Rabu, 26 Januari 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Majikan dipenjara 11 tahun

Posted:

Majikan dipenjara 11 tahun

Majikan dipenjara 11 tahun

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my



KUALA LUMPUR 25 Jan. - ''Walaupun saya bersimpati dengan nasib perayu sebagai seorang ibu tunggal dan mempunyai seorang anak yang cacat tetapi saya tidak melihat sifat keinsafan perayu mengenai apa yang dilakukan ke atas mangsa.''

Sejurus selesai membaca penghakiman tersebut, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Ghazali Cha memutuskan menolak rayuan suri rumah, Hau Yuan Tyng, 45, bagi mengetepikan sabitan salah atas tiga tuduhan mencederakan bekas pembantu rumah warga Indonesia, Siti Hajar Sadli.

Beliau turut meminda hukuman penjara lapan tahun dan denda RM5,000 yang dikenakan ke atas bekas ejen hartanah itu kepada penjara 11 tahun bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Sebaik sahaja dimaklumkan oleh jurubahasa, raut wajah Yuan Tyng jelas kelihatan marah dan tidak puas hati dengan keputusan tersebut.

Bagaimanapun, wanita itu yang diwakili peguam bela, M. Manoharan sekali lagi berjaya mendapatkan penangguhan pelaksanaan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan terakhir.

Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fatt.

Pada 20 Mei tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen, S.M. Komathy Suppiah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Siti Hajar menggunakan air panas dan tukul besi yang boleh menyebabkan kematian.

Hukuman penjara tersebut diperintahkan berjalan secara berasingan.

Komathy turut menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan menyebabkan kecederaan mangsa dengan menggunakan gunting dan diperintahkan berjalan serentak dengan hukuman terdahulu.

Yuan Tyng didapati bersalah melakukan perbuatan itu antara Februari hingga 7 Jun 2009 di kediamannya No. 1-19-1, Lanai Kiara Condominium, Jalan Kiara 3, Mont Kiara di sini.

Selain hukuman penjara, ibu kepada dua anak itu turut diperintahkan membayar pampasan berjumlah RM5,000 kepada bekas pembantu rumahnya.

Terdahulu, dalam penghakimannya, Hakim Ghazali menyatakan, walaupun terdapat beberapa bahagian dalam keterangan mangsa yang kelihatan tidak logik atau bercanggah, apa yang penting, keterangan itu telah disokong oleh keterangan pakar-pakar dan juga laporan-laporan forensik serta kimia.

Beliau turut bersetuju bahawa pembelaan pihak perayu adalah satu perkara yang ditokok-tambah bagi menimbulkan keraguan dan isu yang dibangkitkan tidak pernah ditimbulkan oleh mana-mana saksi di peringkat pembelaan.

''Selepas merujuk kembali kepada kes pendakwaan melalui bukti dan keterangan perubatan serta kecederaan yang dialami oleh mangsa, saya berpendapat tiada kemungkinan kecederaan itu direkacipta oleh mangsa bagi meletakkan perayu dalam kesusahan.

''Tiada juga kemungkinan kecederaan itu sesuatu yang boleh disifatkan dilakukan sendiri oleh mangsa,'' kata hakim tersebut.

Beliau kemudian meminda hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan menyebabkan kecederaan parah menggunakan air panas dan tukul besi kepada penjara lima tahun setiap pertuduhan.

Bagi pertuduhan ketiga iaitu menyebabkan kecederaan menggunakan gunting, hukuman penjara enam bulan dipinda kepada penjara setahun.

Hakim Ghazali turut memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan berasingan bermula dari tarikh jatuh hukum sebelum ini iaitu pada 20 Mei tahun lalu.

Walaupun membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman, hakim tersebut menaikkan jumlah jaminan perayu daripada RM15,000 kepada RM25,000 dengan dua penjamin.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Malaysia lebih demokratik

Posted:

Malaysia lebih demokratik

Malaysia lebih demokratik

Oleh raja syahrir abu bakar
syahrir.bakar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang lebih demokratik berbanding Singapura berdasarkan kelebihan hak kebebasan bersuara yang diamalkan di negara ini.

Menurutnya, keadaan itu boleh diperhatikan melalui amalan parti pemerintah negara republik tersebut iaitu PAP yang akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana rakyatnya yang didapati tidak menyokong kerajaan.

Jelas beliau, keadaan itu amat berbeza dengan negara ini yang menyaksikan parti-parti politik tempatan lebih takut kehilangan sokongan rakyat sekiranya mereka bertindak tegas untuk mendisiplinkan masyarakat.

"Parti pemerintah Singapura tidak takut kepada rakyat. Jika rakyat pilih bukan calon PAP, dia akan diheret ke mahkamah, didenda dan dijadikan bankrap.

"Selepas itu dia tidak dapat ke Parlimen untuk membantah perlakuan pemerintah. Jika dia dibenar mengambil tempat di Parlimen, dia tidak akan berani berkata apa-apa," katanya dalam entri bertajuk 'Kaum Melayu Singapura' di http://chedet.co. cc/chedetblog/ hari ini.

Dr. Mahathir dilihat memberikan reaksi terhadap surat pembaca 'Utusan Malaysia' yang menasihatkan bekas Perdana Menteri itu supaya melihat hakikat kehidupan Melayu Singapura di kawasan Geylang Serai di republik itu.

Dalam ruangan Forum semalam, pembaca yang menggelarkan dirinya 'Tan Malaka' antara lain menulis:

"Mahathir tidak seharusnya hanya berinteraksi dengan orang Melayu Singapura hanya di kawasan Orchard Road tetapi juga harus sesekali pergi ke bawah, ke Geylang Serai umpamanya untuk melihat hakikat kehidupan rakyat biasa Melayu Singapura.

"Kita harus menerima hakikat bahawa keadaan mereka (Melayu Singapura) lebih teratur dan lebih baik dari dahulu. Mereka berniaga di gerai-gerai di Geylang Serai dalam keadaan yang selesa dan jauh lebih bersih dan teratur berbanding Kampung Baru di Kuala Lumpur."

Dr. Mahathir menegaskan, disiplin yang ada dalam masyarakat Singapura sebenarnya timbul akibat takut kepada kerajaan Singapura yang kurang demokratik serta menafikan hak kebebasan mereka untuk bersuara.

"Sesungguhnya keadaan di Singapura amat mengagumkan sesetengah daripada kita di Malaysia. Apa tidak, masalah Kampung Baru dapat diselesaikan dengan mudah.

"Pindahkan sahaja penduduk Kampung Baru, dan bangunkan rumah pangsa yang akan diduduki oleh sesiapa sahaja. Seperti hilangnya Geylang dan Pasir Panjang akan hilanglah Kampung Baru," jelasnya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

NCER dirancak pelaburan swasta

Posted:

NCER dirancak pelaburan swasta

NCER dirancak pelaburan swasta

Oleh ZULKIFLI JALIL dan THOMAS CHONG
pengarang@utusan.com.my


NAJIB Tun Razak bersama Redza Rafiq (lima dari kanan), Nor Mohamed Yakcop (empat dari kanan), Zambry Abd. Kadir (tiga dari kanan), Md. Isa Sabu (empat dari kiri), Azizan Abdul Razak (dua dari kiri) dan Lim Guan Eng (kanan) pada majlis pertukaran dokumen Perjanjian Program-Program Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. - BERNAMA


PUTRAJAYA 25 Jan. - Pembangunan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dirancakkan lagi dengan pelaburan bernilai RM155.5 juta daripada empat syarikat swasta yang bersetuju untuk melabur, memberikan latihan dan menambah peluang pekerjaan di wilayah itu.

Atas komitmen itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyaksikan majlis pertukaran dokumen pelaburan tersebut antara empat kerajaan negeri dengan wakil-wakil dari DNJ Candle Sdn. Bhd., Energy Impulse Sdn. Bhd., Frutania Industry Sdn. Bhd. dan QAV Technologies Sdn. Bhd.

Turut hadir pada majlis itu di Bangunan Perdana Putra di sini ialah Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hasan.

Menyertai mereka ialah Menteri-menteri Besar dalam NCER iaitu Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (Perak), Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Kedah), Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu (Perlis) dan Lim Guan Eng (Pulau Pinang).

Di bawah perjanjian pertama, DNJ Candle Sdn Bhd mulai bulan ini akan bekerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) untuk melatih 35 usahawan spa.

Sasaran latihan tersebut merangkumi lepasan ijazah, pemegang diploma serta lepasan sekolah menengah yang berada dalam NCER.

Projek kedua pula melibatkan pembinaan kilang pemprosesan dan pembungkusan produk minuman herba Misai Kucing di Perak.

Operasi kilang tersebut bakal mewujudkan 27 peluang perniagaan kepada petani kontrak, pembekal bahan mentah, pembekal mesin dan ejen pengagihan produk.

Dalam pada itu, kerjasama antara NCIA dengan Frutania Industry Sdn. Bhd. di Perlis pula akan meningkatkan kapasiti pemprosesan bahan mentah syarikat berkenaan.

Kerjasama antara syarikat itu dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pula bakal menyelesaikan masalah pemasaran yang dihadapi petani tempatan serta masalah lambakan buah mempelam yang sering berlaku.

Di Pulau Pinang pula, Pusat Pensijilan Produk Diode Pancaran Cahaya (LED) Dan Pencahayaan Keadaan Pepejal (SSL) akan dibangunkan melalui kerjasama antara NCIA dengan QAV Technologies Sdn Bhd.

Pusat tersebut menyediakan platform untuk pengesahan standard produk Malaysia serta membantu syarikat tempatan membangunkan tatacara pengujian dan pengesahan.

Dalam pada itu, Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq pada sidang akhbar kemudiannya memberitahu, nilai pelaburan daripada sektor swasta melonjak di NCER dari RM1.4 bilion pada 2008 dan 2009 kepada RM6.08 bilion pada tahun lalu.

''Sebanyak RM3.24 bilion (53.3%) daripada jumlah pelaburan swasta adalah terdiri pelabur tempatan manakala bakinya pelabur asing.

''Kebanyakan pelaburan yang dicatatkan adalah dalam bidang pengeluaran (46.35 peratus) dan logistik (44.42 peratus)," katanya.

Tambahnya, latihan dan kursus yang diberikan oleh NCIA berjaya meningkatkan pendapatan peserta berkenaan sebanyak 25 peratus.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan