Khamis, 27 Januari 2011

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Kecemerlangan sekolah bergantung pengetua

Posted:

Kecemerlangan sekolah bergantung pengetua

Kecemerlangan sekolah bergantung pengetua


Muhyiddin Yassin beramah mesra dengan sekumpulan peserta selepas menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN Kelima dan Forum Pengetua Sekolah ASEAN (SEASPF) Ketiga di Brunei, semalam. Turut serta, Menteri Pendidikan Brunei, Pehin Awang Abu Bakar Apong (kiri). - BERNAMA


BANDAR SERI BEGAWAN 26 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan sistem pendidikan negara melahirkan modal insan berkualiti dan pelajar berprestasi tinggi sangat bergantung kepada kemampuan kepimpinan di peringkat sekolah terutama pengetuanya dalam menjalankan tugas dengan cemerlang.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, ketika ibu bapa dan guru bertanggungjawab dalam pembentukan minda pelajar, pengetua sekolah pula berperanan untuk meningkatkan kemampuan guru bagi menentukan acuan generasi masa depan.

"Sebagai ibu bapa, kita sering memilih sekolah yang bukan sahaja kerana kualiti kemudahannya untuk anak-anak belajar tetapi juga kepimpinan sekolah itu yang melibatkan guru dan pengetua," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bertemakan Perkongsian dan Menggunapakai Dinamisme Pemimpin Sekolah Asia Tenggara ke Arah Pembentukan Modal Insan dan Pendidikan Inovasi Abad Ke-21 pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran ASEAN Kelima dan Forum Pengetua Sekolah ASEAN (SEASPF) Ketiga di sini hari ini.

Menurutnya yang juga Menteri Pelajaran, ibu bapa percaya sekolah yang mempunyai kemudahan, guru dan pengetua cemerlang akan dapat menyediakan peluang yang lebih baik untuk anak-anak mereka.

Sehubungan itu katanya, pengetua sekolah perlu mempunyai keupayaan yang tinggi dalam menjalankan tugas mereka termasuk mampu membawa perubahan positif di kalangan pelajarnya.

"Pengetua sekolah mesti responsif terhadap pertumbuhan yang dinamik dan pembangunan di sekeliling anak-anak dan mampu menyediakan masa depan untuk mereka.

"Ini menuntut pengetua sekolah mesti mempunyai wawasan untuk pelajarnya bagi menjadi apa dan apa yang mampu dilakukan oleh mereka," katanya.

Muhyiddin berkata, pengetua sekolah yang mempunyai wawasan baru bukan sahaja mampu mencapai aspirasi negara dalam bidang pendidikan tetapi juga dapat mengupayakan kehidupan pelajar selepas sekolah tanpa mengira kaum, status sosial dan jantina.

Timbalan Perdana Menteri berkata, para pengetua juga perlu diberi galakan dan sokongan terutama dalam menghadapi cabaran semasa agar mereka mampu menjadi peneraju yang baik.

Selain perlu mendapatkan idea baru tentang bilik darjah dan pendidikan, katanya, pengetua sebagai peneraju perubahan perlu diberi pendedahan mengenai pemikiran strategik dan kecekapan dalam organisasi.

Forum tersebut yang akan berakhir Jumaat ini bertujuan meningkatkan kerjasama antara persatuan-persatuan pengetua di rantau ini, mempromosikan globalisasi dalam pendidikan, mengukuhkan keupayaan kepimpinan dan mewujudkan sistem pendidikan yang lebih baik untuk ASEAN.

Pada akhir forum anjuran Sekretariat SEASPF itu, satu deklarasi akan dikeluar dan diserahkan kepada kerajaan masing-masing untuk tindakan lanjut.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Inflasi masalah global, bukan setakat di Malaysia - Dr. Hamzaid

Posted:

Inflasi masalah global, bukan setakat di Malaysia - Dr. Hamzaid

Inflasi masalah global, bukan setakat di Malaysia - Dr. Hamzaid

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Inflasi bukan sahaja berlaku di Malaysia malah merupakan masalah global yang sering melanda terutamanya negara yang mengalami pertumbuhan pesat.

Pakar ekonomi yang juga Ketua Eksekutif Kolej Teknologi Alpha, Dr. Hamzaid Yahya berkata, inflasi akan berlaku di negara yang mengalami pertumbuhan enam peratus ke atas seperti di China, India, Singapura dan Jepun.

"Buat masa ini, inflasi tidak akan dirasai dengan jelas. Jika pertumbuhan ekonomi negara berkembang enam peratus, kita akan merasai kesan inflasi mulai tahun depan.

"Kenaikan harga barang keperluan juga menunjukkan berlakunya inflasi. Kenaikan tersebut disebabkan negara pengeluar tidak dapat memenuhi permintaan akibat bencana alam dan faktor-faktor lain. Contohnya seperti harga bawang yang meningkat berkali ganda," katanya ketika diminta mengulas mengenai inflasi di Malaysia dan negara lain di sini hari ini.

Tambah beliau, inflasi juga berlaku apabila kenaikan permintaan melebihi pengeluaran kesan daripada kenaikan pendapatan yang tinggi.

Katanya, kenaikan harga minyak secara perlahan-lahan dan akan terus naik menyebabkan peningkatan harga import yang sebahagiannya digunakan semula dalam sektor pengeluaran negara.

Sementara itu, penganalisis ekonomi dan pensyarah Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, kenaikan harga barang keperluan akan menyebabkan kuasa beli berkurangan.

"Perkara ini berlaku apabila permintaan pengguna yang melebihi penawaran akan menyebabkan mereka terpaksa membayar melebihi daripada harga asal.

"Inflasi berlaku disebabkan kenaikan harga makanan, komoditi dan bahan bakar yang bergantung kepada pengeluaran dalam dan luar negara," ujarnya.

Dalam pada itu, pensyarah ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Hussin Baharuddin pula berkata, inflasi boleh berlaku di seluruh negara akibat permintaan barangan yang melebihi penawaran.

"Inflasi dapat dilihat sedang berlaku di Amerika Latin dengan kadar tujuh peratus, Filipina tujuh ke lapan peratus dan Eropah empat ke lima peratus.

"Inflasi tidak boleh dihentikan sepenuhnya. Cuma kita boleh menyesuaikan diri dan belajar meningkatkan lagi produktiviti agar dapat memenuhi penawaran atau pengeluaran," jelasnya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Guna kanak-kanak lakukan jualan

Posted:

Guna kanak-kanak lakukan jualan

Guna kanak-kanak lakukan jualan

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
pengarang@utusan.com.my


Anggota polis memeriksa identiti sebahagian kanak-kanak bawah umur yang disyaki telah dieksplotasi melakukan jualan amal dalam pemeriksaan di sebuah pertubuhan di Chuah, Port Dickson, semalam.


TELUK KEMANG 26 Jan. - Seorang penyelia dan tiga tenaga pengajar sebuah pertubuhan di sini ditahan pihak berkuasa hari ini kerana disyaki menggunakan kanak- kanak bawah umur untuk melakukan jualan amal di negeri ini termasuk di kawasan Rehat & Rawat (R&R) Seremban dan Nilai.

Mereka dalam lingkungan usia 40-an ditahan dalam pemeriksaan di premis itu di Chuah dekat sini oleh Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), polis serta penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Jurucakap JHEAINS memberitahu, pemeriksaan dilakukan selepas banyak aduan diterima berhubung penglibatan kanak-kanak itu yang mengutip derma untuk pertubuhan berkenaan sehingga lewat malam.

"Penyelia itu merupakan ketua bagi zon selatan manakala tiga tenaga pengajar itu mendakwa diri mereka sebagai ustaz yang mengajar kanak-kanak dalam bangunan pertubuhan terbabit," katanya ketika ditemui di Balai Polis Lukut di sini hari ini.

Kumpulan berkenaan menempatkan lebih 83 remaja berusia antara 10 hingga 18 tahun dipercayai menjalankan aktiviti berkenaan sejak sekian lama dan mengeksploitasi mereka atas alasan ia kurikulum berkonsepkan keusahawanan.

Menurut jurucakap itu, hasil siasatan mendapati kanak-kanak itu dibawa ke beberapa lokasi sekitar Port Dickson, Seremban, Nilai dan tempat lain untuk menjual barang yang didakwa untuk mengumpul dana.

"Mereka mendakwa penempatan dalam blok bangunan di Ambang Kota, Lukut hanya sebagai transit bagi pelajar yang datang dari pusat tahfiz, Kedah kononnya untuk melahirkan pelajar mahir dalam perniagaan.

"Siasatan mendapati kanak-kanak itu akan duduk di pusat ini untuk dua hingga tiga hari dan mengikuti kurikulum pusat tahfiz berkenaan seperti menjual barang yang akhirnya didapati bagi mengumpul dana pertubuhan itu," katanya.

Bagaimanapun katanya, melalui pemeriksaan yang dilakukan di beberapa lot premis dalam bangunan terbabit, rata-rata kanak-kanak di situ menetap untuk satu tempoh yang lama dan menjalankan aktiviti jualan amal dan kebajikan pada sebelah petang hingga malam.

"Ada di antara mereka tidak rela melakukan tugas itu dan mahu meneruskan pelajaran secara normal. Rata-rata kanak-kanak ini adalah anak yatim dan daripada keluarga susah," ujarnya.

Jurucakap itu menjelaskan, kesemua mereka akan disiasat mengikut Enakmen Jenayah Syariah iaitu mengajar tanpa tauliah serta mewujudkan kelas agama yang tidak didaftarkan di bawah JHEAINS.

Difahamkan, MPPD telah mengeluarkan lima notis kepada pusat itu sebelum ini melibatkan kesalahan pengubahsuaian struktur premis tanpa kelulusan.

"Pemeriksaan ini adalah untuk menyelamatkan kanak-kanak berkenaan agar mereka diberi didikan yang betul dan sempurna selain mendiami premis yang selesa bagi pengembangan minda," katanya.

Tambah jurucakap itu, pihaknya juga akan memantau kegiatan yang dilakukan di pusat berkenaan lebih-lebih lagi ia mempunyai modus operandi yang sama dengan Kumpulan Al-Arqam.

"Terdapat lebih lima kakitangan pusat berkenaan di lokasi terbabit dan terdapat juga sebuah 'Pusat Rawatan Cinta' yang melakukan rawatan bekam dan urut yang sedang diubah suai dalam salah satu bahagian di premis berkenaan," katanya.

Sementara itu beberapa pelajar yang ditemui Utusan Malaysia mendakwa mereka akan keluar menaiki kenderaan mengikut jadual yang ditetapkan warden dan penyelia.

"Pelajar berusia 18 tahun akan keluar selepas waktu Zuhur manakala bawah 15 tahun akan menaiki kenderaan lain selepas solat Asar untuk menjual kalendar, kismis, herba dan minyak angin setiap hari.

"Jadual kami disediakan warden dan penyelia. Kami pergi ke banyak lokasi dan biasanya tempat tumpuan orang ramai. Kami akan balik pukul 10 malam dan kutipan ini untuk mengumpul dana dan membantu pusat ini termasuk membiayai makan dan minum pelajar," kata seorang pelajar.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan