Utusan Online - Utara |
Posted: 400 penduduk dapat pembelaanOleh ABD RAZAK OSMAN
KEPALA BATAS 25 Jan. - Nasib kira-kira 400 penduduk terdiri daripada ibu tunggal, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dari sekitar daerah Seberang Perai mendapat perhatian pelbagai agensi kerajaan menerusi program Universiti Prihatin Masyarakat Terbela baru-baru ini. Program anjuran Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM) itu diadakan di Dewan Millenium di sini. Dalam program tersebut, data peribadi mereka yang kurang bernasib baik direkodkan oleh agensi-agensi kerajaan berkaitan bagi memudahkan penyaluran bantuan pada masa depan. Dekan PPPJJ, USM, Profesor Madya Habibah Latih berkata, dengan adanya program tersebut, mereka yang dikategori sebagai masyarakat kurang bernasib baik dapat dibantu. Menurutnya, selama ini, golongan berkenaan tidak tahu di mana mereka boleh memohon untuk mendapat pembelaan atau bantuan. "Ternyata program ini dapat menyelesaikan masalah yang selama ini membelenggu golongan kurang bernasib baik ini. "Saya harap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa depan," katanya selepas merasmikan program tersebut di sini baru-baru ini. Hadir sama Penyelaras Program Universiti Prihatin Masyarakat Terbela, Dr. Zarina Md. Nor dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Delima Kasih Pulau Pinang, Ku Azwati Ku Putera. Antara agensi-agensi kerajaan yang terlibat menjayakan program itu adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri ICU JPM; Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). | ||
Posted: Tunggakan cecah RM3.4 jutaOleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
KUBANG PASU 25 Jan. - Majlis Daerah Kubang Pasu (MDKP) tidak akan berkompromi terhadap pembayar cukai di seluruh daerah ini yang gagal menjelaskan tunggakan cukai pintu masing-masing yang sehingga kini jumlahnya mencecah RM3.4 juta. Ketua Bahagian Penguat Kuasa dan Tunggakan Hasil MDKP, Zakariya Ahmad berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menyita premis dan harta benda pembayar cukai serta mengambil tindakan undang-undang jika mereka terus gagal memberikan kerjasama. Katanya, tindakan seumpama itu terpaksa diambil berikutan kedegilan pemilik premis membuat bayaran meskipun telah beberapa kali diberikan notis ingatan. "MDKP perlu bertindak tegas terhadap pemilik yang ingkar menjelaskan cukai pintu sehingga tertunggak jutaan ringgit. "Tindakan menyita akan dipergiatkan dan sekiranya mereka masih berdegil, kami akan merujuk kepada mahkamah untuk melelong premis yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi sita cukai pintu di sekitar pekan Changlun di sini, hari ini. Pada operasi itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut menyita sebanyak tujuh premis perniagaan yang mempunyai tunggakan cukai pintu keseluruhan mencecah RM35,000. Zakariya berkata, tunggakan cukai taksiran yang belum dijelaskan oleh pemilik premis kediaman dan perniagaan di seluruh daerah ini mencecah RM3.4 juta dengan ada yang gagal membayarnya selama lebih 20 penggal atau 10 tahun. Menurut beliau, pihaknya akan memburu pemilik yang masih berdegil bagi memastikannya menunaikan tanggungjawab membayar cukai. Katanya, tumpuan akan diberikan di lokasi kritikal iaitu melibatkan 24 buah taman perumahan yang mempunyai jumlah keseluruhan tunggakan melebihi RM1.4 juta. Antara kawasan yang terlibat ialah Taman Tunku Sarina, Bandar Darul Aman dengan jumlah tunggakan cukai pintu sebanyak RM177,718; Taman Bersatu, Jitra (RM151,849); Taman Mahsuri Fasa 2C, Tanah Merah (RM98,649); Taman Sri Nyior, Tunjang (RM71,766) dan Taman Seri Temin Fasa 1, Bukit Kayu Hitam (RM68,643). Zakariya memberitahu, sehingga hari ini, MDKP telah menyita sebanyak 50 buah premis kediaman di sekitar Jitra yang gagal mempunyai tunggakan cukai taksiran sebanyak RM125,000. | ||
UUM-Aceh meterai MoU latih pegawai Posted: UUM-Aceh meterai MoU latih pegawaiSINTOK 25 Jan. - Universiti Utara Malaysia (UUM) dan pemerintah Aceh telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi membolehkan universiti itu melatih pegawai di wilayah berkenaan dan meningkatkan jumlah tenaga profesionalnya selepas kebanyakan pegawai di Aceh terbunuh dalam bencana tsunami pada 2006. Majlis menandatangani MoU diadakan bagi membolehkan 42 pegawai kerajaan Aceh menyambung pengajian peringkat Sarjana di UUM selama dua tahun. Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, Aceh begitu dekat dengan UUM khususnya dan Malaysia amnya kerana hubungan kedua-dua pihak itu memang rapat sejak awal Islam di nusantara ini. Katanya, hubungan istimewa itu akan diteruskan dan adalah menjadi tanggungjawab UUM membantu Aceh dibangunkan semula selepas dilanda bencana tsunami yang mengorbankan ribuan nyawa. Beliau berkata, bantuan dalam aspek penyediaan tempat untuk pelajar dari Aceh menimba ilmu sudah menjadi agenda UUM sejak sekian lama. "Kita akan menjayakan misi ini untuk melahirkan pegawai kerajaan supaya mereka mendapat ilmu seterusnya kembali mentadbir di Aceh," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU di UUM di sini baru-baru ini. Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Pembangunan Sumber Manusia Pemerintah Aceh, Dr. Qismullah Yusuf; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM, Prof. Dr. Rosna Awang Hashim; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Datuk Dr. Ahmad Faiz Hamid dan Penolong Naib Canselor College of Bisnes, Prof. Madya Dr. Mahamad Tayib. Mustafa berkata, pihaknya berharap mereka yang dihantar untuk melanjutkan pelajaran di UUM akan kembali ke Aceh selepas dua tahun untuk memakmurkan kembali negeri itu yang musnah teruk akibat tsunami. "Saya difahamkan mereka adalah pegawai perancang kepada pemerintah Aceh. Jadi eloklah mereka belajar pentadbiran dan pengurusan di sini sebelum berkhidmat dan memakmurkan Aceh," katanya. Sementara itu, Qismullah berkata, program itu diadakan bagi menambah pegawai kerajaan yang mempunyai pendidikan tinggi selepas bencana tsunami mengorbankan ramai pegawai kerajaan yang berkelayakan mentadbir Aceh. "Dalam kejadian itu, 4,000 pegawai kerajaan, guru (2,876), doktor (150), jururawat (700), professor (700) dan ramai yang lain meninggal dunia akibat bencana itu. "Oleh yang demikian, program ini adalah untuk mengembalikan tenaga profesional di Aceh supaya mereka dapat ilmu di UUM dan kembali ke Aceh untuk membangunkan prasarana dan memantapkan struktur pentadbiran daerah di negara yang dilanda bencana dahsyat itu," katanya. Beliau berkata, bagi pihak pemerintah Aceh, kesudian UUM menerima pegawai kerajaan sebagai pelajar adalah amat dihargai kerana ia akan dapat membantu Aceh pulih seperti sedia kala. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan