Ahad, 30 Januari 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


‘Spiderman’ terima padah

Posted: 29 Jan 2011 08:54 AM PST

SUBANG JAYA: Tindakan berani seorang lelaki warga Indonesia melakukan aksi 'spiderman' dengan terjun dari kediamannya di tingkat tiga membawa padah apabila cedera parah di pinggang dan patah kaki.

Lelaki terbabit panik selepas Pangsapuri Seri Mutiara diserbu Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dengan kerjasama pegawai Imigresen dan anggota Rela, semalam.


Dia mulanya melawan anggota yang menahannya sebelum terjun semata-mata ingin melarikan diri.

Dalam operasi dijalankan pada jam 1 pagi, lelaki berkenaan tidak mempedulikan kecederaannya dan terus melarikan diri, namun berjaya ditangkap pihak berkuasa di bawah pangsapuri terbabit.


Sementara itu, satu unit di pangsapuri berkenaan terpaksa dipecahkan apabila penghuni enggan membuka pintu selepas diketuk berulang kali.


Selepas berjaya memasukinya, muncul seorang wanita berpura-pura seperti baru bangun daripada tidur dan mengaku dia tinggal berseorangan.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut menjumpai seorang wanita pendatang tanpa izin dari Indonesia bersembunyi di bawah tilam.


Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Ikhsan berkata, serbuan terbabit dilakukan selepas mendapat aduan orang ramai yang bimbang dengan kehadiran pendatang tanpa izin.

Beliau berkata, orang awam turut bekerjasama memberi maklumat berkaitan kediaman diduduki warga asing yang memudahkan pihaknya melakukan serbuan.


"Hasil serbuan ini kita memeriksa 112 warga asing dari Indonesia, Nepal, Bangladesh, India dan Vietnam. Bagaimanapun kita hanya menahan 14 orang yang tidak mempunyai dokumen sah.


"Semua mereka yang ditahan akan diserahkan kepada Imigresen Selangor bagi tindakan selanjutnya," katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan.


Adnan berkata, pihaknya memeriksa 50 unit kediaman yang disewa warga asing, bagaimanapun lima daripadanya tidak tepat.


"Lelaki yang cedera akibat terjun dari tingkat tiga dibawa ke Hospital Serdang bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

‘Tidur’ dalam kolam

Posted: 29 Jan 2011 08:47 AM PST

ALOR SETAR: "Saya terkejut apabila seorang kanak-kanak lelaki memberitahu ada orang 'tidur' dalam kolam," kata pengawal penyelamat kolam renang, Mohd Rosidi Mohd Ali, 37, mengenai kejadian seorang pengunjung lemas di kolam renang di sebuah hotel di Lebuhraya Darulaman, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang, mayat Tan Kaw Liang, 36, ditemui terbaring di dasar kolam renang sedalam kira-kira 1.3 meter itu.


Mohd Rosidi berkata, ketika kejadian dia baru saja menamatkan syifnya pada jam 5.30 petang sebelum didatangi dua kanak-kanak memberitahu ada orang 'tidur' di dalam kolam.

"Saya baru selesai mandi selepas syif kerja saya tamat pada jam 5.30 petang. Sebaik diberitahu kanak-kanak itu, saya segera ke situ dan mendapati seorang lelaki dalam keadaan terbaring di dasar kolam.


"Saya segera terjun ke dalam kolam dan mengangkat lelaki terbabit yang tidak sedarkan diri. Saya segera memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR), tetapi gagal. Malah, saya terkejut kerana bukan air yang keluar dari mulut mangsa, tetapi darah," katanya.


Mohd Rosidi berkata, dia mengesyaki mangsa mengalami masalah kesihatan kerana lemas di kawasan kedalaman paras dada orang dewasa selain darah keluar dari mulut dan hidungnya.

Selain penyewa hotel, kolam renang itu dibuka kepada orang ramai dan beroperasi tiga syif setiap hari. Ia dibuka mulai jam 7.30 pagi hingga 12.15 tengah hari sebelum ditutup untuk kerja pembersihan kolam.


Ia dibuka semula pada jam 1 petang hingga 4.45 petang sebelum disambung semula pada jam 5.30 petang dan ditutup pada jam 8.45 malam.

Mohd Rosidi berkata, ketika kejadian, kawasan kolam renang itu baru dibuka untuk syif kedua dan ada kira-kira enam pengunjung termasuk mangsa ketika itu.


Difahamkan, seorang lagi pengawal penyelamat yang bertugas berada kira-kira 10 meter dari tempat kejadian tetapi tidak perasan kejadian itu kerana mangsa tidak meronta-ronta ketika lemas.


Ibu mentua mangsa, Ooi Swee Keow, 61, berkata Tan dari Taman Padi Emas, Alor Mengkudu, di sini, ke kolam renang itu bersama dua anaknya berusia tiga dan enam tahun.


"Hampir setiap minggu dia membawa keluarganya mandi di kolam itu. Namun, semalam (kelmarin) isterinya tidak turut serta kerana bekerja.


"Minggu depan Tahun Baru Cina dan semua persiapan dibuat. Nampaknya semuanya tidak bermakna sekarang," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asistan Komisioner Adzaman Mohd Jan ketika dihubungi mengesahkan kejadian.


Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas dan polis menolak sebarang unsur jenayah.


Tinjauan Metro Ahad di kolam renang itu semalam mendapati ia beroperasi seperti biasa.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan