Berita Harian: Wilayah |
Posted: 26 Jan 2011 01:50 PM PST Wilayah WAN ROSDY merasmikan jambatan gantung baru di Kampung Lubuk Kulit. KUALA LIPIS: Penantian kira-kira 500 penduduk Kampung Lubuk Kulit, dekat sini berakhir apabila kerajaan membina sebuah jambatan gantung baru menggantikan jambatan lama yang rosak. Jambatan baru sepanjang 40 meter dan lebar 1.5 meter yang dibina bersebelahan tapak jambatan lama dengan kos RM100,000 itu, membolehkan penduduk kampung berkenaan menggunakannya dengan lebih yakin dan selamat. Sebelum ini, mereka bimbang keselamatan nyawa penduduk apabila terpaksa menggunakan jambatan gantung yang rosak untuk menyeberangi Sungai Telang dan boleh roboh bila-bila masa berikutan struktur kayunya semakin reput. Seorang penduduk, Osman Mat Ali, 59, bersyukur kerana jambatan gantung lama yang uzur dan berbahaya itu diganti baru bagi kemudahan penduduk kampung,"Jambatan gantung ini amat penting bagi kami kerana ia menjadi laluan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Kulit berulang alik setiap hari. ''Sebelum ini penduduk terpaksa memotong dahan pokok untuk dijadikan pemijak bagi menggantikan kayu yang reput, sekali gus membahayakan keselamatan serta nyawa mereka yang menggunakan jambatan gantung ini setiap hari,'' katanya selepas majlis perasmian jambatan gantung Kuala Boya, Lubuk Kulit, dekat sini, baru-baru ini. Beliau berkata, dahan kayu yang dipotong itu pula licin apabila dibasahi embun pagi dan boleh menyebabkan penggunanya terutama murid ke sekolah tergelincir.
"Sebelum siap jambatan baru, penduduk menghadapi kesukaran untuk membawa jenazah menyeberangi sungai itu kerana struktur jambatan yang sudah uzur," katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan jambatan gantung baru itu adalah untuk sementara sebelum mendapat peruntukan bagi membina jambatan konkrit. Katanya, kerajaan prihatin terhadap permintaan penduduk yang mahukan sebuah jambatan konkrit menggantikan jambatan gantung sedia ada yang semakin usang dan membahayakan keselamatan penduduk. "Mereka bimbang jambatan gantung yang dibina sejak 1960-an untuk menyeberangi Sungai Telang itu boleh roboh bila-bila masa kerana struktur kayunya semakin reput. "Bagaimanapun, saya berharap penduduk bersabar kerana permohonan untuk membina jambatan konkrit sudah diajukan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW),'' katanya. Beliau berkata, sementara menunggu peruntukan itu, kerajaan membina jambatan gantung baru yang berharga RM100,000 bagi kemudahan penduduk menyeberangi Sungai Telang. |
Posted: 26 Jan 2011 01:49 PM PST Wilayah BPBP mahu masalah bebani penghuni ditangani segeraKUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Badan Pengurusan Bersama Pangsapuri Mawar (BPBP), Bandar Baru Sentul, di sini meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) campur tangan bagi menyelesaikan pelbagai masalah di kediaman itu hingga membebankan kira-kira 3,000 penghuninya. Setiausaha BPBP, Rosmizul Rusly, berkata minggu lalu, e-mel dikirim kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB) untuk mendapatkan temu janji bagi meleraikan permasalahan dihadapi penghuni pangsapuri berkenaan. Bagaimanapun, katanya, setakat ini, tiada sebarang maklum balas diterima berhubung permohonan itu. "Sekurang-kurangnya tujuh laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Sentul di sini, sejak November tahun lalu berkaitan pelbagai tindakan beberapa pihak yang tidak mematuhi prosedur."Salah satu tindakan dibantah ahli jawatankuasa BPBP ialah berkaitan perjanjian perkhidmatan yang berat sebelah dan membebankan pemilik serta bersifat mala fide, antara terma paling kritikal dan merugikan penduduk iaitu berkaitan bayaran pampasan kepada ejen pengurusan apabila tamat kontrak perjanjian. "Pada 17 Julai lalu, ejen pengurusan mengemukakan tuntutan RM79,635 dengan merujuk terma berat sebelah itu, sekali gus menipu pemilik pangsapuri. "Pemeriksaan mendapati ada pihak bersubahat dalam penyediaan perjanjian itu walaupun ketika penyediaan draf perjanjian, ahli jawatankuasa mengingatkan pihak berkenaan supaya tidak memasukkan terma berat sebelah dan merugikan pemilik dan penduduk," katanya ketika ditemui di sini.
"Ejen pengurusan terbabit tidak pernah menyediakan laporan bulanan lengkap serta bertindak menyalahi prosedur tetapi kontraknya tetap disambung dengan alasan menunjukkan prestasi baik," katanya. Selain itu, katanya, pihak tidak bertanggungjawab itu juga didakwa menggunakan kutipan wang penyenggaraan yang dibayar pemilik unit pangsapuri berkenaan kepada kontraktor yang melakukan kerja penyelenggaraan secara tunai walaupun ia melanggar prosedur mengikut Akta 663. Bidang kuasa JMB adalah tertakluk kepada Akta 663 (Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan 2007) yang diperkenalkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada April 2008. Mengikut Akta 663, pihak berkuasa yang memantau pengurusan rumah bertingkat ialah Pesuruhjaya Bangunan (COB). Sementara itu, Pengerusi BPBP, Abdul Ghani Abdullah ketika dihubungi berkata, sebarang masalah seharusnya diselesaikan pada mesyuarat agung yang akan berlangsung pada 26 Februari ini. "Saya seorang yang tegas, sebab itulah ada yang tidak berpuas hati dengan cara saya. Mengenai ejen pengurusan itu, kontrak mereka akan tamat pada 31 Mac ini dan tidak akan disambung lagi," katanya yang turut mengakui ada tindakan ejen berkenaan yang tidak mengikut prosedur yang ditetapkan, termasuk gagal mengemukakan laporan bulanan.
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Wilayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan