Jumaat, 28 Januari 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


VIP nikah tanpa rekod

Posted: 27 Jan 2011 11:19 AM PST

KUALA LUMPUR: Bagi menutup pernikahan kedua mereka daripada diketahui isteri pertama, segelintir VIP dikesan menggunakan sindiket nikah tidak bertauliah yang menyediakan pakej lengkap dengan sijil nikah kononnya dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Sindiket berkenaan yang dipercayai bergerak aktif sejak tahun lalu cuma mengenakan bayaran RM3,000 dan ia dikatakan mendapat sambutan hangat di kalangan orang kenamaan yang ingin berpoligami secara diam-diam berikutan sijil nikah palsu yang dikeluarkan itu. Menurut sumber, sindiket itu bijak memancing pasangan supaya menggunakan khidmat mereka dengan meyakinkan pernikahan diuruskan bukan saja sah dari segi Islam, malah turut diperakui Jawi dengan sijil perkahwinan dan kad nikah dikeluarkan sebaik proses ijab kabul selesai.


Sumber itu berkata, majlis ringkas ijab kabul kebiasaannya dilakukan di hotel sekitar ibu negara dan pengantin perempuan selalunya membawa saudara lelaki terdekat mereka sebagai wali.

"Khidmat disediakan sindiket itu mendapat sambutan sebab pengantin lelaki tidak perlu bersusah payah melalui prosedur berpoligami yang agak ketat di pejabat agama atau membelanjakan kos yang tinggi untuk bernikah di negara jiran.


"Bagaimanapun, penipuan sindiket itu terbongkar apabila perkahwinan pasangan yang menggunakan khidmat sindiket itu tidak kekal lama dan terpaksa bercerai," katanya. Menurutnya, selepas bercerai, isteri kedua yang dijatuhkan talak pergi ke pejabat Jawi untuk mengesahkan perceraian dan ketika itulah masalah mula timbul apabila dimaklumkan perkahwinannya tiada dalam rekod atau tidak pernah didaftarkan di Jawi.


"Bila tiada dalam rekod pendaftaran perkahwinan, macam mana nak diuruskan atau didaftarkan perkahwinan? Pada masa inilah bekas isteri terbabit berdepan masalah masalah besar kerana dia tidak berhak membuat tuntutan nafkah dan sebagainya," kata sumber itu.

Beliau yang menguruskan pusat aduan rumah tangga dan menyediakan khidmat kaunseling berkata, setakat ini pihaknya menerima aduan daripada lapan wanita yang menjadi mangsa sindiket berkenaan.


"Sekali imbas, memang sijil dan kad nikah dikeluarkan sindiket itu seperti tulen, tapi selepas kami menyelidikinya betul-betul didapati tandatangan yang tertera di atas dokumen berkenaan bukan tandatangan individu yang mempunyai kuasa, sebaliknya tidak diketahui ia tandatangan siapa," katanya.

Berikutan itu, beliau meminta pihak berkuasa kuasa khususnya Jawi melakukan siasatan kerana ada kemungkinan wujud pembabitan 'orang dalam' yang mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan hingga mereka mampu mengeluarkan sijil dan kad akuan nikah yang nampak seperti tulen.


"Tambahan pula, mengikut aduan lapan wanita yang menjadi mangsa sindiket itu mereka berurusan dengan individu yang sama dan lelaki itu turut mendakwa dia bekerja di Jawi," kata sumber berkenaan. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jawi, Tuan Asmawi Tuan Umar berkata, orang ramai seharusnya sedar tiada jalan pintas untuk melakukan proses pernikahan, apatah lagi berpoligami, sebaliknya ia perlu melalui prosedur ditetapkan. "Tak ada 'pintu belakang' kepada sesiapapun termasuk golongan VIP untuk mempercepatkan proses poligami dan mahu mendapatkan kad serta sijil nikah. "Jika ada pihak mendakwa mampu menyediakan cara mudah tanpa mengikuti prosedur, bermakna ia satu penipuan kerana kad akuan nikah tulen hanya boleh dikeluarkan Jawi dan kad itu mempunyai ciri-ciri keselamatan tertentu," katanya.


Tuan Asmawi berkata, pihaknya memandang serius masalah itu dan akan menyiasat kes seumpamanya sebelum tindakan diambil.


"Kita tahu dan kenal semua pendaftar nikah yang ada. Malah, ada pendaftar nikah yang kita terpaksa tamatkan perkhidmatan disebabkan faktor disiplin.


"Sebagai contoh, ada pendaftar nikah dibuang disebabkan terlalu lama memerap pernikahan dilangsungkan mereka sehingga mempelai menanggung kelewatan pengeluaran sijil dan kad nikah terlalu lama," katanya.


Justeru, katanya, pihak yang mahu melangsungkan poligami dinasihatkan mengikut prosedur.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Air panas ragut nyawa bayi

Posted: 27 Jan 2011 11:13 AM PST

KANGAR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun 11 bulan dari Kampung Sungai Bugis, Simpang Empat, dekat sini yang melecur teruk daripada perut hingga lutut selepas terkena air panas tiga hari lalu, disahkan meninggal dunia, awal pagi semalam.

Mangsa, Noraini Syazwani Abdullah, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan intensif di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar kira-kira jam 1.20 pagi selepas bertarung nyawa akibat melecur teruk.


Ketua Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Nashir Ya, ketika mengesahkan kejadian berkenaan berkata, pihaknya menolak sebarang unsur jenayah berhubung insiden air panas itu.

Beliau berkata, bagi kes Noraini Syazwani, kejadian berlaku di kediaman keluarga kanak-kanak terbabit ketika ibu mangsa, 19, yang kini mengandung tujuh bulan dikatakan menuang air panas yang baru dimasak ke dalam balang.


"Syazwani yang ketika kejadian sedang bermain tiba-tiba menerpa ke arah ibunya, sebelum air panas tiba-tiba tertumpah secara tidak sengaja, lalu tersimbah ke badannya.


"Mangsa yang melecur teruk dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, sebelum dipindahkan ke HSB beberapa jam kemudian. Dia bagaimanapun disahkan meninggal dunia awal pagi tadi (semalam) selepas lebih tiga hari dirawat," katanya di sini, semalam.

Nashir berkata, pihaknya menjalankan siasatan berhubung kes berkenaan berdasarkan laporan diterima dan mengesahkan kematian mangsa tidak membabitkan sebarang unsur jenayah.


"Polis percaya kejadian pada petang 24 Januari lalu itu berlaku atas dasar kemalangan serta kecuaian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Dalam kejadian berasingan pada hari sama Isnin lalu, seorang kanak-kanak berusia dua tahun parah terkena air panas ketika berada di pusat jagaan kanak-kanak di Repoh, Kuala Perlis, dekat sini dan sedang menerima rawatan lanjut di HTF. Nashir berkata, mangsa, Anis Syafiah Shukri, dilaporkan cedera pada paha akibat terkena air panas pada petang Rabu lalu.


"Kejadian itu disedari ibu bapa mangsa selepas dimaklumkan penjaga pusat asuhan terbabit ketika mengambil anak mereka di pusat jagaan berkenaan kira-kira jam 6 petang.


Berdasarkan maklumat awal, katanya, kejadian berlaku ketika mangsa bersama 10 kanak-kanak lain bersiap sedia untuk mandi di bahagian dapur pusat jagaan berkenaan, sebelum mangsa terlanggar meja dan terjatuh.


"Ketika itu, besen berisi air panas yang digunakan untuk memanaskan susu terbalik dan tertumpah ke atas paha kanak-kanak itu, menyebabkan perut dan tangannya melecur. Dia kemudian dibawa ke klinik kesihatan di sini, sebelum dirujuk ke HTF.


"Polis menerima laporan daripada bapa mangsa, Shukri Shuib, 36, mendakwa anaknya didera. Bagaimanapun siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan mengesahkan tiada sebarang unsur penderaan dan klasifikasikan sebagai kecuaian serta kemalangan," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan