Utusan Online - Selatan |
Posted: RM69 juta bantu orang miskinOleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
JASIN 25 Jan. - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri telah menyalurkan bantuan sebanyak RM69.52 juta kepada 22,856 penerima bantuan JKM yang layak sepanjang tahun lalu. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, peruntukan sebanyak RM69,522,167 pada tahun lalu itu meningkat berbanding RM46,217,794 yang diagihkan kepada 17,005 penerima bantuan pada 2009. "Pada tahun lalu, sebahagian peruntukan iaitu kira-kira RM59.02 juta adalah daripada kerajaan Persekutuan manakala kerajaan negeri menyalurkan RM10.5 juta khusus untuk memastikan nasib rakyat di negeri ini terbela dan terpelihara. "Peningkatan jumlah peruntukan sebanyak kira-kira RM23 juta antara 2009 dan 2010 menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri bagi memastikan masalah kemiskinan dapat diatasi sehingga ke peringkat akar umbi agar ia tidak lagi menghantui masyarakat di negeri ini," katanya. Beliau berucap merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Bulanan dan Bantuan Perayaan Tahun Baru Cina JKM negeri Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau di Dewan Datuk Hj. Md. Ithnin di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Jasin, Datuk Ahmad Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Ab. Karim Sulaiman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman dan Penolong Pengarah Kanan JKM negeri, Mohd. Zamry Abulis. Pada majlis tersebut, seramai 505 orang telah menerima bantuan yang disampaikan oleh Mohd. Ali. Mengulas lanjut, Mohd. Ali berkata, pada tahun ini, JKM negeri telah memohon peruntukan sebanyak RM76 juta bagi menampung keperluan penerima bantuan JKM. "Saya difahamkan, pada tahun ini, JKM telah memohon sebanyak RM65 juta daripada kerajaan Persekutuan manakala RM11 juta daripada kerajaan negeri. "Dengan peruntukan sebanyak ini, JKM akan menyalurkan bantuan sebanyak RM6.3 juta sebulan kepada rakyat yang layak mendapat bantuan," ujarnya. Jelas beliau, dari sudut ekonomi, jumlah tersebut dilihat akan menambah kuasa membeli di kalangan penerima bantuan sekali gus memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi terutamanya dari segi sektor peruncitan dan perubatan. Tambahnya, jumlah penerima bantuan bagi DUN Merlimau ketika ini adalah seramai 1,046 orang dengan peruntukan sebulan sebanyak RM279,500. | ||
TNB bekalkan elektrik 99.5% kawasan seluruh NS Posted: TNB bekalkan elektrik 99.5% kawasan seluruh NSSEREMBAN 25 Jan. - Kerajaan negeri berjaya menyalurkan kemudahan bekalan elektrik kepada hampir 99.5 peratus kawasan di seluruh negeri ini sehingga tempoh penghujung tahun lalu. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pencapaian itu berjaya diraih menerusi khidmat dan kerjasama dari pelbagai pihak terutamanya Tenaga Nasional Berhad (TNB). "Walaupun kita gagal mencapai KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) yang saya tetapkan iaitu sasaran 100 peratus dalam tempoh tersebut, namun saya amat berpuas hati dengan perolehan ini. "Namun, buat masa ini, kita telah mengenal pasti sebanyak lapan perkampungan di sekitar negeri ini yang masih tidak menerima kemudahan elektrik berikutan lokasinya yang terletak di kawasan pendalaman dan terpencil," katanya. Mohamad berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Wisma TNB Seremban di sini hari ini. Turut berangkat, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud. Mengulas lanjut, Mohamad berkata, perkara itu juga berpunca dari kekangan ekonomi kerana kos untuk menyalurkan bekalan elektrik secara konvensional (talian) ke kampung berkenaan menelan belanja yang amat tinggi. "Bagaimanapun, bagi memastikan kesejahteraan hidup penduduk kampung terbabit, pihak kami telah menyalurkan bantuan melalui pemberian dan pengagihan alat penjana elektrik," katanya. Tambah beliau, pihaknya kini sedang giat untuk mendapatkan kerjasama serta sokongan dari pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bagi menyelesaikan masalah tersebut sekali gus mencapai 100 peratus capaian elektrik di seluruh negeri ini. "Jika itu berlaku, kita akan jadi negeri pertama untuk mencapai tahap 100 peratus penduduk menerima bekalan elektrik secara komprehensif," katanya. Dalam pada itu, Mohamad turut memberitahu, melalui peningkatan penyaluran bekalan elektrik khususnya di kawasan perindustrian di sekitar negeri ini, ia secara tidak langsung telah menyaksikan peningkatan terhadap perolehan keuntungan pelaburan asing dan domestik di negeri ini. "Sebagai hasilnya, Negeri Sembilan berjaya mencatatkan sebanyak RM5.3 bilion sepanjang tahun lalu yang merangkumi pelaburan dari pelbagai sektor secara keseluruhan. "Bagi sektor pelaburan perindustrian asing dan domestik kita pula berjaya memperoleh sebanyak RM1.3 bilion bagi tahun lalu, di mana sasaran awal kita letakkan pada kadar RM1 bilion, saya amat gembira di atas perkembangan ini," ujarnya. | ||
Posted: JKM cari waris OKU
MELAKA 25 Jan. - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Melaka Tengah sedang mencari waris atau saudara mara kepada seorang wanita kurang upaya (OKU) dan dua anaknya. Pegawainya, Faidzah Abdullah berkata, wanita berkenaan yang diletakkan di bawah kategori masalah pembelajaran dikenali sebagai Lim Ah Lai. ''Dia kini diletakkan di bawah jagaan Persatuan Sukarela manakala dua anaknya dikenali sebagai Lim Shan Lye dan Chang Yong Fatt pula di bawah jagaan institusi kebajikan masyarakat," katanya di sini hari ini. Sehubungan itu, pihaknya meminta waris yang mengenali Ah Lai dan dua anaknya atau mereka yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga mereka supaya menghubungi JKM Melaka Tengah di talian 06-2328335, 06-2324978 atau 06-2324198. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan