Berita Harian: Nasional |
Dua wanita dituduh perdagang kanak-kanak Posted: 28 Jan 2011 01:17 PM PST Nasional Yong Thim Thai (kiri) dan Alin Athu. AMPANG: Dua wanita termasuk seorang warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dekat sini, semalam, atas dakwaan memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia tujuh hari bagi tujuan eksploitasi, dua minggu lalu. Yong Thim Thai, 53, seorang pembantu kedai elektrik dan Alin Athu, 36, didakwa dengan niat bersama melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta Pasaraya Tesco Ampang, Ampang Jaya, pada jam 2.30 petang, 14 Januari lalu. Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zuraini Ab Hamid memohon mahkamah mengenakan jaminan RM20,000 terhadap Yong dengan syarat tambahan dia perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kesnya diputuskan mahkamah. Alin bagaimanapun tidak ditawarkan sebarang jaminan kerana statusnya sebagai warga asing dan tidak memiliki rekod perjalanan sah. Hakim Roszianayati Ahmad membenarkan permohonan Zuraini dan menetapkan wang jaminan sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.
Pada 18 Januari lalu, akhbar melaporkan kejayaan polis menahan lapan wanita termasuk empat rakyat asing dan seorang lelaki yang juga anak kepada seorang suspek warga asing yang disyaki menjadi dalang sindiket menjual bayi di sekitar Lembah Klang. Penahanan semua suspek dibuat melalui tiga serbuan berasingan pada 14 dan 15 Januari lalu, masing-masing di perkarangan tempat letak kereta di sebuah pasar raya di Ampang, sebuah klinik swasta di Selayang dan di sebuah rumah seorang suspek di Subang Jaya.
|
Mufti Perlis tak terima watikah Posted: 28 Jan 2011 01:17 PM PST Nasional KANGAR: Dr Juanda Jaya kini dilihat 'goyah' untuk meneruskan tugas sebagai Mufti Perlis apabila watikah pelantikan beliau yang dijangka tamat dalam masa kurang tiga hari lagi sebaliknya masih belum diperbaharui.Difahamkan, watikah berkenaan akan tamat 31 Januari ini, sekali gus menyukarkan mufti muda itu untuk meneruskan tugas, walaupun kontrak beliau sebagai Mufti Perlis hanya berakhir Januari tahun depan. Malah, sumber Jabatan Mufti Perlis sendiri ketika dihubungi mengesahkan Dr Juanda sudah mula bercuti semalam dan dijangka berada di Sarawak sementara menunggu urusan berhubung watikah berkenaan selesai. Ketika dihubungi, Dr Juanda mengakui tempoh sah watikah pelantikan beliau sebagai Mufti Perlis bakal berakhir Isnin depan. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai isu kelewatan itu."Pelantikan seorang mufti meliputi dua bidang kuasa iaitu membabitkan kuasa pentadbiran dan kuasa ketua agama. Justeru, tanpa watikah saya seolah-olah seorang mufti tidak sah dan tidak ubah seperti seorang penceramah yang berceramah kepada orang ramai tanpa tauliah," katanya. Sumber berkata, Dr Juanda dimaklumkan sudah menerima perkenan daripada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, untuk menyambung watikah pelantikan beliau sebagai Mufti Perlis, namun sehingga kini urusan mengenainya masih belum kelihatan. Ia secara tidak langsung mencetuskan spekulasi kononnya khidmat Dr Juanda bersama Perlis bakal berakhir walaupun beliau dilihat cemerlang sepanjang tempoh hampir dua tahun menerajui Jabatan Mufti negeri itu.
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan