Rabu, 26 Januari 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Merakam alam dalam fotografi

Posted:

Merakam alam dalam fotografi

Merakam alam dalam fotografi

Oleh WAN YUSLINA WAN MUDA
utusanpahang@utusan.com.my


Jurugambar-jurugambar yang terlibat dalam Pameran Foto Alam di Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 26 Jan. - Pada zaman ini, semua orang mampu dan tahu mengambil gambar tetapi bukan semua foto yang dirakamkan itu cantik atau mampu memuaskan hati.

Bagi menghasilkan foto yang cantik, tidak semestinya memerlukan kamera yang canggih dan berharga ribuan ringgit.

Dengan kemahiran yang tinggi, seseorang yang menggunakan kamera biasa atau melalui kamera telefon bimbit turut dapat menyerlahkan kecantikan sesuatu foto.

Tidak dapat dinafikan bidang seni foto kini semakin berkembang pesat.

Ada yang mendapat kemahiran secara formal daripada institusi-institusi berkaitan dan sebahagiannya memiliki skil tersebut menerusi minat yang terlalu mendalam.

Mereka yang berminat dalam bidang fotografi dilihat semakin meningkat dan bukan sahaja di kalangan jurugambar profesional malah ia berleluasa kepada generasi muda yang baru menamatkan alam persekolahan.

Kegilaan terhadap bidang fotografi dilihat semakin ketara sejak kemunculan kamera kompak digital dan terbaru iaitu kamera lensa refleks tunggal digital (DSLR) di pasaran secara meluas.

Ternyata kamera DSLR memberi impak positif sekali gus mendorong orang ramai melibatkan diri dalam dunia fotografi tanpa batasan.

Kecanggihan yang terdapat pada kamera DSLR tersebut hanyalah sebagai media untuk merakam gambar yang lebih cantik.

Namun, tidak ramai yang mengetahui peraturan dan teknik-teknik untuk menghasilkan foto sebagaimana yang diinginkan.

Pendek kata, jika seseorang itu mempunyai kamera DSLR tetapi tidak mempunyai bakat dan pengetahuan berkenaan bidang fotografi, rakaman foto yang diambil hanyalah sekeping gambar kosong yang mati.

Salah seorang yang meminati bidang fotografi ialah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jamalludin Ab. Rahman.

Jamalludin meminati bidang fotografi dan bergerak secara serius pada 2004.

Menurut beliau, untuk menjadi seorang jurugambar tidak memerlukan ribuan ringgit kerana fotografi adalah berkaitan dengan sudut sesuatu gambar itu diambil.

Beliau merupakan salah seorang peserta yang mempamerkan hasil seninya di Pameran Foto Alam yang diadakan di Rajawali Art Gallery di sini, baru-baru ini.

"Pameran foto yang kali pertama diadakan di sini memberi peluang kepada jurugambar untuk menghantar, berkongsi dan mempamerkan hasil rakaman gambar mereka.

"Pameran ini terbuka kepada semua yang berminat dalam fotografi tanpa mengira bangsa, agama dan negara," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Jamalludin, pameran itu bukan sahaja dihadiri oleh jurugambar dari Kuantan malah sebahagiannya dari Kuala Lumpur dan Singapura.

''Gambar yang dihantar akan dinilai terlebih dahulu sama ada mengikuti tema alam yang diberikan sebelum dipamerkan.

''Pameran berlangsung selama sebulan dan gambar-gambar tersebut akan dijual kepada sesiapa yang berminat," jelasnya.

Jamalludin memberitahu, harga sesuatu gambar itu terletak kepada jurugambar berkenaan untuk meletakkan nilai untuk hasil seni mereka.

''Saya meletakkan harga kepada gambar saya berdasarkan kesukaran untuk merakamkan gambar tersebut,'' katanya.

Jelasnya, kepuasan merakamkan sesuatu gambar yang cantik tidak dapat dihuraikan dengan kata-kata dan ia amat seronok untuk dikongsi dengan jurugambar lain.

Seorang lagi peserta, Ali Shamsul Bahar, 41, juga merupakan seorang jurugambar yang mula meminati bidang fotografi sejak di bangku sekolah lagi.

''Saya memiliki kamera pertama ketika berada di tingkatan satu pada 1982.

''Saya sering memasuki pertandingan seni fotografi sejak di bangku sekolah dan mempelajari ilmu berkaitan fotografi secara sendiri," jelasnya.

Menurut Ali Shamsul, bidang fotografi mampu memberi pendapatan sampingan kepadanya dan sehingga kini, banyak gambarnya dibeli oleh syarikat-syarikat dan orang perseorangan.

''Terbaru gambar saya dibeli oleh seorang pelancong asing dari United Kingdom setelah dia melihat gambar tersebut yang dimuat turun ke dalam laman sesawang.

''Bidang fotografi mampu menjana pendapatan sekiranya seseorang itu benar-benar serius untuk berjaya dalam bidang ini," katanya.

Ali Shamsul berkata, mereka yang berminat dalam bidang fotografi boleh menyertai Kumpulan Luar Biasa yang ditubuhkannya sejak dua tahun lalu.

''Kumpulan ini bukanlah untuk mencari keuntungan tetapi ia merupakan sebuah kumpulan informal yang ahli-ahlinya hanya berminat dalam seni fotografi semata-mata.

''Ahli-ahli kumpulan ini terdiri daripada jurugambar Malaysia, Indonesia dan Singapura," ujarnya.

Ali Shamsul berkata, kumpulan itu turut mengajar mereka yang baru terlibat dalam dunia fotografi dengan menggunakan peraturan dan teknik yang betul ketika merakam gambar selain aktif mengadakan aktiviti luar seperti memasuki hutan sambil mengambil gambar.

''Orang yang meminati bidang ini adalah mereka yang sanggup berhabis wang ringgit untuk mendapatkan kepuasan dan bangun sebelum subuh semata-mata untuk merakamkan gambar.

''Saya lebih cenderung mengambil gambar alam dan merakamkan kebesaran alam ciptaan tuhan menerusi fotografi," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menasihati mereka yang baru berjinak-jinak dalam bidang fotografi supaya terlebih dahulu mengenali kamera dan jenisnya.

''Apa jenis kamera yang digunakan sebenarnya tidak penting tetapi kebolehan meneroka dan menggunakan media tersebut yang paling utama selain tidak malu menyerlahkan bakat," katanya.

Seorang lagi jurugambar perkahwinan, Raudzah Arippin, 32, berkata, pada mulanya fotografi hanya sekadar minat dan dia tidak menyangka membuka perniagaan menerusi bidang tersebut.

''Saya cenderung mengambil gambar perkahwinan walaupun sebenarnya lebih berminat merakam gambar alam semula jadi.

''Untuk merakam gambar alam semula jadi, jurugambar perlu pergi ke banyak lokasi yang cantik dan mencabar tetapi kerana telah berkahwin dan mempunyai anak, pergerakan saya agak terbatas," ujarnya.

Menurut Raudzah, merakam gambar perkahwinan dan alam semula jadi adalah dua perkara yang berbeza dari segi teknik dan kepuasan.

''Cabaran utama merakam gambar alam semula jadi ialah jurugambar mesti berada di tempat, waktu dan cuaca yang sesuai bagi menghasilkan sekeping gambar yang cantik dan memukau.

"Untuk mengambil gambar perkahwinan pula, seseorang itu perlu berdepan dengan ragam pengantin yang kebanyakannya tidak memahami tugas jurugambar seperti kami selain memenuhi permintaan pelanggan yang pelbagai kerenah," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Jualan pasar tani meningkat RM10j

Posted:

Jualan pasar tani meningkat RM10j

Jualan pasar tani meningkat RM10j

Oleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
utusanpahang@utusan.com.my


Beberapa peserta gotong-royong membersihkan kawasan pasar tani di Kuantan, kelmarin.


KUANTAN 26 Jan. - Hasil jualan di pasar tani Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di daerah ini meningkat kepada RM10 juta pada tahun lalu berbanding RM9.5 juta pada 2009.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun berkata, sehubungan itu, FAMA akan menggiatkan lagi usaha menarik lebih ramai pengunjung ke pasar tani bagi meningkatkan hasil jualan tahun ini.

Menurut beliau, di daerah ini sahaja, terdapat 1,000 peniaga yang beroperasi di sembilan pasar tani.

''Pelbagai usaha dan aktiviti diatur dalam menjayakan aktiviti di pasar tani sebagai destinasi menarik untuk pengunjung membeli barangan keperluan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis gotong-royong dan penyerahan permit pasar tani 2011 daerah Kuantan di pekarangan Stadium Darul Makmur di sini, semalam.

Hadir sama Pegawai FAMA daerah, Ahmad Nayan; Pengurus Perbadanan Stadium Darul Makmur, Mohd. Izuddin Mohd. Kenali; Pengurus Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora), Nazira Mahayuddin dan Pengerusi Pasar Tani Mega, Abu Bakar Jaamap.

Kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada peniaga pasar tani, syarikat Alam Flora Sdn. Bhd., Perbadanan Stadium Darul Makmur dan Jabatan Bomba dan Penyelamat terlibat dalam aktiviti gotong-royong tersebut.

Khai Mun berkata, kempen kebersihan itu bertujuan mengekalkan ruang niaga yang selesa, kemas dan teratur bagi menjaga imej pasar tani yang dibangunkan oleh FAMA.

"Saya meminta semua peniaga mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan FAMA supaya perniagaan dapat berjalan dengan lancar," katanya.

Menurut beliau, antara objektif program itu adalah untuk memupuk semangat kerjasama dan sikap bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan kawasan perniagaan supaya sentiasa bersih.

Selain bakal menjadi agenda tahunan, katanya, program gotong-royong itu dapat mengeratkan hubungan antara peserta pasar tani dan jabatan serta agensi berkaitan.

''Program seumpama ini juga dapat menarik lebih ramai pengunjung ke pasar tani di seluruh daerah.

''Kesedaran menjaga kebersihan dapat ditanam seterusnya dipraktikkan dalam kehidupan seharian," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

MPK lancar Zon Sifar Sampah

Posted:

MPK lancar Zon Sifar Sampah

MPK lancar Zon Sifar Sampah


Hoh Khai Mun (dua dari kiri) bersama Zulkifli Yaacob (kanan) melancarkan Kempen Zon Sifar Sampah (ZSS) di Kuantan, semalam.


KUANTAN 26 Jan. - Bagi meningkatkan tahap kebersihan dan memastikan bandar ini bebas daripada sebarang masalah sampah, Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) mengambil inisiatif dengan melancarkan kempen Zon Sifar Sampah (ZSS).

Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, kempen tersebut akan melibatkan kerja-kerja pembersihan sampah sarap, mengatasi masalah longkang tersumbat serta kerja-kerja membaiki jalan dan lampu di kawasan yang dikenal pasti.

Selain itu katanya, program berkenaan turut melibatkan pemantauan dari segi kebersihan di setiap premis perniagaan dan mewujudkan tandas awam yang bersih serta menepati syarat yang ditetapkan MPK.

''MPK juga akan memastikan persekitaran kawasan yang termasuk di dalam ZSS bebas daripada nyamuk aedes, lalat, tikus dan sebagainya," katanya ketika berucap sempena majlis pelancaran ZSS di Dataran Letak Kereta Mahkota Square di sini, hari ini.

Pelancaran tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn. Bhd., Mohd. Zain Hassan dan Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Dr. Nazri Yahya.

Zulkifli berkata, mulai tahun ini, MPK menjalankan kerja-kerja kutipan sampah jalanan melibatkan laluan masuk utama ke pusat bandar bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa terpelihara.

''Pada peringkat permulaan, kempen ZSS akan dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa pertama bermula di jambatan Sungai Kuantan sehingga ke Teluk Chempedak melibatkan Jalan Mahkota, Jalan Haji Abdul Aziz, Teluk Sisek dan Jalan Besar.

''Fasa kedua yang bermula tahun depan melibatkan keseluruhan pusat bandar meliputi Jalan Wong Ah Jang, Jalan Bukit Ubi hingga ke Jalan Beserah dan fasa ketiga melibatkan kawasan pelancongan iaitu di pantai Balok dan Cherating," katanya.

Menurut Zulkifli, pada tahun lalu, MPK menerima sebanyak 761 aduan berkaitan perkhidmatan pembersihan sampah, longkang dan rumput.

Bagaimanapun katanya, aduan tersebut menurun sebanyak 13.2 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 877 aduan.

''MPK juga berjaya mengurangkan tapak lokasi sampah haram daripada 136 lokasi kepada 95 lokasi dan akan mengurangkan tapak tersebut kepada sifar.

''Oleh itu, menjadi hasrat MPK dalam pelan strategik 2009-2014 untuk memastikan bilangan aduan tersebut dapat dikurangkan sehingga 50 peratus dengan kadar pengurangan sebanyak 10 peratus setiap tahun," tegasnya.

Bagi mempergiatkan lagi kempen tersebut, katanya, pelbagai agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), media dan orang perseorangan akan turut menyertainya.

Sementara itu, Khai Mun dalam ucapan perasmiannya berkata, usaha yang dirancang dan akan dilaksanakan MPK harus dijadikan contoh kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) lain bagi mewujudkan persekitaran bandar yang bersih dan indah.

Menurutnya, ZSS perlu diperluaskan di kawasan perumahan memandangkan masalah kebersihan dan pembuangan sampah yang tidak sempurna merupakan punca wabak demam denggi.

''Pada tahun lalu, sebanyak 1,689 kes demam denggi berlaku di negeri ini manakala daerah Kuantan mencatatkan sebanyak 1,030 kes dan ini merupakan masalah yang serius yang perlu kita tangani," tegasnya.

Katanya, penyertaan semua pihak akan melancarkan perjalanan kempen tersebut yang secara tidak langsung memberi kebaikan kepada semua serta dapat menghindari daripada pelbagai penyakit berbahaya.

''Sesuatu program yang dirancang akan menjadi sukar untuk mencapai matlamatnya jika tiada penglibatan daripada masyarakat," ujarnya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan