Khamis, 27 Januari 2011

Utusan Online - Selatan

Utusan Online - Selatan


Pengguna bas tidak peduli larangan

Posted:

Pengguna bas tidak peduli larangan

Pengguna bas tidak peduli larangan

Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID
utusanmelaka@utusan.com.my


ORANG ramai menunggu bas di kawasan larangan di Jalan Syed Abdul Aziz, Banda Hilir berhampiran pusat beli belah Mahkota Parade dan Hotel Mahkota Melaka, Melaka.


MELAKA 26 Jan. - Walaupun sudah tertera papan tanda dilarang menunggu, masih ramai di kalangan pengguna tetap menunggu bas di bahu Jalan Syed Abdul Aziz, Banda Hilir, berhampiran pusat beli-belah Mahkota Parade dan Hotel Mahkota Melaka di sini sejak lebih tiga tahun lalu.

Tanpa menghiraukan keselamatan diri dan pengguna lain, bahu jalan itu terus dijadikan tempat menunggu bas secara haram oleh segelintir pekerja atau pengunjung di kawasan tumpuan awam itu.

Bagi pemandu bas pula, mereka mungkin terpaksa berhenti di situ disebabkan desakan penumpang walaupun menyedari ia adalah kawasan larangan berhenti.

Tinjuan Utusan Malaysia di sini hari ini mendapati, kawasan kedua-dua bahu jalan empat lorong itu dipenuhi orang ramai yang sedang menunggu bas terutamanya pada waktu tengah hari dan petang.

Salah seorang daripada mereka, Noorul Alyya Daud, 19, ketika ditemui berkata, dia menunggu bas di situ sejak enam bulan lalu untuk ke tempat kerjanya di Mahkota Parade.

"Lebih mudah menunggu bas di sini. Tak perlu jalan jauh ke hadapan pusat beli-belah untuk mendapatkan bas.

"Saya tahu ia salah, tetapi saya tengok ramai tunggu bas di sini, jadi saya pun ikutlah mereka," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Seorang pekerja pembersihan hotel, A. Kalar, 35, berkata, dia tidak kisah terpaksa berpanas dan berhujan di bahu jalan asalkan mudah mendapatkan bas untuk pulang ke rumahnya di Klebang.

Menurutnya, tidak guna menunggu di perhentian bas yang selesa tetapi terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bas.

"Lagipun, selama tiga tahun menaiki dan menunggu bas di sini, pemandu bas tidak pernah mengeluh. Cuma sesekali sahaja perbuatan itu menyebabkan lalu lintas menjadi perlahan kerana bas berhenti di tempat larangan.

"Pernah saya dengar ada juga ura-ura orang ramai minta bina perhentian bas di sini tetapi tidak diluluskan. Ini mungkin disebabkan jalan terlalu sibuk atau terlalu hampir dengan lampu isyarat," katanya.

Sementara itu, salah seorang pemandu bas henti-henti berkata, dia tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa menurunkan dan mengambil penumpang di situ kerana permintaan yang tinggi.

"Serba salah dibuatnya. Hendak berhenti salah, kalau tak berhenti kasihan mereka yang bercangkung lama dalam cuaca panas.

"Saya harap kerajaan dapat mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah ini untuk kebaikan semua pihak," katanya yang enggan dikenali.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Lembu berkeliaran ancam nyawa pengguna jalan raya

Posted:

Lembu berkeliaran ancam nyawa pengguna jalan raya

Lembu berkeliaran ancam nyawa pengguna jalan raya


Seekor lembu yang mati bergelempangan selepas merempuh sebuah kenderaan milik Ponnari Daud di Jalan Palong 4, baru-baru ini.


JEMPOL 26 Jan. - Pelbagai usaha dilakukan kerajaan, khususnya pihak berkuasa tempatan dalam menangani fenomena haiwan ternakan terbiar termasuk menempatkan papan tanda amaran supaya mengawal ternakan masing-masing.

Malangnya, usaha itu tidak langsung memberi kesan kepada pemiliknya, sebaliknya haiwan ternakan terus berkeliaran tanpa pengawasan sehingga mengakibatkan tragedi, kemusnahan landskap serta kawasan rekreasi dan riadah.

Kesimpulannya, bukan haiwan ternakan seperti lembu, kerbau mahupun kambing yang perlu 'digari' mahupun dihadapkan ke mahkamah atau diheret bagaikan penjenayah, sebaliknya pemilik haiwan berkenaan.

Maka, pihak berkuasa tempatan akan memburu pemilik haiwan ternakan terbiar ini untuk diambil tindakan undang-undang melalui risikan dan pemantauan yang berterusan.

Sumber Majlis Daerah Jempol (MDJL) memberitahu, papan tanda yang tertera amaran yang dipasang di beberapa sekitar daerah ini sudah cukup menunjukkan betapa seriusnya mereka menangani isu haiwan ternakan terbiar berkenaan.

"Kita jelaskan bahawa denda RM500 bagi seekor lembu dan RM300 bagi seekor kambing yang ditangkap pihak penguat kuasa kepada penternak sebagai amaran supaya ternakan mereka hendaklah dijaga dan tidak dibiarkan bebas berkeliaran," katanya di sini hari ini.

Katanya, tidak timbul isu kurang pemantauan kerana ia sentiasa dilakukan pihak berkuasa dan apa yang jelas, sikap tidak ambil peduli penternak terhadap haiwan mereka menyebabkan papan tanda amaran itu sekadar menjadi bahan tontonan.

Dalam kejadian terbaru, seorang peneroka terpaksa menanggung kerugian apabila kenderaan jenis Nissan Fontana dipandunya remuk selepas merempuh seekor daripada sekumpulan lembu berkeliaran di laluan Batu Pahat menuju ke Palong.

Ponnari Daud, 56, dari Felda Palong 9 dekat sini memberitahu, dia mengalami detik mencemaskan itu apabila seekor lembu tiba-tiba muncul dan merempuh kenderaannya.

"Kejadian itu berlaku pada pukul 3.12 pagi semasa saya bersama isteri dan menantu dalam perjalanan pulang dari Batu Pahat menuju ke Palong.

"Ketika melalui jalan utama di kawasan Palong 4, 5 dan 6, tiba-tiba saya melihat sekumpulan lembu kira-kira 40 ekor berlari keluar ke arah jalan," katanya.

Tambahnya, sebaik melihat haiwan berkenaan, dia sempat memperlahankan kenderaan.

"Terdapat seekor lembu yang seperti hilang arah dan terus merempuh kereta saya.

"Tengoklah, kereta saya ini remuk, tangki air kemek, enjin rosak dan tidak mampu bergerak. Lembu itu pula mati sebab rempuhan kuat ini," katanya.

Dia yang nyata kecewa dengan sikap pemilik haiwan ternakan itu mahu pihak berkuasa segera bertindak, sama ada menangkap haiwan itu pada waktu awal pagi atau meletakkan papan tanda amaran yang lebih jelas terhadap kewujudan ternakan berkenaan.

Sementara itu, Khairul Anuar Mahat, 33, berharap pihak terbabit segera mengambil tindakan ke atas pemilik haiwan.

"Papan tanda amaran sahaja tidak memadai dan sudah sampai masanya kita tidak boleh kasihan lagi kepada pemilik haiwan berkeliaran ini.

"Ia bukan sahaja merosakkan tanaman, landskap tetapi turut membahayakan keselamatan pengguna terutama pada waktu malam dan awal pagi.

"Kita tidak mahu orang lain sengsara dan maut akibat haiwan ternakan ini, sedangkan pemiliknya boleh tidur lena di rumah tanpa rasa bersalah," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

13 warga China, Thailand ditahan

Posted:

13 warga China, Thailand ditahan

13 warga China, Thailand ditahan

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my


Pegawai Penguat Kuasa Imigresen menahan sebahagian daripada 13 wanita warga China dan Thailand selepas mengadakan serbuan di tiga pusat urut di pekan Bahau, Negeri Sembilan, semalam.


JEMPOL 26 Jan. - Pas lawatan kerja sementara palsu boleh diperoleh dengan mudah di negeri ini apabila warga asing cuma perlu membayar sekitar RM1,930 seorang kepada ejen.

Kegiatan itu terbongkar apabila Jabatan Imigresen negeri berjaya menahan 13 orang wanita warga asing dari negara China dan Thailand yang menggunakan pas lawatan kerja sementara palsu selepas serbuan dilakukan di tiga pusat urut di pekan Bahau di sini malam tadi.

Hasil siasatan anggota penguat kuasa jabatan berkenaan, resit bayaran kepada Imigresen juga disyaki palsu yang tertera jumlah bayaran sebanyak RM13,510 bagi bayaran levi, visa dan pemprosesan bagi mendapatkan pas lawatan kerja sementara palsu.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen negeri, Ahmad Shakirin Zainal Abidin berkata, pihaknya percaya kesemua mereka memasuki negara ini dengan pasport yang sah dan diberikan pas lawatan sosial.

"Ketika berada di negara ini, mereka telah memperoleh satu lagi pas iaitu pas lawatan kerja sementara dan bekerja secara tidak sah di pusat urut berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Seremban malam tadi.

Tambahnya, kesemua wanita yang ditahan itu berusia antara 20 hingga 35 tahun, di mana 11 orang merupakan warga negara China dan dua lagi berasal dari Thailand.

"Siasatan akan dilakukan ke atas mereka dan kita akan mengenalpasti bagaimana mereka memperoleh pas lawatan kerja sementara disyaki palsu itu termasuklah bayaran yang dibuat kepada ejen.

"Mereka akan ditahan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng sehingga siasatan selesai dijalankan dan jika sabit kesalahan, mereka boleh diusir dari negara ini," katanya.

Kesemua wanita warga asing itu disiasat mengikut Seksyen 56 (1)(l) Akta Imigresen 1959 iaitu mempunyai dalam pemilikan apa-apa permit masuk, pas, dokumen atau perakuan yang palsu atau dipinda.

Sementara itu, Ahmad Shakirin juga memberitahu, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 54 tahun dipercayai penjaga wanita warga asing itu dan dia disiasat mengikut Seksyen 55 (B)(1) akta yang sama iaitu mengambil pekerja asing tanpa permit.

Operasi yang bermula pukul 9 malam itu disertai tiga pegawai dan 14 anggota berakhir sekitar 10.30 malam tadi sebelum kesemua yang ditahan dibawa ke Seremban untuk disoal siasat.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan