Tiada istilah raya ketika berperangTiada istilah raya ketika berperang
Oleh ADLAN JAAFAR
adlan.jaafar@kosmo.com.my
MOHD. AZIM ABD. RAHMAN TUNKU MUKMINAH bergambar dengan bingkai gambar yang memaparkan foto-foto kenangan bersama Tunku Abdul Rahman.
PADA pagi Jumaat lebih 60 tahun lalu, Datuk Tunku Mukminah Tunku Muhammad Jiwa sedang bersiap-siap untuk ke sekolah.
Tiba-tiba, beliau dikejutkan dengan berita peperangan yang meletus di tanah tumpah darahnya, negeri Kedah. Sejak hari tersebut, sesi persekolahannya tergantung dan beliau hanya tinggal di rumah menanti perang tamat.
"Setiap petang Mak Ungku duduk di pekarangan rumah yang terletak di Jalan Langgar dan sering melihat keluarga mengusung mayat yang kebanyakannya keturunan India.
"Ketika itu penyakit berjangkit seperti malaria cepat menular dan ia membawa maut jika tidak dirawat," kenang Tunku Mukminah ketika ditemui di kediamannya di Subang Jaya.
Lebih mesra dipanggil sebagai Mak Ungku, anak saudara Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra itu berkata, keganasan Jepun tidak pernah memilih darjat atau darah keturunan seseorang.
Rumah Almarhum ayah beliau pernah menjadi mangsa apabila digeledah dan diperiksa manakala nyawa ayahnya berada dalam keadaan terancam disebabkan tindakan askar Jepun seramai empat orang itu.
Bagaimanapun, Almarhum ayah Tunku Mukminah bernasib baik kerana ketua askar tersebut mengetahui hal berkenaan. Dia sempat menyelamatkan Almarhum daripada sebarang tindakan kejam.
"Lalu, ketua mereka memerintahkan askar-askarnya itu menjalani hukuman seppuku (ritual membunuh diri dengan memotong perut) di hadapan Almarhum (ayah)," ujar Tunku Mukminah kepada Kosmo! baru-baru ini.
Tambah beliau, disebabkan menyaksikan kejadian tersebut di depan mata, ayahnya mengalami demam panas mengejut dan berpanjangan.
Melalui pemerhatian Tunku Mukminah, ketika zaman Jepun selama empat tahun, rakyat sentiasa hidup dalam ketakutan dan tidak pernah menyambut sebarang hari perayaan terutamanya Aidilfitri.
"Apabila terdengar bunyi pesawat terbang melewati kawasan, orang kampung cepat-cepat menghadang lampu pelita supaya tidak dikesan," ujarnya yang mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinan dengan Allahyarham Syed Hussain Syed Mansor.
Ditikam Jepun
Tambah beliau, rakyat hanya sibuk mencari makanan untuk meneruskan hidup dan sentiasa takut tatkala terpandang kelibat tentera Jepun. Jika tidak menghormati mereka, padahnya akan diseksa.
Menurut Tunku Mukminah, ayahnya juga pernah hampir ditikam kerana tidak tunduk kepada Jepun ketika berjalan di bandar tetapi terselamat apabila seorang Benggali berteriak memberitahu bahawa ayahnya seorang putera raja.
Makanan juga amat susah walaupun Tunku Mukminah bernasib baik kerana dapat menjamah nasi tetapi sepanjang tempoh tersebut dia tidak pernah merasai kemanisan gula.
"Kesannya, sehingga kini Mak Ungku minum kopi tanpa gula," kata Tunku Mukminah yang kini berusia 79 tahun.
Suasana perayaan Aidilfitri hanya kembali terasa selepas Jepun menyerah kalah dan lama-kelamaan sambutan hari raya semakin meriah.
Imbas Tunku Mukminah, Perdana Menteri Pertama Malaysia sangat suka berkumpul beramai-ramai dengan ahli keluarga dan mengadakan jamuan.
"Almarhum Tunku pasti memasak sendiri juadah jika jamuan kecil-kecilan untuk keluarga diadakan," kata Tunku Mukminah yang amat rapat dengan Tunku Abdul Rahman.
Kata Tunku Mukminah, makanan kegemaran bapa kemerdekaan itu ialah puding Yorkshire dan daging lembu panggang selain menggemari hidangan itik golek masakannya.
"Sifat Almarhum adalah apabila makan hidangan Inggeris, dia akan mengamalkan cara menjamu selera gaya tulen Eropah iaitu siap dengan etika susunan sudu, garfu dan pisau. Jika lauk-pauk Melayu pula, dia akan makan dengan tertib Melayu yang sopan.
Wanita yang kini aktif dengan aktiviti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Pandu Puteri itu memberitahu, Almarhum meminati penyanyi adik-beradik Hamzah Dolmat dan Kamariah Nor. Setiap kali Almarhum menganjurkan keramaian pasti Almarhum memanggil kedua-dua penyanyi itu.
Komunis
Lain pula pengalaman yang dilalui oleh seorang pesara polis yang kini tinggal di Padang Temu, Melaka, Ibrahim Abu. Dia adalah antara penduduk di Tanah Melayu yang dikerah menganggotai khidmat negara (NSSC) pada tahun 1950 hingga 1951.
Kemudian, pada tahun 1962, dia mengambil keputusan untuk menjadikan polis sebagai pekerjaan tetap sehingga pencen pada tahun 1992.
Sepanjang tempoh itu, dia melihat sendiri peristiwa-peristiwa berdarah disebabkan komunis malah kebanyakan mangsa terdiri daripada anggota pasukannya.
Antara tugasnya ketika menjadi NSSC adalah mengiring, mengawal dan memeriksa penduduk Kampung Baru yang bekerja sebagai pembalak kerana dikhuatiri mereka menjadi tali barut komunis dengan memberi bekalan makanan.
Kekhuatiran pihak berkuasa terbukti benar apabila Ibrahim menyaksikan seramai enam orang pengiring diserang hendap ketika perjalanan mengiringi penduduk kampung ke hutan.
Kejadian yang berlaku pada tahun 1951 di Rompin, Pahang itu telah mengorbankan kesemua anggota NSSC apabila troli besi yang dinaiki mereka meletup.
"Selain itu, banyak lagi perbuatan komunis yang cuba menyusahkan penduduk seperti mencuri rel kereta api sehingga tren tergelincir di Johor Bahru manakala di Air Kuning, Perak pula seramai 16 orang NSSC telah dihantar ke hutan untuk menyiasat sebuah lori balak terbakar.
"Namun, kesemuanya telah diserang dan 12 orang daripada mereka telah mati dalam serangan itu manakala empat orang lagi terselamat disebabkan sempat menyorok dalam tayar," ujar Ibrahim yang kini berumur 80 tahun.
Bunuh komunis
Malah, dia juga pernah menembak mati seorang komunis ketika bertugas di Cawangan Khas E3F dalam Operasi Beruang pada tahun 1980-an.
Operasi Beruang mendapat nama kerana pasukannya pernah menyerang sebuah kawasan di sebatang pokok yang menjadi tempat Letter Dump. Ia merujuk kepada tempat rahsia buat anggota komunis berhubung. Operasi itu mendapat nama sempena keadaan pokok tersebut yang sering menjadi tempat beruang mencakar-cakar kuku.
"Saya berjaya menembak mati seorang pengganas komunis selepas menunggu berjam-jam lamanya kerana yakin dengan maklumat yang diperoleh daripada ahli komunis yang belot.
"Selain itu, saya pernah bertugas di Sarawak dan menentang anggota gerila berhaluan kiri yang dipanggil Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) pada tahun 1960-an," ujarnya.
Bercerita tentang sambutan hari raya ketika berkhidmat sebagai anggota polis, Ibrahim kerap mendapat giliran berkawal di pos kawalan hutan (fort) pada hari kebesaran Islam itu.
Kawalan menjadi memuncak sejak kes pembunuhan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Rahman Hashim pada tahun 1974 dan Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong pada 1975. Kedua-duanya dipercayai ditembak oleh penjahat komunis.
"Ketika bertugas pada musim raya, sudah pasti saya sedih apabila terdengar takbir raya pada pagi Syawal. Namun, tugas harus diutamakan kerana fort wajib dikawal seperti hari-hari biasa," katanya yang kali terakhir bertugas mengawal Fort Tapong di Perak.
Sebelum bersara daripada dunia polis, dia telah dianugerahkan Pingat Pangku Negara (PPN) oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ismail pada tahun 1988.
Kesan keamanan
Bagi penyanyi yang mendapat gelaran Raja Gelek Malaysia, Datuk M. Daud Kilau, 70, cara menyambut dan persediaan raya zaman sebelum merdeka sangat berbeza dengan sekarang.
Namun, itu adalah lambang kepada kemodenan dan kemajuan yang dikecapi kesan daripada kemerdekaan yang telah dicapai.
Menurut M. Daud, dahulu umat Islam akan membayar zakat fitrah dengan menyerahkan sendiri sebungkus beras sama seperti kadar bayaran satu gantang Baghdad makanan asasi.
Jadi, katanya, di tempat pembayaran zakat, terdapat bungkusan diperbuat daripada daun mengkuang yang dipanggil bajam. Dalamnya terisi beras seberat satu gantang.
Bajam disusun sehingga pada ketinggian tertentu yang boleh dicapai manusia bermula awal bulan Ramadan sehingga pagi raya.
Apabila penduduk kampung datang untuk membayar fitrah, mereka secara perseorangan akan membeli beras dalam bajam dan amil akan menyorong bungkusan sebelum akad terima zakat dibuat.
"Bagaimanapun, ketika penghujung tahun 1960-an dan awal 1970-an, bajam sudah tidak kelihatan manakala bayaran zakat menggunakan resit pula," katanya.
Tambah M. Daud, ketika zaman dia kanak-kanak, televisyen merupakan barang mewah yang hanya boleh dimiliki oleh orang berada.
Ketika menonton hari kemerdekaan Tanah Melayu pada tanggal 31 Ogos 1957, dia dan penduduk kampung beramai-ramai menonton di rumah keluarga kaya di kampungnya.
Tambah M. Daud, untuk mendapatkan pengumuman tarikh raya pula kadangkala memakan masa yang panjang untuk diketahui berbanding zaman sekarang.
"Pengumuman hanya diketahui oleh mereka yang mendengar pengumuman daripada radio. Orang yang mendengar itu pula akan menyebarkan berita tersebut ke serata kampung.
"Pada zaman itu terdapat sejenis gendang dipanggil kentong yang berfungsi untuk mengejutkan orang bangun bersahur. Dengan alat itu juga pengumuman dibuat sambil berteriak 'Raya!'," ujar penyanyi yang berasal dari Bagan Datoh, Perak itu.
Hebahan itu akan disambut oleh penduduk kampung lain dengan memberitahu berita kemunculan anak bulan Syawal itu ke bahagian kampung lain.
Tambahnya, berita tersebut sampai ke pengetahuan penduduk kampung sangat lewat iaitu antara pukul 10 hingga 11 malam terutama kepada mereka yang tinggal jauh di pedalaman.