Utusan Online - Politik |
Menteri Besar mahu jumpa Mohammed Khusrin 7 Februari ini Posted: Menteri Besar mahu jumpa Mohammed Khusrin 7 Februari iniSHAH ALAM 27 Jan. - Setelah sebulan mengambil pendirian keras menolak pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akhirnya mengambil langkah 'meredakan' isu itu. Beliau memutuskan akan mengadakan pertemuan dengan SUK pada 7 Februari ini. Menurut Menteri Besar, beliau juga akan mengadakan sidang akhbar bersama Mohammed Khusrin bagi menjelaskan kedudukan SUK yang pelantikannya selama ini tidak dipersetujui oleh kerajaan negeri. Bagaimanapun, Abdul Khalid enggan menerangkan butiran mengenai perjumpaan itu termasuk soal majlis mengangkat sumpah simpan rahsia untuk Mohammed Khusrin bagi membolehkan beliau melaksanakan tugasnya dengan sempurna. "Itu nanti kita akan beritahu, (buat masa ini) adalah tidak adil bagi (Mohammed) Khusrin, kita akan adakan sidang akhbar bersama nanti," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini. Hari ini genap sebulan kemelut pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK selepas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan mengumumkan pelantikannya pada 27 Disember lalu. Sebelum ini, pelbagai pihak mendesak Abdul Khalid agar akur dengan pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK setelah pentadbirannya gagal meluluskan usul pindaan Perlembagaan negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Isnin lalu. Menteri Besar juga didesak agar mempercepatkan majlis mengangkat sumpah simpan rahsia untuk Mohammed Khusrin bagi membolehkan beliau dibenarkan menyertai mesyuarat Exco kerajaan negeri dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES). Dalam ucapan penggulungannya pada sidang DUN tersebut, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri menimbang untuk membuat semakan kehakiman setelah pindaan tersebut gagal diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga. Cubaan pindaan membabitkan Perkara 52(1) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor bertujuan mengembalikan kuasa pemerintah dan Menteri Besar dalam melantik tiga jawatan tertinggi negeri termasuk SUK. Abdul Khalid bagaimanapun menjelaskan, kerajaan negeri akan tetap dengan usahanya untuk meminda Perlembagaan negeri bagi memasukkan semula peruntukan 'kuasa Menteri Besar menasihati sultan' berhubung pelantikan SUK, Penasihat Undang-undang dan pegawai kewangan negeri. Katanya, usaha tersebut akan digerakkan bermula jamuan Tahun Baru Cina peringkat negeri yang dijadualkan pada 12 Februari ini. "Kita akan berkempen mendapatkan majoriti dua pertiga (DUN) dan supaya kuasa Persekutuan memberikan keadilan kepada negeri-negeri," katanya. | ||
Posted: Jangan perjudi masa depan
LABIS 27 Jan. - Rakyat di Tenang diminta jangan memperjudikan nasib mereka dengan memberi undi kepada pembangkang kerana Pas sudah jauh terpesong daripada perjuangan asal selain tidak berupaya membawa pembaharuan. Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman sebaliknya mahu pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, mengikut jejak langkah pengundi di Batu Sapi yang memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN). "Rakyat di Batu Sapi yang memberi sokongan besar kepada BN kini sedang menikmati pembangunan dan pembaharuan. Segala janji kita pada pilihan raya lalu sedang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan ini bukti kita sebuah parti yang berpegang kepada janji. "Jangan tersalah pilih kerana rakyat sendiri yang akan menanggung kerugian nanti apabila kesinambungan pembangunan di Tenang ini tidak dapat diteruskan," katanya kepada pemberita selepas berceramah di Kampung Air Panas, di sini malam tadi. Hadir sama Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Menurutnya adalah amat penting rakyat membuat pilihan yang tepat kerana sudah terbukti, 'perjudian' di Selangor, Pulau Pinang dan Perak tidak membawa sebarang kebaikan sebaliknya, nasib pengundi sendiri terabai. Mengenai 'fatwa' Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, kononnya mengundi Pas dapat pahala, beliau berkata, pembangkang sanggup melakukan apa sahaja termasuk memperalatkan agama demi kepentingan politik. Katanya, kenyataan Guan Eng itu juga membuktikan Pas kini sangat terdesak selain kekeringan modal sehingga terpaksa memperalatkan orang bukan muslim untuk bercakap seperti seorang 'ulama'. "Itu cara parti pembangkang kerana mereka ini tiada modal lagi, ideologi antara Pas dan DAP berbeza jauh tetapi demi kepentingan politik, Pas sanggup membiarkan Guan Eng bercakap seolah-olah dia pakar agama yang tahu dosa pahala," katanya. Guan Eng malam kelmarin ketika mengakhiri ceramahnya di Felda Chemplak melalui serangkap pantun dengan mendakwa orang ramai yang mengundi Pas akan memperoleh pahala. Pantun tersebut berbunyi 'calon PR cikgu Mala, adil ditegak rakyat dibela, pakatan rakyat harapan menyala, undi Pas dapat pahala'. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan