Khamis, 27 Januari 2011

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Saksi gementar lihat mayat dalam almari

Posted:

Saksi gementar lihat mayat dalam almari

Saksi gementar lihat mayat dalam almari

SHAH ALAM 27 Jan. - Adik kepada lelaki yang didakwa membunuh isterinya, Fazlina Ahmad memberitahu dia gementar apabila pihak polis memaklumkan satu mayat dijumpai di dalam almari pakaian di bilik tidur abangnya.

Mohd. Faizal Mohamed, 32, ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, kejadian itu berlaku semasa dia hadir tanpa rela hati bersama pasukan polis untuk menggeledah rumah Mohafri pada 30 Disember 2009.

''Semasa di bilik tidur utama, pegawai polis beritahu ada sesuatu yang mencurigakan di bahagian bawah almari. Katanya ada mayat dan menyebut 'crime scene' (tempat kejadian jenayah).

''Saya dalam keadaan gementar minta polis sahkan. Semasa polis tarik selimut, saya nampak separuh wajah daripada bahagian hidung ke atas,'' katanya semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar.

Dalam kes ini, bekas pengurus syarikat katering, Mohafri, 38, didakwa membunuh isterinya, Fazlina, 39, di rumah No. 70, Jalan Pinggiran 2, Taman Pinggiran Ukay, Ampang antara pukul 5 pagi hingga 10.30 pagi, 30 Disember 2009.

Dia dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mohd. Faizal yang ketika itu tidak dapat mengesahkan sama ada mayat itu adalah kakak iparnya memberitahu seorang lagi abangnya, Mohd. Hanafi yang berada di luar rumah tentang penemuan tersebut.

Tambahnya, Mohd. Hanafi mengatakan ia mungkin mayat Fazlina dan menjadi sangat sedih serta mengalami trauma sehingga terpaksa ditenangkan.

Berikutan itu, dia cuba menghubungi beberapa ahli keluarga termasuk Mohafri yang hanya sempat memaklumkan dia berada di dalam kereta api sebelum talian terputus..

Terdahulu, pegawai perkhidmatan pelanggan sebuah syarikat swasta itu memberitahu, dia melihat beberapa pegawai polis berada di rumah adiknya, Faizah semasa tiba di sana pada hari yang sama.

''Polis memaklumkan pihaknya menerima laporan bahawa Fazlina hilang dan minta saya ikut ke rumah Mohafri untuk pecah masuk.

''Di situ timbul keraguan dan saya soal selalunya laporan orang hilang dalam masa 24 jam melainkan laporan kata ada pembunuhan. Pada mulanya saya tidak mahu ikut dan tidak mahu pecah masuk rumah,'' katanya.

Jawapan tersebut menyebabkan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menegur sambil bertanya tentang undang-undang yang menyatakan siasatan hanya dibuat selepas 24 jam seseorang itu hilang.

Ketika diminta membuat pengecaman terhadap gambar-gambar Fazlina, saksi dilihat hanya memandang sekilas sahaja sebelum menelangkupkan gambar tersebut.

Sementara itu, Mohd. Hanafi, 35, pula berkata dia memarahi Mohafri apabila abangnya itu tidak pulang-pulang walaupun dimaklumkan polis sedang mencarinya.

Katanya, dia bertindak demikian kerana Mohafri enggan memberi penjelasan tentang apa yang berlaku dan asyik menjawab tidak tahu berhubung kehilangan Fazlina.

''Selepas solat maghrib di rumah Faizah, saya, Mohd. Faizal dan adik ipar pergi ke balai polis. Semasa di sana saya telefon Mohafri, dia kata dalam kereta api. Saya marah dia dan tanya apa yang sebenarnya berlaku.

''Dia kata tidak tahu dan dia tidak buat apa-apa. Saya pujuk suruh dia turun daripada kereta api dan balik ke rumah sebab polis mahukan kunci rumah,'' jelasnya.

Sebelum ke rumah Mohafri, dia sempat menelefon rakan Fazlina, Safiyatun Omar dan diberitahu ada sesuatu yang tidak kena berlaku di rumah tertuduh serta meminta agar almari pakaian di bilik tidur utama diperiksa.

Perbicaraan bersambung esok.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Kes bunuh Sosilawati tangguh 24 Februari

Posted:

Kes bunuh Sosilawati tangguh 24 Februari

Kes bunuh Sosilawati tangguh 24 Februari

KUALA LANGAT 27 Jan. - Mahkamah Majistret Telok Datok di sini menangguhkan sehingga 24 Februari ini, kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain sementara menunggu keputusan semakan kehakiman dan rayuan dua pekerja bekas peguam N. Pathmanabhan.

Majistret Hurman Hussain membenarkan penangguhan tersebut yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusof, mengetuai pasukan pendakwaan sewaktu kes itu disebut semula di hadapannya hari ini.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Wira Mohtarudin Baki menolak permohonan kesemua tertuduh dalam kes bunuh itu untuk menjadi pencelah dalam prosiding semakan kehakiman dan rayuan K. Sarawanan dan U. Suresh.

Hakim Mohtarudin sebelum ini memutuskan untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah iaitu seseorang hakim boleh membuat semakan terhadap keputusan mahkamah rendah untuk membetulkan keputusan, rumusan, hukuman dan perintah.

Sarawanan pula memfailkan rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun dengan alasan dia telah dipaksa membuat pengakuan salah.

Pada 13 Oktober tahun lalu, Pathmanabhan, 41, bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Kathavarayan, 30, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok atas tuduhan membunuh Sosilawati, 47, dan tiga rakannya.

Mereka ialah pemandu jutawan itu, Kamaruddin Shamsudin, 44; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pegawai bank, Noorhisham Mohammad, 38.

Pertuduhan terhadap kesemua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dua hari selepas itu, dua lagi pekerja ladang Pathmanabhan iaitu Sarawanan, 19, dan Suresh, 26, dihukum penjara maksimum tujuh tahun oleh Mahkamah Majistret yang sama selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengangkat, membakar dan membuang abu mayat kesemua mangsa.

Sarawanan mengaku melakukan kesalahan itu di Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, sementara Suresh mengaku berbuat demikian di Sungai Panchau, Jalan Morib Banting pada 31 Ogos tahun lalu.

Terdahulu, selepas mahkamah membenarkan penangguhan tersebut, peguam bela, Amer Hamzah Arshad menyuarakan rasa kecewa barisan pembelaan ekoran masih belum menerima sebarang dokumen berkaitan kes itu.

Sehubungan itu, beliau memohon satu jaminan bahawa dokumen-dokumen tersebut diserahkan kepada mereka Isnin ini sewaktu prosiding semakan kehakiman dan rayuan.

''Kami akan serahkan sebahagian daripada dokumen Isnin ini, sebahagian dokumen,'' ujar Ishak.

Pendakwa raya tersebut sekali lagi memohon budi bicara mahkamah menangguhkan kes itu sementara menunggu keputusan semakan kehakiman selepas Hurman menyatakan beliau tidak lagi mempunyai alasan untuk 'menahan' kes itu di Mahkamah Majistret dan bercadang memindahkannya ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Amer Hamzah berkata, beliau juga ingin agar kes itu dipindah ke Mahkamah Tinggi tetapi peruntukan undang-undang tidak mengizinkan untuk berbuat demikian memandangkan pihak pendakwaan masih belum menyerahkan surat izin untuk memindahkan kes kepada mahkamah.

''Saya tahu tuan amat kecewa,'' kata Amer Hamzah dan Hurman menjawab: ''Saya tidak kecewa tetapi tidak gembira.''

Pada prosiding yang sama, seorang lagi peguam bela, Pushpa Ratnam kembali membangkitkan isu anak-anak guamnya dipukul di Penjara Kajang.

Kali ini membabitkan Thilaiyalagan dan Matan yang mendakwa dipukul oleh kakitangan penjara itu.

Selain itu, salinan laporan polis yang dibuat oleh Kathavarayan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Kuala Langat berhubung isu dipukul di penjara juga masih belum diperolehi.

Hurman kemudian memohon pihak pendakwaan membantu barisan pembelaan untuk menyelesaikan isu tersebut.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan