Utusan Online - Politik |
Posted: 'Tindakan orang nak kalah'Oleh LUQMAN HAZIQ LABIS 26 Jan. - Tindakan parti pembangkang yang memperalatkan golongan mahasiswa berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang menunjukkan parti itu semakin terdesak kerana menuju 'kekalahan'. Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan yang ditemui di sini, hari ini ketika diminta mengulas tindakan pembangkang menggunakan golongan mahasiswa untuk berkempen dari rumah ke rumah berkata: "Tindakan guna golongan mahasiswa ini bukan sahaja tidak beretika, tetapi juga tindakan orang yang nak kalah." Menurutnya, lebih tidak beretika apabila kumpulan mahasiswa itu menyamar sebagai Pemuda dan Puteri UMNO supaya dibenarkan masuk ke rumah penduduk. "Saya berharap pengundi di DUN Tenang tidak terpedaya dengan tindakan kumpulan mahasiswa tersebut yang datang memburuk-burukkan kerajaan BN (Barisan Nasional)," katanya. Semalam, Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Samsol Bari Jamali mendedahkan taktik kotor parti pembangkang yang memperalatkan golongan mahasiswa menyamar dengan berpakaian seperti ahli Pemuda dan Puteri supaya dibenarkan masuk ke rumah. Apabila dibenarkan masuk, mereka kemudian cuba meracuni pemikiran pengundi dengan memburuk-burukkan kerajaan BN. Samsol Bari memberitahu, setakat ini pihak menerima tiga aduan daripada masyarakat yang tidak senang dengan tindakan tersebut. Antara kawasan yang dikesan pernah dikunjungi kumpulan mahasiswa tersebut di Air Panas, Kampung Tenang, Felda Tenang, Felda Chemplak dan Chemplak Barat. | ||
Posted: Tuduh polis cabut bendera Pas
LABIS 26 Jan. - Tuduhan Pas bahawa polis bertindak menurunkan bendera parti itu yang dipasang untuk berkempen sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang disifatkan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tuduhan itu amat berat sedangkan pihak polis ditugaskan untuk memantau dan memastikan PRK tersebut berjalan lancar. "Ini semua adalah tuduhan liar sedangkan kita sediakan khemah dan pondok polis hampir di semua kawasan strategik. "Sepatutnya kita berterima kasih kerana pasukan polis mengawal keselamatan dengan baik," katanya kepada pemberita selepas melawat tokoh UMNO, Alias Bujal, 95, di Kampung Tenang, di sini malam tadi. Pada pertemuan itu, Alias yang merupakan rakan seperjuangan pengasas UMNO, Datuk Onn Ja'afar iaitu datuk kepada Hishammuddin meluangkan masa lebih sejam bercerita dan mengenang kembali zaman penubuhan UMNO. Semalam, Pas menuduh pihak polis menurunkan bendera parti itu setelah mendapati bendera Pas dicabut di beberapa kawasan. Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Pas tidak sepatutnya membuat tuduhan liar itu dan ia amat dikesali. Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, Syahrin Md. Jamaluddin berkata, pendekatan Pas berkempen amat bertentangan dan lari daripada ajaran Islam. Menurutnya, contohnya ialah apabila Pas mendakwa calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azahar Ibrahim cuai sehingga menyebabkan tanah milik seorang lelaki di Segamat dilelong sedangkan faktanya adalah pemilik gagal menjelaskan berhutang dengan bank. Menurutnya, isu tersebut dimanipulasi bagi memburukkan imej Mohd. Azahar yang sememangnya bersih rekod peribadinya. Syahrin berkata, cara tersebut jelas menunjukkan Pas semakin terdesak dengan penerimaan orang ramai terhadap calon BN itu. "Saya percaya para pengundi di Tenang matang dan tahu menilai siapakah yang lebih layak menjadi wakil rakyat mereka," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan