Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Membikin metropolis PutrajayaOleh MAZLINA ABDUL MAJID KEHADIRAN kami di pejabatnya pada lewat petang Khamis lalu disambut dengan sekuntum senyuman. Gaya korporatnya masih terserlah meskipun telah melewati waktu pejabat. Susun atur meja dan gambar tidak banyak berubah, sama seperti kunjungan penulis kira-kira tiga tahun lalu ke situ. "Apa khabar anda semua?" sapa tokoh tersohor itu lalu berjabat tangan dengan kami. Reaksi positif itu sebenarnya begitu melegakan. Secara jujurnya, penulis sangat berterima kasih kepada Tan Sri Samsudin Osman atas kesediaannya ditemu bual. Penulis difahamkan jadual hariannya sangat padat. Lebih-lebih lagi, beliau dan pasukannya pada ketika itu sedang bertungkus-lumus untuk sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2011. Pada petang itu, Samsudin tidak berhenti daripada bercakap tentang bandar raya Putrajaya. "Tidak terlintas di fikiran bahawa saya akan dilantik untuk menerajui Perbadanan Putrajaya (PPj). Walaupun saya tidak terlibat secara langsung pada peringkat awal perancangan dan pembangunan Putrajaya, namun sebagai Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada waktu itu, saya turut mengambil berat dan sentiasa mengikuti segala perkembangan yang berkaitan dengan perancangan dan pembangunannya.'' Selepas tujuh tahun mentadbir, Samsudin berpandangan, pembangunan Putrajaya berjalan lancar sec ara keseluruhannya. Sambil matanya melirik ke arah bangunan baru yang bertentangan dengan pejabatnya yang kini baru 30 peratus siap, beliau berkata, Putrajaya kini di kaca mata dunia. "Kami tidak menang tangan menerima kunjungan pihak luar seperti dari Korea, Rusia, Uzbekistan, China dan dari negara Asia Tengah. "Mereka terpesona dengan Putrajaya, kata-kata mereka kepada saya semuanya berbentuk pujian, saya gembira kerana orang luar mengagumi bandar kita,'" ujarnya yang mesra dalam kalangan media dengan panggilan Tan Sri Sam. KEMEGAHAN Putrajaya. Selain Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya menjadi tumpuan pelancongan dari dalam dan luar negara setiap kali mereka ke Putrajaya. Sememangnya untuk mengekalkan momentum kecemerlangan bandar raya itu tidak mudah seperti yang disangka. Sejak menggalas tanggungjawab sebagai Presiden PPj, Samsudin tidak berhenti daripada berfikir untuk memperbaiki dan menambahbaik Putrajaya. Beliau bukanlah seorang pemimpin yang hanya pandai mengarah. Menurut salah seorang pegawainya, Samsudin seorang yang kuat bekerja. "Ia boleh digambarkan dengan cara Tan Sri berjalan, langkahnya sangat pantas dan begitu jugalah gaya Tan Sri ketika dia bekerja," ujarnya. Barangkali benar apa yang diucapkan. Dengan rasa rendah diri bekas KSN itu menuturkan bicara. "Ya, biar saya tegur daripada orang lain yang tegur, saya kerap meronda sekitar bandar ini dengan pegawai saya. Identiti bandar Malaysia "Kita pusing sekeliling, kadang-kadang saya tengok ada cabang-cabang jalan rosak, saya juga tengok sama ada landskap kita terurus atau tidak, rumput dan lalang yang tumbuh tinggi dipotong ke tidak, saya juga pantau kontraktor-kontraktor yang kita lantik.
"Saya berterusan meninjau siang dan malam, tiada istilah penat bagi diri saya," katanya. Demi kemajuan Putrajaya, Samsudin dan pasukannya terbang ke beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS), Brazil, Australia, Brazil dan lain-lain untuk membuat kajian. "Ia dilakukan berterusan dan penting untuk meningkatkan pengetahuan dan cara kita berfikir terutamanya di peringkat operasi,'' katanya. Bagaimanapun, ujar aristokrat itu, bandar di Malaysia harus mempunyai ciri-ciri dan identiti tersendiri serta tidak mengulangi pendekatan yang pernah dibuat oleh bandar-bandar rujukan. Gambar Samsudin bersama para pegawainya berbasikal untuk ke mesyuarat pasca Kabinet di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar di Putrajaya pada 27 Januari lalu menarik perhatian umum. Gelagatnya itu memukau ramai sehingga dipaparkan di muka hadapan Utusan Malaysia. Ia turut menghiasi di seluruh dada-dada akhbar negara. Kesanggupannya itu sebenarnya menyampaikan satu maksud tersirat. Figura yang berusia 64 tahun itu mahu komuniti Putrajaya mengamalkan konsep bandar hijau dan amalan hidup sihat. "Perkara macam ini perlu dimulakan, kalau tidak sampai bila pun ia tidak akan menjadi kenyataan. "Justeru, saya galakkan warga Putrajaya terutamanya penghuni kuarters di sini berbasikal ke pejabat," saran pemimpin itu. Persepsi tentang Putrajaya Samsudin galak bercerita tentang Putrajaya sebagai bandar hijau. Katanya, sejak Perdana Menteri mengumumkan bandar raya kelolaannya termasuk Cyberjaya sebagai Perintis Bandar Hijau, pihaknya terus mengorak langkah. Selain mengadakan Persidangan Bandar Hijau Antarabangsa, pasukannya memulakan satu kajian yang diberi nama Putrajaya Green Cities 2025 (PGC 2025). PGC 2025 diadakan bagi mengenalpasti tahap pelepasan karbon bagi Putrajaya. Lanjutan daripada itu, kajian pada peringkat seterusnya menyaksikan Pelan Tindakan Bandar Hijau dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta melibatkan Majlis Perbandaran Sepang. "Kita pada dasarnya telah pun melakukan amalan Bandar Hijau. Antaranya kita hanya membenarkan bas NGV saja yang beroperasi, kita laksana pelan 3R, pembangunan tasik sebagai climate moderator dan di Taman Wetland sebagai penapis air semula jadi dan banyak lagi," katanya. Putrajaya diisytiharkan sebagai sebuah Wilayah Persekutuan pada tahun 2001 selain Kuala Lumpur dan Labuan. Mengikut kiraan, tahun ini genaplah sedekad bandar raya itu menjadi sebahagian Wilayah Persekutuan. BANDAR hijau. Samsudin menggalakkan warga Putrajaya berbasikal ke pejabat dalam menjadikan Putrajaya sebagai Bandar Hijau. Namun, wujud satu perspektif orang luar yang melihat Putrajaya tidak seperti Kuala Lumpur. Apabila dilontarkan soalan ini, Samsudin menghela nafasnya. Tegas beliau, Putrajaya dibangunkan dengan fungsi spesifik iaitu sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Tambahan, Putrajaya yang diilhamkan oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara keseluruhannya baru 14 tahun dibangunkan. "Perbandingan secara langsung dengan Kuala Lumpur adalah tak tepat, Kuala Lumpur adalah ibu negara dan pusat perdagangan utama, saiz Putrajaya pun satu perlima daripada Kuala Lumpur. "Justeru dari segi infrastruktur sememangnya tidak wajar dibandingkan dengan Kuala Lumpur," terangnya yang berharap stigma itu tidak berterusan. Putrajaya lengang pada waktu malam. Fakta itu mungkin tidak relevan dalam masa beberapa tahun lagi. Menurut Samsudin, pihak PPj mempunyai perancangan untuk memeriahkan malam bandar raya itu dengan pementasan broadway atau teater. "Kita sudah ada tempat untuk tujuan itu," katanya. Selain itu bagi menceriakan Putrajaya, Samsudin bercadang untuk mewujudkan barisan restoran mewah pelbagai jenama. Selain itu, PPj bakal mewujudkan kemudahan dan outlet komersial. Namun, kata Samsudin, persepsi Putrajaya sepi pada waktu malam sebenarnya kurang tepat. "Di Presint 2,3 dan 4 saja tapi di Presint 8, 9, 11, 15 dan 16, suasana malamnya tak lah sesunyi mana, malah meriah seperti bandar-bandar besar lain,'' ujarnya. Di sebalik kepesatan pusat pentadbiran itu, Presiden PPj itu kerap dilontar satu persoalan. Bilakah landasan monorel berdekatan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin siap sepenuhnya? "Bukan awak saja rasa terkilan monorel tak siap, semua orang pun terkilan," selorohnya kepada penulis. Beliau sedar, kemudahan itu penting untuk menjadi Putrajaya hidup dan bertenaga. Ia juga sebagai satu penyelesaian terhadap kesesakan lalu lintas dan masalah kekurangan parkir yang serius. Justeru, sebagai langkah meneruskan semula infrastruktur rel itu, Samsudin memberitahu, atas inisiatif pihak Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Jabatan Perdana Menteri, program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang telah menggariskan satu projek. Projek itu ke arah meningkatkan kesalinghubungan Putrajaya dengan Kuala Lumpur, Cyberjaya dan kawasan persekitaran. Bandar paling mapan BANGUNAN Jabatan Perdana Menteri merupakan antara kementerian terbesar dan mempunyai struktur binaan yang paling menarik. Berhubung dengan rungutan tempat letak kereta, Samsudin menjelaskan, pihak PPj tidak boleh sesuka hati menambah lokasi baru, namun akan berusaha mencari kawasan-kawasan yang sesuai. Ini juga adalah satu strategi untuk galakkan penggunaan pengangkutan awam sehingga 70 peratus daripada keseluruhan pengguna pengangkutan. Samsudin optimistik Putrajaya akan menjadi bandar futuristik, bandar yang lengkap dengan ciri-ciri yang setanding dengan kota metropolis di beberapa negara maju. "Bukan saja dari sudut pengangkutan tapi kita mahu Putrajaya menjadi sebagai sebuah bandar yang paling mapan dan the most livable city,'' ujar figura itu. Imaginasi Samsudin terhadap Putrajaya pada 15 tahun tahun akan datang sangat hebat. Terdapat lima perkara dalam fikirannya. Pertama, pengangkutan awam yang lengkap termasuk sistem monorel telah digunakan sepenuhnya oleh penduduk dan pengunjung Putrajaya. Kedua, kesemua bangunan komersial di Putrajaya terdiri daripada bangunan hijau. Sehubungan itu, Samsudin mahu melihat semua penduduk terlibat dalam program kitar semula. Semua sampah dari Putrajaya diurus di dalam kawasan ini dan tidak perlu dibuang di luar Putrajaya. Kesemua pokok yang sudah matang dijaga rapi bagi mewujudkan landskap yang indah menjelang 2026. Aristokrat itu berazam agar plot-plot komersial yang dibangunkan akan diduduki oleh pihak swasta termasuk perbadanan multinasional. "Sesungguhnya, warga Putrajaya amat bertuah kerana dapat tinggal dan bekerja dalam suasana persekitaran yang selamat, indah, bersih, lengkap dengan pelbagai kemudahan dan prasarana bertaraf dunia,'' ujarnya. Selamat Hari Wilayah Persekutuan 2011. | ||
Posted: Habuan untuk warga 3 wilayahHari ini penduduk di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Pulau Labuan dan Putrajaya menyambut Hari Wilayah. Kali ini kementerian galak warganya berekreasi dan beriadah, banyak tawaran menarik disediakan kepada warganya. SELEPAS empat dekad Kuala Lumpur kini dihiasi dengan bangunan-bangunan pencakar langit. TAHUN ini merupakan kali ketujuh Hari Wilayah Persekutuan disambut secara bersama dengan menggabungkan ketiga-tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sejak kewujudan Kementerian Wilayah Persekutuan sejak 27 Mac 2004. Sambutan pada kali ini bertemakan 1 Wilayah Persekutuan Menjuarai Transformasi. Pemilihan tema itu bersesuaian dengan misi dan visi kepimpinan negara. Ia diterjemahkan sebagai Wilayah Persekutuan yang mampu menjuarai sekali gus menjadi penanda aras kepada Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Pada tahun ini, genaplah 37 tahun bagi bandar raya Kuala Lumpur, 27 tahun bagi Labuan dan hampir sedekad bagi Putrajaya di bawah entiti Wilayah Persekutuan. Majlis pelancaran sambutan telah pun diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 29 Januari lalu. Walaupun bajetnya tidak sebesar mana, perjalanan program yang sudah berlalu sangat meriah. Lebih-lebih lagi, melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat yang disatukan dalam bentuk perhimpunan rakyat 1Malaysia. Pada masa yang sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengambil kesempatan melancarkan lagu baru rasmi Wilayah Persekutuan. Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 40 pengisian pelbagai program dan acara yang dirancang bagi menceriakan lagi sambutan Hari Wilayah Persekutuan. Khas untuk rakyat Malaysia khususnya warga Wilayah Persekutuan ini, ada hadiah yang disediakan untuk anda. Berikut dinyatakan secara spesifik 'habuan' yang bakal diterima sekiranya pengunjung berkunjung di tiga Wilayah Persekutuan. Kuala Lumpur * Diskaun sebanyak 50 peratus ke atas kadar sewa bagi penggunaan kemudahan-kemudahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti gelanggang sukan, dewan serbaguna, pusat komuniti sepanjang bulan Februari. * Keahlian percuma Perpustakaan Kuala Lumpur bagi pendaftaran yang dibuat sepanjang bulan Februari 2011. * Diskaun sebanyak 50 peratus untuk bayaran masuk ke KL Bird Park, Taman Tasik Perdana pada 1 Februari 2011 sahaja. * Tambang percuma bagi warganegara Malaysia dan diskaun 50 peratus ke atas warganegara asing bagi menaiki bas KL Hop On Hop Off pada 1 Februari 2011 sahaja. * Menara Kuala Lumpur pada 1 Februari 2011 sahaja. Bayaran masuk untuk warganegara Malaysia (kanak-kanak dan dewasa) ke dek pemerhati sahaja RM10 seorang. Warganegara asing/pelancong dikenakan RM31 seorang untuk dewasa dan kanak-kanak RM23 seorang bagi pakej kombo (auditorium/kampung budaya dan dek pemerhati). * Konsert-konsert yang dianjurkan oleh DBKL di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana bermula 1 Februari dibuka secara percuma kepada orang ramai. Putrajaya * Bayaran masuk secara percuma bagi pelawat-pelawat ke taman-taman awam Putrajaya pada 1 Februari 2011. Walau bagaimanapun, kelonggaran itu tidak termasuk bayaran sewaan untuk kemudahan lain seperti penggunaan trem, sewaan ruang, gelanggang permainan atau sukan, kayak, basikal, wall climbing dan sebagainya. * Diskaun sebanyak 30 peratus kepada pemegang myKad warga Wilayah Persekutuan yang bermula dari 29 Januari 2011 sehingga 1 Februari 2011 untuk perkhidmatan Cruise Tasik Putrajaya. Untuk maklumat lanjut hubungi 03-8888 5539. * Lawatan berpandu ke tempat-tempat menarik di sekitar Putrajaya dengan menaiki bas Nadi Putra secara percuma bermula dari Centre Dataran Putra pada 1 Februari 2011. Untuk maklumat lanjut hubungi 03-8887 7584. Labuan * Pendaftaran keahlian percuma di Perpustakaan Awam Labuan bermula 1 Februari sehingga 28 Februari 2011. * Bayaran secara percuma kepada beberapa kemudahan di Labuan seperti di bawah bermula dari 20 Februari 2011 hingga 28 Februari 2011: n Kemudahan gelanggang futsal dan boling padang. n Kemudahan penggunaan dewan serbaguna Perbadanan Labuan. n Auditorium Mini Anjung Budaya n Peralatan aktiviti berkayak - MAZLINA ABDUL MAJID | ||
Survival ahli silap mata India Posted: Survival ahli silap mata India
PRAKASH Mavinkurve bukan seperti ahli silap mata yang lain. Dia merupakan seorang ahli anestesiologis di sebuah hospital di Mumbai. Namun, dia menggunakan penemuannya untuk mengasah bakat bergelar ahli silap mata, rutin pentas dan jenaka sebaris. Rakan perubatan dan pesakit merupakan penonton yang mampu ditawan olehnya menggunakan silap mata berbentuk duit syiling dan helah kad. Ia bukan sahaja mendebarkan kanak-kanak, tetapi turut menghiburkan mereka yang dibebani dengan tekanan kerja yang berat. "Jururawat di sini selalu bertukar dan setiap hari saya boleh menemui 'tikus belanda' yang baru," tutur lelaki berusia 58 tahun itu dengan senyuman. Seperti kebanyakan perkara lain di kalangan penduduk India moden, silap mata dan ahlinya berubah, selari dengan cara baru dalam hiburan yang didambakan oleh pembangunan negara dunia ketiga. "Terdapat ramai ahli silap mata di Mumbai yang menggunakan bahasa sendiri iaitu Hindi atau Marathi," kata Mavinkurve, yang menjadikan ahli silap mata Tommy Cooper dan watak komik British sebagai hero. "Terlalu sedikit yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Populariti silap mata di dalam bahasa Inggeris semakin meningkat kerana petuturnya mempunyai lebih banyak pilihan untuk menonton di televisyen, DVD dan lain-lain. "Mereka mempunyai peluang mereka sendiri. Tetapi kini, ahli silap mata perlu bersaing." Helah magis India Ahli silap mata di seluruh dunia terhutang budi kepada India, di mana magis atau jaadu di Hindi mempunyai sejarah yang tidak ternilai walaupun pada zaman mitos dahulukala. Kelainan helah dalam magis di India berkaitan bola, gelas atau kotak, di mana pedang selalunya digunakan boleh menembusi badan pembantu di dalam kotak, telah menjadi helah wajib oleh setiap ahli silap mata di atas pentas. Malah, penonton dan ahli silap mata Barat terus terpesona dengan aksi terhebat India di mana seorang budak India dapat mendominasi tali panjang dan tegar sebelum menghilang. Kelompok ahli silap mata jalanan yang kebanyakan mereka mendapat ilmu silap mata dari generasi ke generasi, kekal utuh walaupun jumlah mereka semakin mengecil. "Silap mata tradisional India hampir terkubur," kata Mandar Patil, yang membuka produksi silap mata dan hiburan yang terkandung khazanah dan alatan silap mata bersama isterinya di Mumbai. "Hanya sedikit sahaja di kalangan ahli silap mata jalanan yang tinggal," katanya. "Justeru, agak sukar untuk meneruskan kehidupan hanya dengan melakukan silap mata." Patil merupakan bekas Presiden Ahli Silap Mata India yang mewarisi kemahiran magis daripada bapanya yang pernah membuat persembahan pada festival silap mata India ketika mereka menetap di Toronto, Kanada. Organisasi yang ditubuhkan pada tahun 1932 itu merupakan satu-satunya persatuan yang tertua di India walaupun ahlinya tidak sampai ratusan orang. Rancangan silap mata di Internet dan televisyen yang membocorkan rahsia silap mata membolehkan pendatang baru belajar helah di situ. Selain itu, akademi bagi melahirkan pakar silap mata turut dibina. Semua ini mampu untuk menambahkan bilangan ahli silap mata. "Bagi kebanyakan orang, ia merupakan hiburan yang bagus. Terlalu banyak pendedahan di dalam televisyen dan orang semakin mengetahui perbezaan antara silap mata yang dilakukan dalam jarak dekat dan ilusi," kata Patil. Tetapi Patil dan Mavinkurve kuat mengatakan peserta India semakin diterima ketika penonton banyak didedahkan untuk menyukai nama-nama besar Amerika Syarikat (AS) seperti David Blaine, Criss Angel atau David Copperfield. "Kami telah dibayangi oleh budaya Barat. Orang India semakin kebaratan. Ahli silap mata kini tidak lagi membuat helah tradisional dalam persembahan harian, parti hari lahir dan seumpamanya. Mereka lebih selesa membuat magis Barat," luah Patil lagi. Pengaruh Las Vegas Sementara itu, seorang pelakon ahli silap mata merangkap Presiden Akademi Silap Magis yang terletak di selatan bandar Bangalore, K.S Ramesh mengatakan helah atau rekaan silap mata di India semakin berkurangan. "Sehubungan itu, bayaran yang dikenakan ke atas penonton dijangka meningkat berikutan mereka menggunakan gaya persembahan Las Vegas," tegasnya. Mavinkurve yang telah berkecimpung sebagai ahli silap mata selepas rakannya membuat persembahan pada persidangan perubatan tiga dekad lalu berpendapat, pengaruh sedemikian telah membuatkan hidup lebih sukar bagi mereka yang bersandar kepada helah mudah menggunakan tangan. "Magis yang dipertontonkan datang dari luar negara. Ia berteknologi tinggi. Ramai yang dapat membezakannya ketika saya membuat persembahan." Walaupun begitu, ahli silap mata percaya bahawa cara lama untuk membuat helah dan ilusi masih mempunyai tempat di kalangan masyarakat moden India dan masih ada permintaan di kalangan pelanggan yang bersedia untuk dikejutkan. "Apabila magis berlaku dalam sekelip mata, ia adalah sama biarpun ia berasal daripada magis jalanan India atau David Copperfield. "Rasa cemas masih terpahat di hati penonton ketika itu sekali gus menjadikan magis masih mendapat tempat hingga ke saat ini," kata Ramesh. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan