Harian Metro: BeritaUtama |
Posted: 30 Jan 2011 10:26 AM PST ALOR GAJAH: "Saya terjaga daripada tidur apabila terdengar suara suami seperti sedang meratib atau berzikir dengan kuat. Apabila saya intai ke dalam biliknya, saya terkejut melihat perbuatannya yang pelik. "Dia bukannya berzikir, tapi membaca mantera dengan bahasa yang saya tidak fahami. Dia duduk di atas sejadah, tapi tak menghadap kiblat dan tangannya memegang satu keris kecil.
"Dia seolah-olah memuja keris itu," kata wanita yang mahu dikenali sebagai Humairah mengenai amalan aneh suaminya kononnya untuk menambah rezeki keluarga mereka selepas diberhentikan kerja sejak setahun lalu. Humairah, 25, dari sebuah kampung di sini berkata, dia mengesan amalan pelik suaminya yang berusia awal 30-an selepas curiga dengan sikapnya yang jauh berubah berbanding sebelumnya.
"Sejak menjalin hubungan dengan wanita itu, suami saya kerap berulang alik ke Filipina atau Indonesia bersama kekasih gelapnya. Ada kalanya sehingga berminggu-minggu dia tak pulang ke rumah. "Jadi, saya yang terpaksa berkerja keras menanggung kehidupan kami serta tiga anak kami yang berusia 10 bulan hingga lima tahun," katanya. Humairah berkata, pada mulanya dia sukar percaya suaminya menjalin hubungan dengan perempuan lain, namun selepas sikap suaminya jauh berubah kerana suka menyendiri dalam bilik dan selalu tidak pulang ke rumah, dia yakin ada yang tidak kena. "Keyakinan saya nyata berasas selepas terjumpa tangkal hitam dan botol minyak berisi akar kayu berbalut kain hitam serta dua keris kecil dalam lipatan cadar katil dalam biliknya. "Saya semakin terpanggil untuk menyelidik lebih mendalam apabila selalu terjaga daripada tidur pada kira-kira jam 11 malam dan mendengar suara suami membaca mantera dengan kuat di dalam biliknya," katanya. Menurut Humairah, rasa ingin tahun itulah yang mendorongnya mengintai perbuatan suaminya dan ketika itulah dia mengesan amalan aneh suaminya ketika memuja keris kecil miliknya. Katanya, kebiasaannya selepas selesai acara pemujaan itu, suaminya keluar rumah ke tempat tidak diketahuinya dan hanya akan pulang sekitar jam 5 pagi sebelum terus tidur hingga tengah hari. "Saya kemudian membawa barangan pelik termasuk keris kecil milik suami kepada ustaz dan saya diberitahu semua itu amalan syirik yang bertentangan dengan Islam. "Mujur, suami saya sedia mengikut saya untuk berubat. Apabila saya tanya mengenai barangan peliknya itu dia memberitahu ia pemberian kekasih gelapnya dan memujanya setiap malam supaya orang mudah kasih kepadanya dan rezeki bertambah murah," katanya. Humairah berkata, dia bersyukur kerana selepas melalui beberapa sesi rawatan pemulihan menggunakan al-Quran suaminya semakin pulih dan sudah insaf dengan perlakuan songsangnya. |
Aidil kata damai, Rita kata dusta Posted: 30 Jan 2011 10:16 AM PST KUALA LUMPUR: Krisis rumah tangga pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 24, dan pelakon Rita Rudaini Mokhtar, 35, memasuki episod baru apabila satu pihak mengeluarkan kenyataan sudah menemui jalan damai manakala satu pihak lagi menafikannya dengan tegas, semalam. Aidil yang dihubungi Harian Metro untuk mengesahkan laporan satu portal Internet mengenai Rita dikatakan sudah memohon maaf dengan mentuanya, mengakui perkembangan positif itu berlaku ketika isteri dan ibunya berjumpa selepas anak mereka, Airil Rayyan Rizkin, 2, dimasukkan ke Pusat Perubatan Prince Court, Khamis lalu.
"Ibu saya menziarahi anak saya yang mengalami demam panas dan dia berbual panjang dengan Rita. Mereka sudah bermaafan antara satu sama lain. Bagaimanapun lebih baik persoalan mengenai perkara ini ditanya kepada Rita kerana dia yang mempunyai masalah dan bukannya saya," katanya. Malah, Aidil berkata dia juga menarik balik tindakan proses sulh yang difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah berhubung soal penjagaan anak yang dibuat sebelum ini.
"Mengapa saya memohon maaf sedangkan tiada satu kesalahan pun datang dari pihak saya. Mereka sekali lagi sudah mengubah cerita sebenar agar kesalahan nampak di pihak saya. "Dalam hal ini saya perlu berhati-hati dan perlu membetulkan kembali kenyataan kerana bimbang ia bakal digunakan di mahkamah kelak. Saya ada saksi apa sebenarnya berlaku kerana ketika itu seorang wartawan kebetulan ada bersama dan dia boleh menjadi saksi," katanya. Rita yang kini hamil enam bulan juga hairan mengapa Aidil tidak menceritakan perkara sebenar bahawa dia datang melawat Rayyan hanya selepas dipaksa. "Saya sedih apabila terpaksa berdepan dengan masalah anak seorang diri. Sudahlah saya berbadan dua dan sekarang tidak cukup rehat kerana menjaga Rayyan di hospital. Selama tiga hari di hospital Aidil langsung tidak datang menjengah anak. "Apabila dia melawat bersama mentua saya sudah tidak dapat bersabar dan menceritakan apa yang berlaku sebenarnya. Selama ini pun saya banyak bersabar dan telan segala perbuatan mereka terhadap saya," katanya. Rita berkata, Adil dan kelurganya memohon maaf ke atas kesalahan mereka, namun itu hanya berlaku selepas dipujuk oleh wartawan yang kebetulan berada di hospital berkenaan. "Saya maafkan mereka tetapi ingin saya tegaskan ia membabitkan kedua-dua mentua saja. Ini kerana saya menghormati mereka sebagai orang yang lebih tua tetapi yang lain saya tidak akan maafkan," katanya. Rita juga menegaskan, kenyataan Aidil yang dia menarik balik permohonan hak penjagaan anak mereka sesuatu sukar diterimanya kerana pihak Mahkamah Syariah Seremban baru menghubunginya dan memaklumkan bawa Aidil mahu perbicaraan kes itu diteruskan. "Sekarang saya tidak mahu fikir panjang mengenai perkara itu kerana perlu beri perhatian kepada kesihatan Rayyan dan kandungan saya. Terpulanglah kepada suami saya apa juga tindakan dilakukan sama ada mahu menarik kembali aduan atau tidak. Tolong jangan kacau dan menambah tekanan kepada saya lagi. "Sebelum ini dia (Aidil) pernah kata mahu menarik kembali aduan tetapi sampai sekarang ia tetap diteruskan. Dengan saya dia kata sudah tarik tetapi mahkamah menghubungi saya dan memaklumkan dia mahu perbicaraan diteruskan. Saya malas mendengar penjelasan bercanggah daripadanya," kata Rita. |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: BeritaUtama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan