Utusan Online - Politik |
Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT Oleh NORAZRIN MARZUKI Pengasas sebuah syarikat elektronik Taiwan yang merupakan rakyat Malaysia (kanan) dilihat bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ketika berkempen dalam PRU-13 lalu. Gambar ini pernah disiarkan dalam portal propembangkang Malaysiakini. KUALA LUMPUR 31 Mei - Polis telah mengenal pasti identiti beberapa individu yang bertanggungjawab merancang menggulingkan kerajaan menerusi pergerakan pasukan tentera siber Red Bean Army. Menurut sumber, sebanyak 30 individu telah dikesan menjadi orang upahan pihak pembangkang untuk melancarkan serangan ke atas kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi blog, laman sosial dan YouTube. "Identiti lima atau enam daripada jumlah itu telah dikenal pasti sejak lebih seminggu lalu dan pasukan keselamatan percaya akan menangkap mereka dalam tempoh terdekat untuk menghapuskan kegiatan kumpulan ini yang diwujudkan bertujuan memburuk-burukkan kerajaan," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini. Sumber berkata, walaupun pada awalnya beratus-ratus akaun Facebook dikesan menjalankan kegiatan itu sehingga menimbulkan kebimbangan rakyat Malaysia, tetapi siasatan polis mendapati itu hanya akaun palsu yang dimiliki oleh 30 individu yang terlibat. Red Bean Army difahamkan bergerak secara siber yang mempunyai misi menggulingkan kerajaan dengan dibantu oleh pihak tertentu dalam memberi dana dan bantuan kepada mereka. Untuk rekod, sebelum ini akhbar melaporkan berita mengenai Red Bean Army adalah tentera siber yang dipercayai ditaja oleh DAP yang ditugaskan menyerang mana-mana tokoh politik, perniagaan, ikon hiburan serta sesiapa sahaja yang dilihat mesra BN melalui media alternatif seperti blog, Facebook, Twitter dan YouTube bagi membangkitkan kebencian pengundi Cina. Selain itu, Red Bean Army didakwa ditubuhkan untuk mencipta penipuan dan memanipulasi fakta dan menyuntik kebencian terhadap kerajaan oleh ahli yang diberi latihan oleh DAP serta dibayar gaji tetap sebanyak RM3,000 sebulan sejak enam tahun lalu. |
Demonstrasi jalanan hanya muslihat Anwar Posted: 31 May 2013 12:05 PM PDT KUALA LUMPUR 31 Mei - Tindakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terus melakukan provokasi mengajak rakyat turun berdemonstrasi di jalanan dilihat seperti mempunyai muslihat dan agenda tersirat. Presiden Pertubuhan Penyokong Barisan Nasional (PPBN), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, ini kerana demonstrasi jalanan bagi menggulingkan kerajaan itu juga tidak dipersetujui oleh Pas dan DAP, jadi jelas politik jalanan tersebut hanya agenda peribadi Anwar. "Demonstrasi jalanan itu bukanlah suara pakatan pembangkang secara keseluruhan tetapi lebih kepada perjuangan peribadi Anwar. ''Cara Anwar yang terus melakukan provokasi itu merupakan muslihat berkepentingan peribadi serta strategi bagi mengelak berdepan daripada sesuatu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang mendesak Anwar menghentikan segera tindakan yang menimbulkan kacau-bilau di negara ini. Menurut Tunku Abdul Aziz, tindakan Anwar itu seperti bermain dengan api yang boleh membawa suasana huru-hara yang sukar dikawal serta boleh memberi kesan negatif kepada kehidupan jutaan rakyat Malaysia. Tambah Saharuddin, amat menghairankan sekiranya demonstrasi jalanan yang dianjurkan Anwar itu sebagai bantahan terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang didakwa tidak adil ketika pakatan pembangkang juga telah membentuk kerajaan di tiga buah negeri. "Demonstrasi jalanan serta perhimpunan haram sepatutnya tidak perlu lagi berlaku kerana selepas menjalani pilihan raya umum yang lalu sudah sampai masanya kini untuk semua pihak bekerja membangunkan negara. "Saya yakin rakyat sudah letih dengan isu politik yang tidak berkesudahan dan kini tumpuan penuh perlu diberikan untuk mentadbir negara dan menguruskan kehidupan rakyat," katanya. Sementara itu, Presiden Persatuan Sosial Harmoni Malaysia, Nordin Ahmad berkata, matlamat politik Anwar hanyalah ingin menjadi Perdana Menteri dan beliau tidak peduli sekiranya negara dalam huru-hara atas perbuatannya. "Ketika DAP dan Pas boleh menerima keputusan PRU-13 lalu, Anwar pula sebaliknya dan jelas demonstrasi jalanan yang dianjurkannya itu bertujuan memenuhi nafsu politiknya yang ingin menjadi Perdana Menteri," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |