Utusan Online - Selatan |
- Semua kaum mesti pupuk perpaduan
- Projek Gemilang SKDJ terima RM15,000 sumbangan MB
- 12 Combi tangani wabak denggi di Port Dickson
| Semua kaum mesti pupuk perpaduan Posted: Semua kaum mesti pupuk perpaduanOleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
SEREMBAN 23 Jan. - Tanggungjawab untuk menjaga perpaduan di negara ini bukan hanya terletak kepada pihak tertentu tetapi ia memerlukan penglibatan semua kaum dalam memastikan keamanan yang dikecapi terus terpelihara. Yang Dipertua Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO) negeri, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin berkata, semua pihak perlu sedar bahawa usaha itu tidak akan berjaya sekiranya masih ada pihak yang cuba mengganggu gugat keamanan yang dinikmati. ''Semua rakyat di negara ini yang mempunyai pelbagai kaum perlu berganding bahu bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan yang telah terbina sejak negara mencapai kemerdekaan. ''Jangan sesekali kita membiarkan mana-mana pihak yang berkepentingan memecahbelahkan rakyat sehingga amalan rukun damai terhakis begitu sahaja," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Membuat Kuih Raya Satu Malaysia sempena Tahun Baru Cina, di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Mambau, di sini semalam. Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Heng Seai Kie serta Pengerusi MCA negeri, Senator Datuk Dr. Yeow Chai Thiam. Raja Salbiah menambah, rakyat seharusnya bersyukur atas nikmat keamanan dan kesejahteraan yang dinikmati ketika ini berbanding negara-negara lain yang masih mengalami krisis antara kaum dan sebagainya. Justeru, katanya, amalan berpuak-puak antara kaum perlu dihentikan bagi mewujudkan masyarakat yang progresif serta mengamalkan prinsip toleransi antara kaum. ''Tiada gunanya jika masih ada masyarakat di negara ini yang masih mengamalkan hidup berpuak-puak sesama sendiri kerana ia hanya akan merugikan mereka. ''Sebaliknya kita perlu bersatu padu dan bekerjasama bagi mengekalkan kesinambungan perpaduan hasil daripada pengorbanan yang dilakukan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan satu ketika dahulu," katanya. | ||
| Projek Gemilang SKDJ terima RM15,000 sumbangan MB Posted: Projek Gemilang SKDJ terima RM15,000 sumbangan MB
NILAI 23 Jan. - Projek Gemilang Sekolah Kebangsaan Desa Jasmin (SKDJ) 2010/2015 yang dilancarkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu pada Jun lalu, mula mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk menerima sumbangan RM15,000 daripada kerajaan negeri. PIBG SKDJ sebelum ini diumumkan sebagai yang pertama di negara ini mempunyai program seumpamanya iaitu perancangan rapi lima tahun atau 'blue print' untuk membantu pihak sekolah mencapai status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di bawah Kementerian Pelajaran. Sumbangan kerajaan negeri tersebut yang disalurkan menerusi peruntukan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, disampaikan dalam majlis perasmian Mesyuarat Agung PIBG SKDJ Ke-11 di dewan sekolah itu semalam. Replika cek sumbangan diserahkan Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Nilai (MPN) yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Masyarakat Mantin Barisan Nasional (BN), Gan Che Biow yang mewakili Mohamad, kepada Yang Dipertua PIBG SKDJ, Ramli Abdul Karim. Hadir sama Guru Besar sekolah itu, Azizah Abdul Latiff. Bagi mencapai status SBT, menerusi Projek Gemilang SKDJ 2010/2015, pihak jawatankuasa PIBG turut mencari dana bagi membolehkannya melaksanakan pelbagai program meningkatkan kecemerlangan dalam akademik, kemudahan pembelajaran, menaikkan imej sekolah dan kerjasama strategik dengan universiti-universiti tempatan. Projek itu dilancarkan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi pada 26 Jun tahun lalu. Dalam pada itu, Ramli yang juga Pengarang Berita Utusan Malaysia sekali lagi dipilih sebagai Yang Dipertua PIBG sekolah itu bagi sesi 2011/2012. Turut terpilih ialah seorang pegawai Suruhanjaya Tenaga, Zaini Abdul Wahab sebagai Naib Yang Dipertua. Ketika ditemui, Ramli berkata, beliau yakin dengan semangat dan komitmen ibu bapa dan guru-guru SKDJ, pihaknya mampu mencapai matlamat untuk menjadi sekolah dengan status SBT menjelang 2015. Beliau mengimbas, tugas itu memang agak mencabar buat jawatankuasa PIBG dan dirinya yang juga merupakan pencetus kepada projek berkenaan, lebih-lebih lagi SKDJ sebelum ini dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM) dan mendapat peruntukan terhad daripada kerajaan. "Bagaimanapun, kini terdapat lebih 1,100 murid belajar dan SKDJ juga sudah pun dikeluarkan daripada kategori SKM, insya-Allah kita akan berusaha mengangkat imej dan martabat sekolah ini terutama menjadikannya berstatus SBT pada 2015," katanya. | ||
| 12 Combi tangani wabak denggi di Port Dickson Posted: 12 Combi tangani wabak denggi di Port DicksonTELOK KEMANG 23 Jan. - Sebanyak 12 pasukan sukarelawan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) yang mewakili Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sekitar Port Dickson diwujudkan hari ini ke arah memantapkan usaha menangani penularan wabak denggi. Pegawai Daerah Port Dickson, Ab. Khalid Mat berkata, pasukan berkenaan akan berfungsi membantu memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya penduduk setempat dalam usaha memerangi penyakit tersebut melalui perancangan, strategi serta program disediakan. Menurutnya, sebelum ini hanya tujuh KRT di daerah ini telah menubuhkan pasukan tersebut, maka dengan penambahan itu jumlah keseluruhan pasukan Combi di seluruh daerah ini menjadi 19 pasukan. "Kita memang mengalu-alukan penubuhan pasukan ini kerana kewujudannya sebelum ini dilihat memberi impak positif melalui penerimaan masyarakat terhadap program yang dilaksanakan. "Ini kerana kita melihat melalui penubuhan pasukan ini, statistik serta penularan wabak ini berjaya dikurangkan selain masyarakat didapati semakin sedar tentang kepentingan serta tanggungjawab mereka dalam membanteras penyakit yang merebak melalui nyamuk aedes ini," katanya. Ab. Khalid berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas menyempurnakan majlis pelancaran dan taklimat pelaksanaan Combi Rukun Tetangga Daerah Port Dickson, di Kompleks Pentadbiran Port Dickson hari ini. Turut hadir Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional negeri, Abd. Halim Hassan dan Pengerusi Combi daerah, Arah Abu Bakar. Jelas Ab. Khalid, penularan wabak denggi tidak akan dapat diatasi sekiranya tiada kerjasama menyeluruh daripada penduduk. "Lebih menyedihkan sebelum ini apabila ada program gotong-royong yang dianjurkan oleh jabatan atau agensi berkaitan di kawasan perumahan, penduduk setempat tidak mahu menyertainya," ujarnnya. Tegasnya, sikap sedemikian perlu dikikis demi memelihara kawasan tempat tinggal masing-masing supaya bebas daripada ancaman penyakit yang boleh membawa maut itu. "Pasukan ini akan memainkan peranan untuk menjadi agen kerajaan dalam memupuk kesedaran dan kerjasama orang ramai untuk memerangi denggi. "Kita yakin pasukan yang dianggotai oleh sukarelawan ini mampu menggalas tanggungjawab tersebut kerana anggotanya terdiri daripada penduduk setempat," jelasnya. Tambahnya, sebagai hasilnya program dan usaha untuk membanteras penularan wabak itu secara tidak langsung dapat dijalankan secara efektif berikutan ia mendapat kerjasama dari semua pihak terutama penduduk setempat. Sementara itu menurut Pegawai Kesihatan daerah, Dr. Lokman Rejali, bagi tahun lalu sebanyak 84 kes denggi membabitkan dua kematian dilaporkan di daerah berkenaan. "Setakat ini bagi tahun ini kita hanya terima satu laporan berhubung kes demam denggi di Port Dickson," ujarnya. |
| You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan