Utusan Online - Dalam Negeri |
- Kes Ariffahmi belum ditutup
- Bazar Tok Guru: Pas digesa dedah laporan audit
- 198 peneroka dapat surat palsu terima bantuan
Posted: Kes Ariffahmi belum ditutupOleh AZRAN FITRI RAHIM KOTA BHARU 27 Jan. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum menutup siasatan beberapa kes membabitkan menantu Menteri Besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman. Pengarah SPRM Kelantan, Nasaruddin Mohd. Noor berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan terhadap Abdul Ariffahmi yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) berhubung beberapa laporan yang dibuat sebelum ini. Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci status siasatan tersebut sama ada ia berkaitan penyalahgunaan kuasa dan pengurusan kewangan dalam projek Bazar Tok Guru sehingga menyebabkan Kerajaan Pas Kelantan mengalami kerugian RM50 juta. "Saya sahkan kes ini masih disiasat oleh SPRM Kelantan dan ia tidak ditutup, malah kita sedang melengkapkan siasatan. Saya tidak boleh memberikan kenyataan secara terperinci mengenai siasatan ini. "Kita sedang melakukan sesuatu untuk siasatan ini dihantar ke ibu pejabat secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas Program Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bersama SPRM di Ibu Pejabat JPJ Kelantan di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah JPJ negeri, Abd. Ghani Che Kassim. Program itu diadakan bagi mengeratkan kerjasama antara kedua-dua agensi penguat kuasa terbabit untuk membanteras rasuah. Pada 15 Disember lalu, Pengerusi Panel Penilaian Operasi SPRM, Tan Sri Hadenan Abdul Jalil mengumumkan agensi tersebut menutup fail membabitkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Abdul Ariffahmi. Ini ekoran Pejabat Peguam Negara mendapati tiada kes untuk pertuduhan membabitkan Nik Abdul Aziz dan menantunya itu. Nik Aziz sebelum ini didakwa menerima wang tajaan RM65,000 untuk mengerjakan haji tahun lalu, manakala Abdul Ariffahmi pula berhubung pelantikannya sebagai CEO di PMBK. Pada 5 November 2009, SPRM menyerbu pejabat perbadanan itu di Jalan Kuala Krai dan mengambil beberapa dokumen selepas bekas Pegawai Perhubungan Awam PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz membuat pendedahan mengenai penyelewengan yang berlaku dalam agensi Kerajaan Pas Kelantan itu. Berikutan itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut campur tangan dan menasihatkan Nik Abdul Aziz supaya meminta menantunya itu meletakkan jawatan. Abdul Ariffahmi akur dengan nasihat itu dan meletakkan jawatan pada 24 November 2009. Sementara itu, Nasaruddin berkata, pihaknya masih menyiasat beberapa laporan yang dibuat terhadap projek Bazar Tok Guru membabitkan kira-kira 415 peniaga. "Kami sudah membuka kertas siasatan tetapi setakat ini tidak nampak unsur rasuah. Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan mengikut Akta SPRM dan kita juga melihat prosedur PMBK dalam isu ini," katanya. Pada 12 Januari lalu, para peniaga di Arked Uda dan Pasar MPKB meluahkan rasa kecewa terhadap PMBK kerana didakwa tidak mengotakan janji untuk memberikan ruang perniagaan yang sepatutnya kepada mereka di Bazar Tok Guru. Mereka mendakwa, lot-lot kedai yang diberikan terlalu sempit malah beberapa prasarana yang dijanjikan sebelum ini seperti surau dan tempat meletak kenderaan yang mencukupi masih belum disiapkan. |
Bazar Tok Guru: Pas digesa dedah laporan audit Posted: Bazar Tok Guru: Pas digesa dedah laporan auditKOTA BHARU 27 Jan. - Kerajaan Pas Kelantan digesa supaya mendedahkan laporan firma audit bebas yang dilantik membuat penilaian sebenar berhubung dakwaan berlaku kerugian dalam pembinaan Bazar Tok Guru oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK). Bekas Pegawai Perhubungan Awam PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz berkata, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa telah berjanji untuk melantik sebuah firma bebas bagi menilai kerugian tersebut pada 27 Januari 2010 selepas isu Bazar Tok Guru hangat diperkatakan. Beliau yang juga penulis laman blog Kickdefella berkata, status mengenai firma audit bebas itu senyap begitu sahaja selepas berita pelantikannya dilaporkan oleh media. "Saya dengan ini meminta Husam menjelaskan segera apa sudah jadi dengan firma audit bebas itu dan apakah keputusannya selepas genap setahun pengumuman itu dibuat. "Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat boleh tutup mulut dan selesaikan janji anda seperti yang termaktub di dalam perjanjian persefahaman antaranya dengan dua persatuan peniaga pada 6 Mac 2008 dan jangan salahkan UDA Holdings Berhad seperti yang dipaparkan dalam akhbar hari ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Isu mengenai Bazar Tok Guru timbul semula apabila 415 peniaga dari dua pasar, iaitu Pasar Lambok Arked Uda dan Pasar Besar MPKB tidak berpuas hati serta mendakwa kerajaan Pas Kelantan tidak berpegang kepada janji apabila memberikan lot perniagaan yang lebih kecil kepada mereka di bazar berkenaan. Ketika kekalutan mengenai isu itu kembali memuncak, semalam, Husam mengumumkan pihaknya berhasrat mengambil alih tanah yang menempatkan Arked Uda bagi membangunkan premis perniagaan sebagai usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi peniaga kecil di situ. Pada 15 Januari 2010, Nik Abdul Aziz mengaku kerajaan negeri telah melakukan kesilapan sehingga menanggung kerugian besar dalam projek pembinaan Bazar Tok Guru . Sehari sebelum itu, Syed Azidi mendedahkan kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM50 juta. Ia disebabkan kerajaan negeri terpaksa menebus kembali aras bawah bangunan Bazar Tok Guru dengan membayar RM23 juta selain menanggung kerugian RM30 juta kerana kehilangan tanah seluas 3.36 hektar. Bagi mencari penyelesaian kepada isu tersebut, Husam pada 27 Oktober 2010 telah membuat pengumuman Kerajaan Pas Kelantan melantik sebuah firma audit bebas untuk membuat penilaian sebenar berhubung dakwaan berlaku kerugian dalam pembinaan Bazar Tok Guru yang dilaksanakan PMBK. Sementara itu, Syed Azidi dalam 'entri' terbarunya mendakwa, Kerajaan Pas Kelantan akan mengalami kerugian berlipat kali ganda sekiranya mengambil alih tanah milik UDA Holdings Bhd. itu dan membina sebuah bazar baru untuk peniaga kecil. "Ini mengakibatkan kos yang terpaksa ditanggung oleh Kerajaan Pas Kelantan daripada isu Bazar Tok Guru atau namanya sekarang Lubang Kubur Tok Guru ini akan meningkat lagi. "Jika setahun yang lalu blog ini telah melaporkan Kerajaan Negeri kerugian RM50 juta akibat angkara urusan menantu Nik Aziz dalam hal Lubang Kubur ini. Jika dicampur dengan jumlah terbaru pampasan yang akan dibayar, ia pasti meningkat lagi. "Hari ini, Husam memaklumkan kos kerugian ketiga iaitu apabila kerajaan negeri akan terpaksa membayar pampasan pada jumlah yang belum disebut kepada UDA Holdings Berhad," katanya. Katanya, kos-kos ini tidak sepatutnya berlaku jika Pas telah menunaikan janji Pilihan Raya Umum 2008 dan rakyat tidak memilih Menteri Besar yang memberikan kuasa besar kepada menantunya di PMBK. "Tetapi ini semua kos duniawi semata-mata. Bagaimana kos di akhirat kelak ke atas pemimpin yang menipu dan menindas rakyat yang dipimpinnya. "Saya yakin Pas dan penyokongnya tahu jumlah kos di akhirat kelak kerana sekian lama mereka asyik duduk mengira kos akhirat yang mereka kata akan ditanggung oleh pimpinan Barisan Nasional," katanya. |
198 peneroka dapat surat palsu terima bantuan Posted: 198 peneroka dapat surat palsu terima bantuanLABIS 27 Jan. - Seramai 198 peneroka Felda Chemplak Barat di sini nyaris tertipu apabila menerima surat palsu mengenai majlis penyerahan bantuan sebanyak RM300 seorang daripada Majlis Daerah Labis (MDL) yang dijadual pagi esok. Ketua Kampungnya, Ahmed Maslan, 62, berkata, surat tersebut kononnya dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan itu ditanda tangani oleh Setiausaha MDL, Mohd. Farid Kassim. Surat itu antara lain memaklumkan kesemua peneroka tersebut layak untuk menerima sumbangan RM300 dan penerima diminta berkumpul di Dewan Serbaguna Labis untuk menerima bantuan itu pukul 9 pagi esok. "Untuk menerima wang sumbangan yang dijanjikan, setiap penerima surat berkenaan diminta membawa surat tawaran berserta kad pengenalan diri. "Tetapi saya tak sedap hati terus menghubungi pejabat MDL dan petugas memaklumkan bahawa surat tersebut tidak pernah dikeluarkan dan tiada sebarang sumbangan akan diberikan kepada peneroka seperti yang dinyatakan di dalam surat tersebut," katanya. Sehubungan itu, Ahmed mewakili 198 penduduk membuat laporan di Balai Polis Labis pukul 1.45 petang ini. Menurutnya, ia merupakan kali pertama perkara seumpama itu berlaku sepanjang beliau menjadi ketua kampung sejak tujuh tahun lalu. "Saya buat laporan polis kerana tidak mahu penduduk terus tertipu dan mungkin digunakan untuk kepentingan pihak tertentu yang mempunyai agenda tersembunyi," katanya. Utusan Malaysia dimaklumkan, pihak MDL juga telah membuat laporan mengenai pengedaran surat palsu itu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Abdul Majid Mohd. Ali ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh Ahmed dan kakitangan MDL. Beliau berkata, polis kini menyiasat perkara tersebut termasuk mengesan pihak yang bertanggungjawab menghantar surat berkenaan. Selain Felda Chemplak Barat, peneroka di Felda Tenang turut menerima surat serupa. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan