Ahad, 30 Januari 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Gobalakrishnan kecewa

Posted: 29 Jan 2011 12:33 PM PST

LABIS: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) semakin menepati sebutan orang sebagai 'Parti Kian Runtuh' apabila seorang lagi pengasas parti itu, N Gobalakrishan, 50, mengumumkan keluar dari PKR dan menjadi Ahli Parlimen Bebas, pagi semalam.

"Jelas PKR kini sebagaimana biasa orang sebut, Parti Kian Runtuh. Pastinya kenyataan Gobalakrishnan adalah kecewa dengan (Penasihat PKR, Datuk Seri) Anwar (Ibrahim).


"Dia rasa tertipu... masyarakat India sebenarnya antara lain tidak diberi apa-apa tempat dalam pimpinan PKR dan mungkin janji pernah dibuat Anwar di peringkat awal yang gah hebat, hari ini jelas terbukti janji yang tidak dapat ditunaikan.

"Jadi, ini hakikat bahawa kepercayaan pimpinan dan gambaran masyarakat terhadap PKR semakin hari semakin menurun," katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menunaikan solat Zuhur, beramah mesra dengan rakyat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Masjid Jamek Pekan Air Panas dekat sini, semalam. Hadir sama isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.


Muhyiddin berkata beliau berharap peletakan jawatan Ahli Parlimen Padang Serai itu menyampaikan mesej kepada Pas yang bersekongkol dengan PKR dan DAP, seterusnya memberi impak positif kepada BN pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

"Sebab itu saya percaya ini satu petanda tidak baik bagi mereka dan seharusnya menjadi iktibar kepada mana- mana pihak yang masih percaya Anwar kononnya penyelamat bagi negara kita," katanya.


Muhyiddin berkata, Anwar menggunakan slogan 'Selamatkan Malaysia' tetapi sebenarnya tiada apa yang mahu diselamatkan kecuali daripada Anwar sendiri.

Sementara itu, Muhyiddin mengumumkan Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebagai Pengarah Pilihan Raya BN bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau.


"Selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi DUN Merlimau pada 26 Februari diikuti pembuangan undi pada 6 Mac, saya mendapat pengesahan daripada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, (Datuk Seri Najib Razak) untuk melantik Mohd Ali.


"Biasalah, Pengerusi BN negeri dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya.


"Saya yakin beliau cukup berpengalaman atas kedudukan sebagai Ketua Menteri dan diharapkan jentera BN di sana dapat digerakkan."

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Berderau darah

Posted: 29 Jan 2011 12:32 PM PST

BATU PAHAT: "Berderau darah saya apabila melihat sekujur tubuh bayi dengan kesan darah di dalam longkang yang belum siap sedalam hampir setengah meter.

"Apabila menghampiri longkang berkenaan, saya dapati bayi lelaki itu dalam keadaan bogel dan mengereng, lengkap dengan tali pusat dan uri yang belum dipotong," kata pekerja kontrak, Hamid Marsuki, 43 yang menemui mayat itu dalam longkang yang masih dalam pembinaan di sebuah rumah di Jalan Mekar 5, Taman Mekar, Ayer Hitam, dekat sini, semalam.


Menurut Hamid, dia merasakan ibu bapa bayi berkenaan mungkin membuang bayi itu pada lewat malam atau awal pagi semalam kerana pada jam 8 pagi hingga 10 pagi kelmarin, mereka masih menjalankan tugas membina longkang dan tembok rumah di kawasan itu.

Mayat bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan itu disyaki dibuang tanpa belas kasihan apabila ibu bapa bayi tidak membalut kain pada bayi itu dan meletakkannya ke dalam longkang yang mengalirkan air.


Keadaan itu menyebabkan bayi berkenaan maut dipercayai akibat kesejukan atau lemas akibat air di dalam longkang.


Hamid berkata, dia melihat mayat bayi itu pada kira-kira jam 8.10 pagi ketika ingin menyambung semula tugas pembinaan longkang di kawasan rumah berkenaan.

Menurutnya, sejurus melihat jenazah berkenaan dia terus menghubungi balai polis berhampiran sebelum sepasukan polis menjalankan siasatan dan mengambil mayat bayi untuk siasatan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris berkata, sepasukan polis dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.

Katanya, mayat bayi lelaki cukup sifat itu ditemui dengan tali pusat serta uri belum dipotong dan dihantar ke Hospital Batu Pahat untuk bedah siasat.


Menurutnya, berdasarkan keadaan mayat, pihaknya percaya bayi itu dibuang dalam tempoh 24 jam lalu dan tiada kecederaan lain ditemui padanya.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan cuba membuang bayi, di mana jika sabit kesalahan seseorang itu boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


"Berikutan itu, sesiapa yang tahu atau melihat kejadian ini diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan