Sabtu, 29 Januari 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Masyarakat pelahap

Posted:

Masyarakat pelahap

Masyarakat pelahap

Bisik-Bisik Mingguan

AWANG tertarik dengan satu laporan dari Taiwan mengenai Presiden negara itu melancarkan kempen menurunkan berat badan di kalangan rakyatnya, baru-baru ini.

Menerusi kempen itu, Ma Ying-jeou berazam untuk membuang sejumlah 600 tan lemak badan di kalangan rakyatnya. Beliau sendiri sebelum itu berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 11 kilogram.

Awang terbayang kalau kempen yang sama dilancarkan di Malaysia, pasti lebih menarik. Ini kerana ramai daripada kalangan rakyat kita kuat makan, suka makanan berminyak dan berlemak serta suka makan tengah malam.

Lihatlah di bandar-bandar besar terutama di Lembah Klang, banyak restoran beroperasi 24 jam. Rasanya tiada negara lain yang mempunyai persekitaran sedemikian melainkan Malaysia.

Itu belum menyentuh tentang kegilaan minum teh tarik, roti canai, sup lembu, ayam atau kambing dan sebagainya. Mengambil makanan berlebihan sudah menjadi tabiat sebahagian besar rakyat Malaysia, yang sebenarnya cukup membimbangkan. Awang percaya jika diadakan kempen dan ditetapkan sasaran mengumpul 1,000 tan lemak dalam sebulan, ia tidak sukar dicapai. Apatah lagi Malaysia turut dilanda fenomena masyarakat skrin (televisyen, komputer dan permainan video dan gajet sosial), menjadikan kita malas bersenam.

Yang lebih membimbangkan ialah kesannya kepada generasi kanak-kanak dan remaja. Usaha untuk memupuk gaya hidup sihat ke atas golongan tersebut kini menjadi cabaran amat besar. Sebab itu di Amerika Syarikat, Wanita Pertama Michelle Obama menggerakkan kempen 'Let's Move' bertujuan menangani masalah obesiti kanak-kanak yang menjadi-jadi sekarang.

Apa lagi yang tidak kena? Awang ingin memetik kata-kata Presiden Taiwan. ''Saya makan hanya dua pertiga daripada jumlah makanan yang biasa saya makan dan bagi setiap suapan makanan, saya mengunyah 35 kali.'' Amalan itu sebenarnya amat membantu penghadaman dan telah sekian lama dituntut dalam Islam. Nabi Muhammad SAW telah berpesan agar umatnya mengunyah 44 kali terutama makanan pejal. Persoalannya berapa kerat yang peduli? Lalu Awang juga teringat petua yang diamalkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berhenti makan sebelum kenyang. Sekali lagi, siapa peduli kerana kita sudah berada dalam budaya masyarakat pelahap.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Ke mana undi Cina?

Posted:

Ke mana undi Cina?

Ke mana undi Cina?

Bisik-Bisik Mingguan

SELAIN menanti keputusan pilihan raya kecil Tenang pada Ahad ini, Awang teruja untuk melihat sikap pengundi Cina. Dalam 13 pilihan raya kecil lalu yang diadakan selepas pilihan raya umum 2008, tidak banyak perubahan kepada pendirian pengundi Cina yang lebih memihak kepada pembangkang.

Walaupun pemimpin BN menunjukkan kemurahan hati dengan memenuhi banyak permintaan NGO dan masyarakat Cina setempat di sesuatu kawasan pilihan raya kecil, ia tidak diterjemahkan dalam bentuk undi.

Inilah persoalan menarik. Apakah kali ini ada perubahan sikap kepada pengundi Cina yang kini lebih terikat dengan aspirasi DAP dan PKR?

Berdasarkan perbincangan Awang dengan ramai penganalisis politik, pemimpin BN dan pengundi Cina, ada dua kesimpulan yang boleh dibuat. Pertama masyarakat Cina memerlukan lebih masa untuk menerima BN. Itu pun bergantung kepada perkembangan dan isu-isu yang kaum itu perjuangkan. Ini memerlukan kesabaran dan strategi yang kemas. Kedua, BN perlu bersedia menghadapi kemungkinan untuk tidak lagi bersandarkan harapan kepada pengundi Cina termasuk dalam pilihan raya umum akan datang. Jika ada peningkatan sokongan, itu dianggap bonus. Faktor perpecahan Melayu dan percaturan pemimpin pembangkang Melayu termasuk Pas yang sanggup tunduk kepada DAP, sedikit sebanyak mempengaruhi sikap pengundi Cina.

Inilah dilema BN. Namun janganlah putus asa, peluang untuk memenangi hati kaum tersebut belum tertutup sama sekali. Ini kerana sebahagian orang Cina sedar bahawa kaum itu tidak boleh lari daripada politik arus perdana dalam menjamin masa depan mereka. Selama ini, masyarakat Cina menjadi dominan dalam ekonomi dan kekayaan negara adalah di bawah naungan BN. Seperti mana kata-kata pemikir dan strategis Cina, Sun Tzu, emosi dan kepentingan masa singkat tidak akan menentukan kejayaan jangka panjang. Lebih-lebih lagi, BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak menunjukkan komitmen tinggi untuk membela nasib semua kaum sebagaimana yang dibuktikan menerusi gagasan 1Malaysia. Tetapi seandainya majoriti pengundi Cina masih enggan menyokong BN, usahlah bimbang. Awang percaya akan ada jalan keluar. Jangan lupa BN terutama UMNO belum hilang kekuatan dan pengaruh. Kita tunggu keputusan malam ini. Ia boleh menjadi titik tolak penting untuk BN merangka strategi baru termasuk bagi memperkasakan pula golongan yang sememangnya menjadi penyokong setia. Hati golongan ini yang perlu lebih dijaga. Jangan sampai mereka pula merajuk dan bertukar haluan, itu lebih parah. Maka berlakulah apa yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran. Jika itu berlaku, semuanya sudah terlambat.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan