Sabtu, 29 Januari 2011

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Najib rasmi mercu tanda Kota Kinabalu

Posted:

Najib rasmi mercu tanda Kota Kinabalu

Najib rasmi mercu tanda Kota Kinabalu


NAJIB Tun Razak bersalaman dengan orang ramai semasa merasmikan karnival Tahun Baru Cina di Jalan Gaya dan melawat Lintasan Dasuka di Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 28 Jan. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini merasmikan mercu tanda terbaru bandar raya ini, sebuah taman rekreasi, Taman Perdana seluas 7.2 hektar di Hone Place Tanjung Aru di sini.

Reka bentuk taman itu menggambarkan legasi dan identiti Sabah dengan pembinaan kuarters kerajaan era pentadbiran British, dihiasi pula dengan landskap yang mencetuskan suasana hutan hujan.

Antara ciri yang terkandung di dalamnya adalah air pancut berirama, loji air suling, alat senaman fizikal, pentas pertunjukan kebudayaan, laluan refleksologi pejalan kaki, kawasan bersenam dan kemudahan capaian Internet jalur lebar tanpa wayar (WiFi), selain itu ia juga merupakan taman mesra orang kurang upaya (OKU).

Najib turut menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama pembinaan Gleneagles Medical Centre Kota Kinabalu antara Jesselton Wellnes Sdn. Bhd. serta Parkway Holdings Limited.

Hadir sama menyaksikan majlis itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman.

Selepas itu, Najib bersama Musa dan pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) serta orang ramai menyaksikan tayangan video mengenai pembinaan taman tersebut sebelum majlis penyerahan taman itu oleh pemajunya, syarikat Timatch Sdn. Bhd.

Perdana Menteri kemudian dibawa melawat loji penyulingan air berteknologi tinggi yang disalirkan terus dari air kolam utama dan beliau turut minum air yang disuling di loji itu.

Taman Perdana itu dibina oleh Timatch Sdn. Bhd. tanpa dikenakan sebarang bayaran atau sebarang pertukaran projek atau tanah, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu kepada Sabah dan rakyatnya.

Pembinaan taman itu diilhamkan oleh Musa semasa melakukan senaman jalan pagi di Taman Pusat Bandaraya Kuala Lumpur (KLCC) kerana beliau amat tertarik dengan keindahan dan konsep hijau yang ditawarkan oleh taman itu.

Terdahulu, pada sebelah petang semasa tiba di Kota Kinabalu, Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira sejam minum petang bersama pemimpin-pemimpin BN.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Perdana Menteri ketuai delegasi promosi Malaysia

Posted:

Perdana Menteri ketuai delegasi promosi Malaysia

Perdana Menteri ketuai delegasi promosi Malaysia

ABU DHABI 28 Jan. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijangka tiba di sini, malam esok akan melaksanakan apa yang dianggap satu misi perdagangan bagi mempromosikan Malaysia secara besar-besaran kepada negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) melalui forum Invest Malaysia 2011 di sini Ahad ini.

Pada forum berkenaan yang bakal dihadiri oleh 500 peserta termasuk 200 pemimpin korporat anggota GCC, Najib yang diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor juga akan melancarkan majalah Invest Malaysia 2011 yang mengandungi maklumat terperinci mengenai peluang dan potensi pelaburan di Malaysia.

Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Jalilah Baba berkata, Invest Malaysia 2011 adalah usaha kerajaan Malaysia bagi menarik pelabur dari Asia Barat terutamanya anggota GCC bagi memberi perhatian kepada Malaysia sebagai sebuah negara untuk mereka berkecimpung dalam dunia perniagaan sama ada dalam sektor perkilangan mahupun perkhidmatan.

''Anggota GCC ini mempunyai banyak syarikat yang memiliki dana besar yang kita boleh tarik supaya melakukan pelaburan di Malaysia dan dengan kehadiran Perdana Menteri ia akan memberi keyakinan kepada mereka bahawa Malaysia memang ingin menerima dan menjadi tuan rumah kepada perniagaan mereka di sebelah ASEAN dan Malaysia menjadi ibu pejabat kepada pelabur," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja dua hari Perdana Menteri ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) mulai esok, di sini, hari ini.

Kehadiran Perdana Menteri sememangnya dinanti-nantikan oleh pelabur Asia Barat terutamanya anggota GCC yang terdiri daripada enam negara iaitu Arab Saudi, UAE, Baharin, Qatar, Omar dan Kuwait.

Mengulas lanjut mengenai Invest Malaysia 2011, Jalilah berkata, melalui forum yang akan dirasmikan oleh Najib itu, syarikat besar di UAE seperti Mubadala Development Company, Aabar Investment, Al Ghurair dan banyak lagi akan ditemukan dengan MIDA yang sudah pun melaksanakan perbincangan dengan syarikat seumpama itu yang sebelum ini menyatakan minat untuk memberikan perhatian yang lebih kepada Malaysia.

''Kita juga sedia untuk menawarkan sokongan dari segi insentif yang menarik untuk pelabur melihat Malaysia sebagai sebuah negara alternatif memandangkan setakat ini pelabur dari Asia Barat tidak berapa aktif dalam pelaburan di negara kita," katanya.

Oleh itu, jelas beliau, Invest Malaysia 2011 merupakan usaha besar-besaran untuk menarik minat pelabur berkenaan bagi melihat Malaysia yang menawarkan peluang dalam sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan. - Utsan

''Dengan bantuan Kedutaan Malaysia yang diketuai Duta Malaysia, Datuk Yahaya Abdul Jabar, Invest Malaysia 2011 akan menjadi titik permulaan tindakan secara besar-besaran mempromosi Malaysia dan selepas ini banyak lagi tindakan susulan yang kita akan ambil dengan MIDA akan menghantar kumpulan kecil yang lebih fokus bagi menemui syarikat secara bersemuka.

''Ini bagi membolehkan perbincangan secara lebih terperinci dijalankan untuk kita membantu memahami apa kehendak mereka supaya dapat melabur di Malaysia," katanya.

Sementara itu, selain tokoh korporat, rombongan Perdana Menteri ke UAE akan disertai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. - Utusan

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Power Kaabah helah Ummu Jah - Bekas pengikut al-Arqam

Posted:

Power Kaabah helah Ummu Jah - Bekas pengikut al-Arqam

Power Kaabah helah Ummu Jah - Bekas pengikut al-Arqam

TANAH MERAH 28 Jan. - Seorang bekas pengikut al-Arqam mendedahkan pertubuhan haram itu kini melalui era Power Kaabah iaitu pengikutnya berdoa dengan bersandarkan kuasa kiblat umat Islam itu.

Bagaimanapun lelaki yang juga seorang guru itu tidak dapat menerangkan secara terperinci era tersebut kerana dia juga kurang pengetahuan mengenainya.

Katanya, maklumat mengenai era Power Kaabah itu diperoleh melalui rakan-rakan di laman Facebook yang masih mempunyai pautan dengannya.

''Power Kaabah sedikit sebanyak digambarkan seperti konsep 'tawasul' iaitu mempercayai dan yakin kaabah mempunyai kuasa membantu mereka menjalani urusan seharian.

''Ia umpama kepercayaan pengikut al-Arqam terhadap Abuya (Allahyarham Asaari Mohamad) yang dipercayai menjadi perantaraan kepada pengikut memohon sesuatu daripada Allah," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Lelaki berusia 20-an ini yang mengakui pernah dibesarkan dan diberi pendidikan di kalangan pengikut al-Arqam mendakwa, kemunculan era Power Kaabah itu mungkin mempunyai kaitan dengan isteri kedua Asaari, Hatijah Aam , 56, atau lebih dikenali sebagai Ummu Jah dan sebahagian pengikutnya yang dikatakan kini tinggal di Harmain, Mekah.

''Semakin saya dewasa, saya mendapat tarikan yang kuat untuk keluar daripada jemaah al-Arqam dan mencari kehidupan lebih baik walaupun terpaksa 'memutuskan hubungan' dengan ibu bapa dan adik-beradik lain.

''Kemunculan surat yang didakwa Ummu Jah hasil perbualan telefon dengan Rasulullah SAW pada Disember tahun lalu menguatkan lagi azam saya untuk terus menjauhkan diri daripada pertubuhan tersebut," katanya.

Katanya, isi kandungan surat itu mendorongnya menghubungi pihak media untuk mendedahkan kegiatan al-Arqam yang dianggapnya semakin mengelirukan.

''Antara kandungan surat yang dipercayai dikarang oleh Ummu Jah itu berbunyi: "Aku telah menalipon (menelefon) Nabiku akhir zaman, Muhammad SAW dengan hatiku lalu terjadilah surat ini''.

''Ia seolah-olah Ummu Jah mendakwa dia boleh berkomunikasi dengan Rasullullah menerusi telefon dan surat tersebut dipercayai disebarkan sekitar Disember lalu yang menggambarkan wanita itu juga mampu menyampaikan butir perbualan telefonnya dengan Rasulullah dengan menyifatkannya sebagai surat daripada baginda," katanya.

Dia yang kecewa dengan Ummu Jah yang suatu ketika dahulu antara jemaah yang rapat dengan wanita itu juga kesal dengan al-Arqam yang sering mempergunakan Rasulullah dalam setiap arahan atau tindakan mereka.

"Saya tidak mahu mereka terus mempergunakan Rasulullah dalam arahan mereka," katanya.

Katanya, kedua-dua orang tuanya yang masih menjadi pengikut al-Arqam dan kini berada di Mekah juga pernah diarahkan bercerai sekitar tahun lalu dalam satu arahan bercerai beramai-ramai yang didakwa diminta oleh Rasulullah.

''Selain didoktrin ke dalam jiwa anak jemaah al-Arqam sejak kecil dengan meminta pertolongan dan memanggil nama Abuya (Allahyarham Asaari Mohamad), kami juga 'ditakut-takutkan' apabila menentang al-Arqam bermakna kami dibenci Allah dan Rasulullah serta akan menerima akibatnya.

''Sehingga hari ini walaupun lebih lima tahun membawa haluan sendiri meneruskan kehidupan, ketakutan itu masih mencengkam," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan