Jumaat, 28 Januari 2011

Utusan Online - Politik

Utusan Online - Politik


Jahiliah bukti Pas seleweng agama demi politik

Posted:

Jahiliah bukti Pas seleweng agama demi politik

Jahiliah bukti Pas seleweng agama demi politik

LABIS 28 Jan. - 'Fatwa' terbaru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang melabelkan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang tidak menyokong Pas sebagai jahiliah satu lagi bukti penyelewengan agama Islam oleh Mursyidul Am parti itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pas sanggup melakukan apa sahaja termasuk memperalatkan agama Islam demi kepentingan politik meskipun mereka sedar 'harga' yang terpaksa dibayar daripada perbuatan tersebut iaitu menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Sambil menyuarakan perasaan tersinggung dengan kenyataan itu, beliau berkata, Nik Abdul Aziz yang diangkat sebagai 'tok guru' oleh penyokong Pas telah menganggap seluruh pengundi di Tenang sebagai golongan yang bodoh kerana jelas perkataan jahil itu bermaksud bodoh.

Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh umat Islam terutamanya pengundi Melayu di Tenang supaya mengambil iktibar daripada tindakan Menteri Besar Kelantan tersebut kerana Pas akan mengeluarkan pelbagai 'fatwa' songsang jika terdesak.

"Ini 'fatwa' yang songsang. Ia satu lagi bukti penyelewengan hukum agama oleh Nik Abdul Aziz dan label jahiliah ini tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang yang dikatakan Mursyidul Am yang dipanggil sebagai 'tok guru'.

"Sebagai seorang Islam, kita taat pada tuntutan agama, apakah seluruh pengundi yang berada di Tenang ini jahil? Kalau ikut tafsiran Nik Abdul Aziz, kita semua ini hidup dalam zaman jahiliahlah. Kita semua ini golongan manusia yang bodoh kerana jahil itu bermaksud bodoh," katanya.

Beliau diminta mengulas 'fatwa' Mursyidul Am Pas itu yang menyifatkan orang ramai yang tidak mengundi Pas sebagai jahiliah pada sidang akhbar baru-baru ini selepas membantu calon parti itu, Normala Sudirman berkempen di Kampung Radong, di sini.

Timbalan Perdana Menteri ditemui selepas merasmikan Program Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan Kamarul Ariffin di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz dipetik sebagai berkata: "Kalau nak kekal jahiliah apa boleh buat. Sekarang ada dua... Ada jahiliah, ada Islam... tolak jahiliah ambil Islam, itu yang betul dunia akhirat."

Ditanya pandangannya sama ada Menteri Besar Kelantan itu wajar mengundurkan diri dengan segera sebelum lebih banyak perpecahan berlaku dalam umat Islam, Muhyiddin berkata, perkara tersebut terserah kepada Nik Abdul Aziz sendiri.

"Kalau dia fikir masih lagi boleh memberi pandangan yang songsang tidak mengapalah. Yang penting kita jangan terpengaruh kerana kenyataan beliau lebih bersifat politik daripada agama," katanya.

Mengenai peluang Barisan Nasional (BN) untuk meraih majoriti 5,000 undi pada Pilihan Raya Kecil DUN Tenang, Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau yakin sasaran tersebut mampu dicapai berdasarkan sokongan rakyat yang semakin meningkat.

Menurutnya, keyakinan itu kini semakin meningkat selepas ramai pemimpin masyarakat di Tenang tampil memberi kenyataan bahawa mereka akan memberi sokongan padu kepada calon BN, Mohd. Azahar Ibrahim pada hari pembuangan undi Ahad ini.

Bagaimanapun, katanya, jentera BN tidak boleh terlalu yakin kerana masih ada masa lagi untuk semua pihak berusaha keras bagi meraih seramai mungkin sokongan rakyat.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

PRK DUN Merlimau 6 Mac jika ada pertandingan

Posted:

PRK DUN Merlimau 6 Mac jika ada pertandingan

PRK DUN Merlimau 6 Mac jika ada pertandingan

LABIS 28 Jan. - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau pada 26 Februari ini manakala hari pengundian pada 6 Mac depan jika ada pertandingan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof ketika mengumumkan perkara itu berkata, SPR telah menerima makluman rasmi daripada Speaker DUN Melaka pada 21 Januari lalu berhubung kekosongan kerusi itu berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan pada 20 Januari lalu akibat serangan jantung.

"Berikutan itu SPR mengadakan mesyuarat khas mengenainya pada hari ini dan menetapkan satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Batu Pahat hari ini.

Abdul Aziz berkata, seramai 10,679 pemilih berdaftar layak membuang undi pada pilihan raya kecil itu dengan sejumlah 10,643 pemilih adalah pengundi biasa manakala 36 pengundi pos.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Mohamad Hidhir berjaya mengekalkan kerusi itu apabila menang dengan majoriti 2,154 undi menewaskan calon Pas, Jasme Tompang.

Berdasarkan daftar undi sehingga 31 Disember lalu, jumlah pengundi di DUN Merlimau ialah 10,767 orang iaitu Melayu sebanyak 64.1 peratus, Cina (20.8 peratus), India (14.4 peratus) dan lain-lain bangsa (0.7 peratus).

Menurut Abdul Aziz, bagi menjalankan pilihan raya kecil itu, SPR akan mengguna pakai Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 dan digabungkan dengan daftar pemilih tambahan suku tahun pertama, suku tahun kedua dan suku ketiga 2010 yang dikemas kini pada 20 Januari lalu.

Beliau memberitahu, SPR akan menggunakan Dewan Platinum Politeknik Merlimau, Melaka sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

"Sebanyak tujuh buah sekolah akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 21 saluran tempat mengundi. Seramai 248 orang petugas pilihan raya dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya ini dengan anggaran perbelanjaan RM830,000," katanya.

Menurutnya, SPR turut melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan tiga orang penolong bagi menjalankan pilihan raya berkenaan.

Bagi tujuan pemantauan kempen, SPR juga bersetuju menubuhkan tiga Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya yang diketuai oleh seorang pegawai bagi setiap pasukan.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan