebih rancak manakala liriknya lebih bertepatan dengan semangat 1Malaysia.

Lagu itu dicipta oleh Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah manakala liriknya ditulis oleh Syed Indera Syed Omar atau Siso Kopratasa.

Namun, acara utama bagi Hari Wilayah Persekutuan iaitu Istiadat Mengadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran Wilayah Persekutuan akan diadakan pada 1 Februari nanti di Istana Melawati, Putrajaya.

Selain acara induk tersebut, ketiga-tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan akan turut menganjurkan acara tersendiri.

Di Kuala Lumpur, antara acara yang bakal menarik perhatian ramai termasuk Pertandingan Poco-poco, Sukan Tradisional Rakyat, Explorace, Tarik Tali Terbuka, Larian Wilayah Persekutuan, Pertandingan Memancing dan Forum Perdana Khas.

Perbadanan Putrajaya juga sudah menyusun acara untuk memeriah sambutan itu yang akan berlangsung selama sebulan.

Antaranya ialah Karnival Wow Putrajaya, Mencari Harta Karun Putrajaya, Ride For Gaza, Pesta Sukan Rakyat, pertandingan memancing dan Pesta Belon Panas Antarabangsa Putrajaya.

Perbadanan Labuan juga tidak ketinggalan mengatur pelbagai acara untuk memeruah sambutan tersebut termasuk pertandingan sepak takraw, futsal, Battle of The Band, Pertandingan Tarian 1Malaysia dan beberapa acara sukan.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berharap warga kota akan memenuhi Dataran Merdeka esok bagi memeriahkan sambutan.

"Kita akan memberikan hadiah istimewa untuk pengunjung di mana 2,000 pengunjung pertama akan diberikan baucer yang boleh ditukar dengan makanan di gerai-gerai yang disediakan," katanya.

Sementara itu, Kempen Kibar Bendera sempena Hari Wilayah Persekutuan terus diadakan dan hari ini, ia diadakan di Plaza Tol Pantai Dalam di Lebuh raya Pantai Baru (NPE), Plaza Tol Jalan Duta, Plaza Tol Maju Expressway dan Plaza Tol Sungai Besi.

Selain itu, Raja Nong Chik turut menyerahkan bendera Wilayah Persekutuan kepada 150 wakil penduduk dan juga peniaga bagi memeriahkan sambutan dan memupuk rasa sayang dan hormat kepada bendera Wilayah Persekutuan.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib dan Timbalan Ketua Setiausaha, Datuk Yaakop Fakir Mohd.

Beliau berharap agar bendera Wilayah Persekutuan akan dikibar sepanjang masa di setiap premis-premis kerajaan, swasta dan juga sekolah, bukan pada hari tertentu sahaja.

Upacara penutup sambutan Hari Wilayah Persekutuan akan diadakan pada 26 Februari di Labuan.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Lima laluan utama berisiko dipantau

Posted:

Lima laluan utama berisiko dipantau

Lima laluan utama berisiko dipantau

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Polis akan memantau lima laluan utama di ibu negara yang didapati berisiko berlakunya kemalangan sepanjang Ops Sikap Ke-23 sempena Tahun Baru Cina minggu depan.

Lima lokasi berkenaan adalah Jalan Kepong, Jalan Klang Lama, Jalan Ipoh, Jalan Cheras dan Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor berkata, tumpuan khusus akan diberikan pada semua lokasi yang sering berlaku kemalangan maut terutamanya di lima laluan tersebut.

"Pihak kami memberi tumpuan khusus kepada tempat berkenaan kerana pada Ops Sikap sempena perayaan Tahun Baru Cina tahun lepas, kemalangan kerap dilaporkan di laluan tersebut.

"Polis akan meningkatkan rondaan dan pemantauan di sepanjang laluan itu bagi menimbulkan rasa waspada di kalangan pengguna jalan raya," katanya ketika ditemui selepas operasi pemantauan sempena Ops Sikap Ke-23 di Plaza Tol Sungai Besi di sini hari ini.

Beliau juga menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan ketika di jalan raya dan tidak membahayakan nyawa pengguna yang lain.

Sepanjang Ops Sikap Ke-21 sempena Tahun Baru Cina tahun lalu, sebanyak 10 kematian dicatatkan daripada 3,626 kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.

Dalam pada itu, Ops Sikap di Kuala Lumpur semalam mencatatkan kemalangan maut pertama membabitkan seorang penunggang motosikal yang dilanggar sebuah bas di Jalan Ipoh.

Dalam kejadian itu, motosikal tersebut dipercayai bergesel dengan kenderaan lain dan terjatuh sebelum bas yang datang dari arah belakang melanggarnya kerana tidak sempat mengelak.

Ops Sikap Ke-23 bermula semalam hingga 10 Februari ini di seluruh negara sempena Tahun Baru Cina.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Resipi kejayaan Sri Damansara

Posted:

Resipi kejayaan Sri Damansara

Resipi kejayaan Sri Damansara

Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my


Ravindran Raman Kutty memegang Piala Pusingan Kejiranan Terbaik Petaling Jaya dan Anugerah Perdana Komuniti Mampan yang dimenangi oleh Sri Damansara, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 28 Jan. - Bandar Kita Adalah Syurga. Itulah slogan bagi Bandar Sri Damansara di sini yang sekali gus memberi gambaran ringkas kepada kehidupan yang diimpi penduduknya.

Mereka bukan sahaja mahukan persekitaran yang selamat dan selesa tetapi juga harmoni dan sejahtera dengan penduduknya sentiasa bersatu-padu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Sri Damansara (BDSRA), Ravindran Raman Kutty bagaimanapun berkata, tidak mudah untuk mencapai impian menjadi sebuah 'syurga'.

Menurutnya, ia banyak bergantung kepada kesedaran penduduk sendiri dan bagaimana untuk memula dan mencorak persekitaran yang mereka kehendaki.

"Itulah yang cuba persatuan terapkan, selari dengan misi penubuhan BSDRA iaitu menjadikan Sri Damansara sebagai tempat untuk menikmati kehidupan, memenuhi cita rasa penduduk, mempunyai daya penarik dan karakter tersendiri," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun kepadatan penduduk di situ sudah mencecah 60,000 orang serta terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, ia tidak menjejaskan kerjasama yang diberikan dalam apa juga urusan.

"Setiap penghuni bagaikan sudah sedia maklum terhadap tanggungjawab masing-masing sama ada dalam soal menjaga kebersihan, keharmonian dan kesejahteraan kawasan.

"Setakat ini, semua pihak memberi kerjasama sepenuhnya dan sekiranya ada masalah timbul ia akan cuba diselesaikan secara berbincang," ujarnya.

Beliau berkata, selain penduduk, kerjasama baik daripada pihak berkuasa tempatan serta agensi kerajaan turut memberi bonus kepada BSDRA.

Ravindran berkata, semua itu adalah resipi kepada kejayaan persatuan penduduk itu dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Komuniti Mampan dan Pemimpin Masyarakat Berjasa Petaling Jaya 2009/2010 baru- baru ini.

Selaku pemenang utama, persatuan itu membawa pulang geran pembangunan daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebanyak RM50,000 berserta sebuah trofi dan sijil penghargaan.

Beliau berkata, sejak diwujudkan 15 tahun lalu, persatuan itu bukan sahaja mengadakan pelbagai aktiviti yang bertujuan mengeratkan hubungan sesama penduduk, malah lebih daripada itu.

"Banyak pembaharuan telah dilakukan termasuk memperkenalkan komuniti berpagar dan berpengawal, kempen 3R serta program gotong-royong.

"Sesuai dengan tema 'Bandar Kita Adalah Syurga', kami merancang pelbagai kegiatan lain dan juga penambahbaikan kemudahan asas bagi memastikan penduduk merasa selamat serta selesa," katanya.

Ravindran berkata, untuk tahun ini, persatuan itu akan memberi fokus kepada tiga perkara utama iaitu mempergiatkan kempen 3R, meningkatkan program mengeratkan hubungan sesama penduduk dan juga memberi perhatian khusus kepada masalah infrastruktur di Sri Damansara.

"Kami juga akan memastikan MBPJ dapat menyelesaikan perkara yang dibangkitkan oleh penduduk dalam tempoh lima hari," ujarnya yang mengakui masih terdapat beberapa perkara yang dibangkitkan penduduk yang belum diselesaikan oleh pihak berkuasa tempatan itu.

Katanya, pihak persatuan juga bercadang untuk menggunakan geran yang diterima itu untuk memperkenalkan sistem pengurusan aduan berkomputer.

"Melalui sistem tersebut, sasaran kami ialah semua aduan dapat diselesaikan dalam tempoh satu minggu sahaja," ujarnya.

Dalam masa sama, katanya, hadiah kemenangan itu juga akan digunakan untuk mempelbagaikan lagi aktiviti bagi mengeratkan hubungan antara penduduk serta mengindahkan kawasan itu dengan menanam pokok.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan