Utusan Online - Kota |
Posted: Keberkesanan Kem Smart SolatOleh MARZUKI YUSOFF
Beranang 30 Jan. - Memiliki anak- anak yang soleh dan berbudi pekerti mulia tentunya menjadi idaman setiap ibu bapa Muslim. Tentunya sejuk hati ibu bapa setiap kali melihat anak-anak semua peringkat usia tanpa bersuruh atau dipaksa, menjadikan amalan solat lima waktu sebagai satu tanggungjawab kepada Allah SWT apalagi jika anak-anak itu rajin pula ke masjid atau surau. Namun sebagai ibu bapa, adakah kita sebenarnya sekadar berpuas hati tanpa menyedari bahawa tahap pelaksanaan solat anak-anak atau mereka sendiri belum cukup sempurna atau masih banyak kekurangannya? Menyedari pentingnya menjaga kesempurnaan dalam solat, Surau Al-Kauthar di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, Selangor, baru-baru ini menganjurkan Kem Smart Solat yang disertai oleh hampir 200 kanak-kanak dan remaja berusia bawah 20 tahun. Pada dua minggu pertama ketika program itu mula dihebahkan melalui khutbah Jumaat di surau berkenaan, sambutan terhadap Kem Smart Solat agak kurang menggalakkan kerana jumlah anak yang mendaftar kurang dari sasaran awal iaitu 80 orang. Masuk minggu ketiga, Imam Dua surau itu, Mejar Rudin Shah Jamil sebelum membaca khutbah Jumaat telah memberi tazkirah kepada jemaah yang hadir peri pentingnya anak-anak diberi pendedahan mengenai kesempurnaan solat jika ibu bapa tidak mahu dipersoal di alam kubur atau di akhirat kelak. Alhamdullillah, hasil daripada tazkirah itu, jumlah pendaftaran meningkat lebih sekali ganda daripada sasaran yang ditetapkan sehingga pada malam sebelum program Kem Smart Solat itu diadakan, pihak penganjur terus menerima banyak permohonan daripada remaja berminat. Difahamkan sambutan dingin terhadap program itu pada peringkat awal kerana beberapa faktor. Antaranya kebanyakan ibu bapa mungkin berasakan solat anak mereka sudah sempurna, hasil dari didikan yang diterima di kelas agama sama ada di sekolah atau kelas agama persendirian. Faktor penolak lain ialah sikap sesetengah anak sendiri. Ada ibu bapa yang puas memujuk anak mereka yang memberikan pelbagai alasan untuk tidak menyertai kem keagamaan tersebut. Bagi sesetengah ibu bapa pula, mereka sendiri mungkin berada dalam keadaan dilema untuk memaksa 'lebih-lebih' sedangkan mereka pun pada pandangan anak-anak masing-masing teramat 'liat' untuk hadir dalam program-program keagamaan di masjid atau surau. Pengerusi Surau Al-Kauthar, Dr. Muhd. Najib Abdul Kadir berkata, kesempurnaan amalan solat perlu dititik beratkan oleh setiap umat Islam kerana ia bakal memberi kesan kepada keperibadian seseorang. Menurut beliau, sebab itu kadang-kadang kita hairan kenapa ramai orang menunaikan solat tetapi masih melakukan perbuatan maksiat dan tidak menjauhi perkara-perkara yang dilarang oleh Allah SWT seperti bersolat tapi masih mengambil rasuah dan berzina. ''Jika perbuatan dosa masih dilakukan, maknanya sudah tentu ada sesuatu tidak kena dengan solatnya iaitu sama ada mereka tidak khusyuk ketika melakukannya atau amalan solatnya tidak sempurna,'' katanya yang juga Imam Satu surau tersebut. Menyedari hakikat itu, kata Dr. Muhd. Najib, pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan Kem Smart Solat sehari suntuk kepada kanak-kanak dan remaja pada kadar bayaran hanya RM10 dan berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 5 petang. Kepentingan solat dalam Islam sebenarnya amat dititikberatkan oleh Nabi Muhammad SAW sendiri sehinggakan Rasulullah pernah meminta orang yang sudah melakukan solat supaya mengulangi solatnya hingga tiga kali. Ini kerana ketika solat, orang itu menurut baginda Rasullullah didapati belum sempurna wuduknya, takbir, cara berdiri, bacaan, rukuk, sujud dan tertib lain. Rasulullah SAW bersabda,''Mahukah kamu aku beritahu mengenai seburuk-buruk pencuri?" Sahabat bertanya: ''Siapakah dia wahai Rasulullah?" Nabi menjawab: "Orang yang mencuri dari solatnya." Sahabat kemudian bertanyakan Rasullullah: "Bagaimana seseorang mencuri dari solatnya? Lalu baginda menjawab: "Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya." Menyedari hakikat kepentingan solat itu, kata Dr. Muhd. Najib, pihaknya menganjurkan Kem Smart Solat kepada kanak-kanak dan remaja pada kadar bayaran hanya RM10 termasuk sarapan pagi, makan tengah hari dan minum petang. ''Idea menganjurkan kem itu kerana kami dapati ada di kalangan remaja yang tidak begitu sempurna solat mereka termasuk ketika berwuduk,'' kata beliau. Anak-anak kariah di surau itu juga agak beruntung kerana kesediaan 23 pelajar dari Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor untuk menjayakan program tersebut. Menurut ketua kumpulan pelajar itu, Muhammad Faiz Fathi, 22, bagi memastikan peserta kem mendapat kefahaman lebih tepat mengenai cara bersolat yang betul, mereka dipecahkan kepada 23 kumpulan kecil. ''Kumpulan-kumpulan kecil itu diterangkan oleh penyelia mereka dan dapat berinteraksi tanpa para peserta berasa malu,'' ujarnya. Untuk mengelak para peserta berasa bosan, penyelia program berusaha menghidupkan suasana dengan contoh-contoh menghiburkan sehingga peserta tidak berasa segan tampil ke depan jika nama mereka dipanggil untuk menunjukkan cara mereka bersolat selama ini. Daripada pemerhatiannya, kata Faiz, kebanyakan peserta masih belum sempurna solat mereka termasuk ketika mengambil wuduk. Kem Smart Solat anjuran Surau Al-Kauthar sewajarnya dicontohi oleh surau dan masjid lain agar anak-anak kita bukan saja dapat dididik mencintai solat dari usia kanak-kanak tapi sempurna dalam melaksanakan amalan itu. Sesungguhnya, solat yang dianggap sempurna dan ada 'nilai' di sisi Allah ialah solat yang ada pengaruhnya dalam kehidupan seseorang seperti mana firman Allah bermaksud: "Dan dirikan solat, sesungguhnya solat (yang sempurna) itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar." | ||
Posted: Saiz rumah ganti lebih kecilOleh LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR
HULU KLANG 30 Jan. - Penduduk rumah pangsa Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Taman Keramat, AU2 di sini menyuarakan rasa tidak puas hati apabila keluasan seunit rumah yang ditawarkan dan dipersetujui sebelum ini ditukar menjadi lebih kecil daripada keluasan asal. Ketua UMNO Cawangan Taman Keramat, Abd. Jabbar Kasim memberitahu, penduduk perumahan itu menjadi bingung dan keliru dengan tawaran tersebut. "Keluasan rumah yang ditawarkan PKNS berubah-ubah menyebabkan kami keliru. "Pada asalnya kami ditawarkan rumah yang berkeluasan 1,360 kaki persegi dan rata-rata penduduk bersetuju dengan tawaran itu. "Apa yang menimbulkan ketidakpuasan hati kami adalah keluasan rumah tersebut dikurangkan PKNS kepada 750 kaki persegi, yang nyata kurang daripada keluasan asal ditawarkan," katanya. Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis gotong-royong penduduk rumah pangsa tersebut hari ini. Rumah pangsa Taman Keramat mempunyai 18 blok kediaman, merangkumi 688 unit rumah. Daripada 18 blok, terdapat 14 blok yang rumahnya mempunyai satu bilik sahaja. Abd. Jabbar berkata, PKNS mahu membina blok yang baru di sebuah padang berkeluasan 10 hektar berdekatan dengan tapak rumah yang didiami sekarang. "PKNS mahu menggunakan lima hektar tanah sebagai tempat pembinaan blok baru bagi penduduk asal manakala baki lima hektar pula akan digunakan sebagai tempat pembinaan kawasan perumahan yang baru. "Kami mahu PKNS menunaikan permintaan kami supaya tidak membina rumah yang terlalu kecil dan tiada beza daripada blok sedia ada sekarang yang berkeluasan 409 kaki persegi," katanya. Tambahnya, penduduk mahu rumah yang baru itu berkeluasan kira-kira 1,040 kaki persegi dan mempunyai tiga bilik, lebih daripada jumlah asal iaitu sebuah bilik sahaja. "Kami juga mahu kemudahan lain seperti masjid dan kawasan kedai makan bagi memastikan kehidupan penduduk kawasan ini terjaga," katanya. Sementara itu, Presiden Persatuan Penduduk Rumah Pangsa Taman Keramat, Mazlan Mohd. Sudin berkata, kehadiran ramai warga asing yang tinggal di kawasan perumahan tersebut menimbulkan kebimbangan di kalangan penduduk kediaman itu. Katanya, warga asing itu tanpa segan silu bergaul secara bebas serta kegiatan sosial mereka yang jelas menunjukkan keruntuhan akhlak mereka. "Mereka bergaul bebas di sini dan ia dapat dilihat dengan jelas apabila mereka tinggal beramai-ramai tanpa mengira jantina, selain mungkin terlibat dengan penyalahgunaan dadah. "Saya khuatir perbuatan mereka ini diikuti golongan remaja dan anak kecil yang tinggal di sini. Golongan ini mudah terikut dengan perbuatan tidak berakhlak itu," kata beliau. Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa dapat menjalankan pemantauan di kawasan perumahan tersebut dengan lebih kerap supaya perbuatan tidak bermoral itu dapat dibendung. "Ketiadaan pos pengawal di kawasan ini juga menyumbang kepada kegiatan tidak bermoral itu. "Hal ini sepatutnya sudah lama diselesaikan tetapi aduan yang dibuat sejak tahun lepas kepada pihak berkuasa tempatan bagaikan mencurah air ke daun keladi," katanya. | ||
138 kes pencerobohan trek LRT tahun lalu Posted: 138 kes pencerobohan trek LRT tahun laluKUALA LUMPUR 30 Jan. - Sistem transit aliran ringan (LRT) aliran Kelana Jaya merekodkan sebanyak 138 kes pencerobohan ke landasan pada 2010, dengan kebanyakan kes melibatkan penumpang mengutip barangan mereka yang terjatuh ke landasan selain orang ramai melintasinya. Pengarah Rel, Syarikat Prasarana Negara Berhad, Khairani Mohamed berkata Stesen Pasar Seni merekodkan kes pencerobohan tertinggi iaitu 15, diikuti oleh KL Sentral dan Gombak yang masing-masing mencatat 12 kes. "Pencerobohan ke landasan menimbulkan bahaya kepada pengguna LRT dan menyebabkan gangguan kepada perkhidmatan itu," katanya, dalam kenyataan akhbar di sini hari ini. Khairani berkata, ada yang turun atau melompat ke atas landasan LRT untuk mengutip barangan mereka yang terjatuh atau memang sengaja memasuki trek. Perbuatan ini bukan sahaja menyebabkan bahaya kepada diri mereka tetapi juga terhadap penumpang di dalam tren. Khairani berkata, pencerobohan menyebabkan tren tanpa pemandu, yang digunakan oleh sistem LRT Kelana Jaya, untuk berhenti secara automatik kerana sistem pemberhentian kecemasan atau Platform Intrusion Emergency Stop (PIES) diaktifkan sebaik sahaja sesuatu yang beratnya melebihi tujuh kilogram mendarat di atas trek. Kuasa elektrik akan terputus secara automatik yang menyebabkan tren dalam kawasan sekitar untuk berhenti serta merta. Oleh itu, perkhidmatan itu akan tergendala sehinggalah keadaan kembali selamat apabila tren terkandas di landasan. Penumpang di dalam tren berkenaan mungkin mengalami kejutan akibat pemberhentian serta merta. Tahun ini sahaja, dua kes pencerobohan dilaporkan di Aliran Kelana Jaya. Insiden terbaru berlaku pada 19 Januari, di mana seorang penceroboh merentasi landasan antara Stesen Setiawangsa dan Sri Rampai. PIES diaktifkan secara automatik dan kuasa terputus serta merta sehingga menyebabkan dua tren empat gerabak terhenti di antara dua stesen berkenaan. Kejadian itu telah menyebabkan sistem tergendala selama 20 minit. Khairani mengingatkan bahawa menceroboh merupakan kesalahan serius dan pelakunya boleh didakwa kerana ia bukan sahaja menyebabkan bahaya kepada penumpang lain dan menyebabkan perkhidmatan tergendala. Anggota polis bantuan atau pegawai keselamatan syarikat itu akan menangkap pelaku dan membawanya ke balai polis terdekat untuk tindakan selanjutnya. Pelaku boleh didakwa di bawah Seksyen 62 Akta Kereta Api 1991 (Akta 463) yang membawa kepada dikenakan denda tidak melebihi RM5,000. Akta yang sama turut memperuntukan denda RM1,000 ke atas mereka yang enggan mematuhi arahan meninggalkan landasan atay premis landasan oleh pegawai. Khairani seterusnya menasihatkan penumpang agar menjaga barangan mereka dan mematuhi peraturan ketika menunggu di platform stesen. Penumpang yang memerlukan bantuan boleh meminta daripada kakitangan yang bertugas atau kakitangan keselamatan untuk mengutip barangan mereka yang terjatuh. Mereka juga boleh meminta bantuan terus daripada Pusat Kawalan Operasi menggunakan Telefon Bantuan Penumpang (PAT) yang terdapat di setiap platform. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan