Khamis, 27 Januari 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Cabaran teater orang muda

Posted:

Cabaran teater orang muda

Cabaran teater orang muda

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my


Para graduan Akademi Teater Perak bergambar bersama tenaga pengajar dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Perak, Abd. Mutalib Abd. Rahman.


IPOH 26 Jan. - Meskipun asas perjuangan teater pada masa kini pernah dikritik kerana hanya mempertaruhkan barisan artis popular, namun, seni pementasan ini wajar diteruskan demi kelangsungan budaya.

Bermula dengan kejayaan teater muzikal Puteri Gunung Ledang, peminat seni tanah air mula menunjukkan signal penerimaan apabila Muzikal Tun Abdul Razak, Natrah dan Muzikal Tun Mahathir mula mendapat tempat tempat di hati penonton.

Bukan untuk mengetepikan kemampuan lakonan di layar perak, namun cabaran beraksi di hadapan penonton secara langsung menerusi persembahan teater sememangnya diakui jauh lebih mencabar.

Justeru, usaha untuk melahirkan barisan pelakon berbakat serta kumpulan produksi yang komited diperlukan bagi meneruskan legasi pementasan teater pada masa akan datang daripada terus lapuk ditelan zaman.

Malah, penerapan seni teater di kalangan generasi muda kini bukan lagi tugas mudah apabila ledakan sains dan teknologi sedikit sebanyak mempengaruhi kecenderungan minat belia untuk mendampingi kerjaya yang lebih moden.

Namun, bagi anak muda, Nor Fifi Natasha Fairus, 17, yang lebih mesra dipanggil Sasha, walaupun menyimpan hasrat untuk bergelar seorang peguam, namun ia tidak sesekali menghalangnya untuk melibatkan diri dalam seni teater.

Anak kepada pasangan Fairus Mohd. Azis, 40, dan Nor Diana Noor Faadi, 39, yang juga pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Pulai itu beranggapan teater merupakan platform terbaik baginya untuk mempelajari pakej lengkap gerak tari, lakonan serta penguasaan pentas.

Lebih mengagumkan, siapa sangka Sasha yang menganggotai Persatuan Kebudayaan di sekolahnya itu juga pernah mengarahkan sebuah teater bertajuk 'Variasi Hidup' dengan bimbingan gurunya.

"Saya melihat teater ibarat sebuah kehidupan dan sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa seni persembahan itu sebenarnya memanusiakan manusia.

"Mendalami teater mendedahkan kita dengan pelbagai skop kehidupan. Lakonan sebenarnya merupakan satu peniruan, maka secara tidak langsung kita mengetahui cara hidup serta baik buruk seseorang melalui pengkajian sesuatu watak," katanya.

Sasha yang juga pelajar terbaik Akademi Teater Perak (Aktep) 2010 menerusi watak 'Ana' turut berkongsi pengalamannya ketika menjayakan teater Penunggu Pesaka arahan Zakaria Ariffin pada malam kemuncak pementasan tersebut.

Menurutnya, setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk mendapatkan penghayatan watak yang berkesan.

Namun bagi Sasha, dia lebih gemar bertanya kepada orang yang lebih arif serta memerhati karektor watak yang ingin dilakonkannya.

"Watak 'Ana' misalnya memerlukan saya berperangai seperti seorang kanak-kanak manja dan kebudak-budakkan yang berusia dalam lingkungan 15 tahun.

"Saya tidak dapat menghayati perangainya itu jika saya sendiri tidak menyarung baju seorang kanak-kanak," katanya.

Menurutnya lagi, kejujuran dalam lakonan itu penting bagi menyelami watak yang dibawa agar ia tidak dilihat seperti dibuat-buat sehingga memualkan penonton.

Sasha yang juga seorang pengawas di sekolahnya berpendapat, kebanyakan golongan muda bukannya tidak berminat untuk menceburi bidang teater, sebaliknya mereka mempunyai sifat penyegan yang menebal.

Dia percaya teater bukan sahaja hak eksklusif golongan berbakat tetapi juga boleh disertai oleh insan lain yang perlu gilapan lontaran suara, percakapan, penghafalan skrip serta pergerakan supaya lakonannya tidak kelihatan kaku.

"Pada saya, bagi mendapatkan 'feel' di dalam teater, kita boleh berlatih di hadapan cermin kerana daripada situ, mimik muka boleh diperhati dan emosi boleh diselitkan," katanya.

Sementara itu, Pengetua Aktep merangkap Pengerusi Badan Budaya Perak, Rashidi Abdul Kharis berkata, usaha menyemarak dan memperkembang seni teater di kalangan pelajar penting bagi melahirkan belia yang kreatif, inovatif dan berilmu.

Beliau berkata, Aktep yang juga merupakan satu bengkel persiapan selama lima minggu ke arah pementasan teater, mendedahkan pelajar-pelajarnya dengan beberapa prinsip utama.

Prinsip-prinsip tersebut termasuklah pengenalan dan permainan teater, improvisasi, gerak, emosi, suara, lakonan, skrip, pentas, teknikal, produksi dan pementasan.

Menurut beliau, sebanyak 20 peserta sahaja dipilih untuk menjadi pelajar Aktep berdasarkan satu temu duga khas kepada mereka yang berumur daripada 14 ke 25 tahun.

Pada malam kemuncak pementasan, tiga pelajar Aktep dianugerahkan sebagai pelajar terbaik dan membawa pulang sijil penyertaan, piala serta wang tunai.

Selain Sasha, dua lagi peserta terbaik yang dipilih pada malam tersebut ialah Nor Maisyarah Mazlan dan Muhammad Faiz Azman.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Puyu, lampam paling laris

Posted:

Puyu, lampam paling laris

Puyu, lampam paling laris

Oleh MARZITA ABDULLAH
utusanperlis@utusan.com.my

KANGAR 26 Jan. - Permintaan tinggi sehingga 40 tan sebulan terhadap ikan pekasam dari jenis ikan puyu dan lampam mendorong Perlis untuk menjadikan perusahaan tersebut sebagai salah satu industri penting di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi negeri, Sabry Ahmad berkata, sebuah pusat penetasan ikan puyu dan lampam telah pun diwujudkan di Bukit Manik, Empangan Timah, Padang Besar bagi memenuhi permintaan ikan berkenaan.

"Pusat itu akan beroperasi pada Februari ini dan bakal menghasilkan kira-kira satu juta anak benih ikan untuk diedarkan kepada penternak ikan berkenaan di negeri ini," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, beberapa pengusaha ikan pekasam di negeri ini telah mendapat banyak tawaran untuk memasarkan ikan pekasam di beberapa pasar raya besar di negara ini.

"Namun jumlah permintaan yang terlalu tinggi iaitu 40 tan setiap bulan menyukarkan para pengusaha untuk memenuhi permintaan itu kerana negeri ini hanya mampu mengeluarkan kira-kira 500 kilogram ikan pekasam setiap bulan," katanya.

Ini kerana menurut beliau, bekalan ikan yang tidak konsisten selain masalah cuaca menyebabkan para pengusaha tidak mampu menyediakan jumlah berkenaan.

Menurut Sabry, harga bagi setiap kilogram ikan puyu dan lampam pekasam mencecah sehingga RM40 berbanding ikan puyu dan lampan hidup yang berharga antara RM12 sehingga RM15 sekilogram.

"Ini memberi peluang kepada para pengusaha ikan pekasam di negeri ini untuk menambah pendapatan melalui perusahaan ikan pekasam dan kita juga akan memastikan semua kolam terbiar di negeri ini dibangunkan semula bagi tujuan pemeliharaan ikan berkenaan," katanya.

Pada masa ini lebih 30 pengusaha ikan pekasam di negeri ini yang tertumpu di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Empangan Timah Tasoh.

"Ikan ini mudah diternak dan hasilnya boleh dituai selepas ikan berkenaan berusia empat bulan," katanya.

Beliau memberitahu, sebuah pusat pemprosesan ikan pekasam juga akan dibina di negeri ini bagi memudahkan pemasaran ikan tersebut malah satu jenama yang sesuai akan digunakan untuk semua ikan pekasam yang dikeluarkan dari Perlis.

Menurut Sabry, satu perjanjian persefahaman (MOU) antara pengusaha ikan pekasam dan pemilik pasar raya besar di negara ini akan ditandatangani bagi tujuan pemasaran ikan pekasam itu pada tahun ini.

Katanya, selain pasaran tempatan, pihaknya merancang untuk memasarkan ikan pekasam ke Jepun.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Ambil serius teguran PM - Mukhriz

Posted:

Ambil serius teguran PM - Mukhriz

Ambil serius teguran PM - Mukhriz

SUNGAI PETANI 26 Jan. - Para pemimpin UMNO bahagian perlu mengambil serius teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini yang mahu kumpulan bertelagah di bahagian itu kembali berdamai dalam kadar segera.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, ini kerana persengketaan melibatkan pemimpin UMNO tidak boleh dibiarkan berterusan memandangkan ia mengundang implikasi negatif terhadap parti secara keseluruhannya.

Beliau berkata, para pemimpin UMNO peringkat negeri sebelum ini juga pernah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan mereka terlibat, namun sehingga kini masih belum menunjukkan perubahan positif.

"Kita dapati masih wujud sikap enggan mengalah dan juga iri hati di kalangan pemimpin UMNO sendiri sehingga menyebabkan pertelingkahan terbabit sukar untuk diselesaikan.

"Oleh itu, saya berharap, mesej yang disampaikan oleh Datuk Seri Najib baru-baru ini perlu difahami oleh mereka yang terbabit.

"UMNO negeri telah melakukan yang terbaik bagi menyatukan semua yang berpecah. Namun kini, terpulanglah kepada mereka semua untuk selesaikan masalah ini dan mengambil serius ingatan Perdana Menteri itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan limau mandarin sempena sambutan Tahun Baru Cina anjuran Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani di Jalan Petri, di sini, semalam.

Hadir sama, Naib Ketua Puteri yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani, Shahanim Mohd. Yusof dan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Tajul Urus Md. Zain.

Mukhriz diminta mengulas mengenai teguran Perdana Menteri yang mahukan masalah dalaman UMNO Bahagian Sungai Petani diselesaikan secepat mungkin.

Ketika berucap di hadapan lebih 10,000 penduduk pada majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat di Taman Sri Pinang, Tikam Batu dekat sini, pada 20 Januari lalu, Najib telah menegur secara terbuka dan meminta Penyelaras Parlimen Sungai Petani, Ali Yahya dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, Md. Akhir Shafie serta bekas Pemangku Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Abu Bakar Ahmad supaya tidak terus bertelagah demi kepentingan bersama.

Menurut beliau, para pemimpin terlibat juga perlu segera menyelesaikan kemelut yang timbul serta kembali bersatu bagi menghadapi pilihan raya serta memastikan Barisan Nasional (BN) dapat merampas kembali kerusi Parlimen Sungai Petani.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan