Utusan Online - Pahang |
Posted: Mengenali kehidupan rusaOleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
KUANTAN 28 Jan. - Ternakan rusa kini mendapat perhatian berikutan kaedah penjagaannya yang mudah dan permintaan terhadap daging haiwan itu sentiasa mendapat sambutan menggalakkan. Bagaimanapun pemilik syarikat De Paradise Sdn. Bhd., Muhammad Akhbar Chiraghdin, 50, memilih menternak haiwan itu bagi mendapatkan tanduk yang mengandungi pelbagai khasiat. Ketika ditemui Utusan Malaysia di ladang ternakannya di Sungai Jin, Sungai Lembing dekat sini baru-baru ini beliau berkata, keputusan memilih ternakan itu kerana ingin mendapatkan tanduk haiwan tersebut memandangkan belum ada pengusaha yang berbuat demikian. Tambahnya, langkah tersebut diambil berikutan beberapa kajian dan hasil pembacaan jurnal perubatan di Internet mendapati tanduk tersebut mempunyai pelbagai khasiat. "Justeru saya telah mengambil keputusan menternak pada skala besar iaitu sebanyak 2,000 rusa pelbagai spesies di kawasan tanah seluas 160 hektar," katanya. Selain itu, katanya, bukan sahaja tanduk yang ingin diambil malah mahu ladang tersebut dijadikan salah satu produk pelancongan supaya pengunjung mengenali kehidupan haiwan itu dengan lebih dekat. Oleh itu beliau bercadang membuka cabang perniagaan baru berkonsepkan ekopelancongan yang mana pengunjung berpeluang bermain dengan haiwan jinak itu. Katanya, beberapa langkah diambil bagi merealisasikan harapannya itu dengan membina beberapa calet penginapan, dewan persidangan dan kawasan tertentu yang boleh dijadikan sebagai pusat latihan. Selain rusa, beberapa haiwan lain seperti arnab turut diternak di situ supaya pengunjung merasai suasana sebenar kehidupan di ladang. "Kita bercadang membuka tapak permainan paint ball yang mana mereka boleh bermain sesama sendiri atau berburu dengan rusa sebenar menerusi peralatan permainan itu," katanya sambil menjangka rancangan tersebut dapat dilaksanakan pada Mac ini. Jelasnya, bagi individu yang berminat untuk memburu rusa, satu tapak khas seluas empat hektar disediakan dengan kawasan sekitarnya berpagar. "Mereka yang memiliki lesen senjata api sahaja dibenarkan berburu di kawasan itu. Sekiranya gagal membawa pulang rusa terbabit, kita berikan juga haiwan itu kerana mereka berusaha memburu tetapi tidak berjaya," katanya. Beliau memberitahu, selain pelancongan, De Paradise juga boleh dijadikan sebagai tempat persidangan yang berkonsepkan mesra alam sekitar. Tambahnya, selepas bersidang, mereka boleh menikmati keindahan alam sekitar di ladang ini dan bermain dengan rusa jinak yang ditempatkan di kandang khas disediakan. "Apabila bermain dengan rusa serta haiwan lain di ladang ini, ia dapat mengurangkan tekanan kepada mereka yang mengikuti seminar di sini," jelasnya. Dalam pada itu beliau berkata, tempat tersebut juga sesuai dijadikan sebagai pusat latihan bagi mereka yang ingin mempelajari cara-cara ternakan rusa. Tambahnya, setakat ini terdapat beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) dan agensi kerajaan mengadakan latihan mereka di situ kerana jarang ditemui pengusaha menternak rusa pada skala besar. "Setakat ini lapan pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) memilih ladang itu kerana mahu mengetahui kaedah dan kehidupan haiwan itu lebih dekat," katanya. Jelasnya, segala kemudahan disediakan termasuk asrama supaya mereka mengikuti latihan sepanjang berada di situ. | ||
Menternak rusa seronok, tidak sukar Posted: Menternak rusa seronok, tidak sukar
KUANTAN 28 Jan. - Seramai lapan pelajar dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) gembira kerana berpeluang mempelajari ilmu perladangan khususnya dalam ternakan rusa di ladang De Paradise di Sungai Jin, Sungai Lembing di sini. Mereka yang mengikuti program Diploma Pengurusan Perladangan (DPP), UiTM Jengka dan Arau, Perlis memilih ladang rusa sebagai tempat latihan berbanding ternakan haiwan lain kerana jarang menemui tempat yang menternak haiwan tersebut. Antara pelajar tersebut ialah Mohd. Faizullah Mohamad, 19; Jamal Arif Abdul Malik, 19; Mohd. Saiful Baharuddin, 19; Mohd. Asri Syafik, 19; Nurul Ain Fatihah Ariffin, 20; Siti Mas Zana Teh, 22; Nor Sharina Mohd. Nor, 22; dan Nor Famiza Ishak, 21. Mohd. Asri berkata, dia memilih menjalani latihan di situ kerana jarang menemui ternakan rusa pada skala besar di negara ini. Tambahnya, kebanyakan ternakan yang dilakukan oleh pengusaha tempatan terdiri daripada lembu dan kambing sahaja. "Apabila mengetahui ternakan haiwan itu di sini saya tidak teragak-agak memohonnya kerana ingin mengetahui lebih lanjut cara penjagaan dan mengenali kehidupan rusa dengan lebih dekat," katanya yang mengikuti pengajian DPP di UiTM cawangan Arau, Perlis. Katanya, sebelum ini dia hanya mendengar cerita mengenai ternakan rusa itu tetapi kurang mengetahui lebih lanjut bagaimana cara penjagaannya. Bagi Mohd. Faizullah pula, peluang diterima mengikuti latihan di situ merupakan satu cara terbaik baginya mengetahui selok-belok pengurusan ladang khususnya berkaitan ternakan. Katanya, apa yang lebih mengejutkan baginya ialah selama ini dia hanya mempelajari kaedah ternakan secara teori tetapi apabila mengikuti latihan cara penjagaan perlu mempunyai kaedah tertentu. "Pada mulanya memang sukar kerana saya bersama rakan-rakan lain bergelumang dengan lumpur dan memberi makan kepada rusa. "Tak sangka pula penjagaannya mudah dan hanya memastikan haiwan itu diberi makanan secukupnya," jelasnya. Bagi Siti Mas pula, dia ingin mencuba bidang baru memandangkan ramai golongan Hawa lebih suka bekerja di pejabat berbanding di ladang ternakan. Katanya, sejak mengikuti latihan di situ hatinya tertarik untuk menjadi seorang penternak berjaya suatu hari nanti. "Pada mulanya agak perit kerana banyak perkara yang perlu dipelajari tetapi dengan tunjuk ajar pengusaha ladang ini ia menjadi satu keseronokan dalam pembelajaran saya," ujarnya. Pendapat itu turut disokong rakannya, Nurul Ain yang menyifatkan latihan di sini sesuatu yang menyeronokkan. Walaupun bergelumang dengan rumput yang menjadi makanan haiwan itu, hatinya tidak mudah putus asa untuk terus mempelajari kehidupan rusa dengan lebih dekat. Katanya, adat mempelajari ilmu baru, sudah pasti pelbagai pengalaman ditempuhi sepanjang mengikuti latihan di situ. "Pada mulanya takut juga mendekati rusa tersebut tetapi apabila diajar oleh pengusaha bagaimana cara menjinak haiwan itu dan ia membawa keseronokan dalam pembelajaran saya," katanya. | ||
Pamer artifak keluarga Tun Razak Posted: Pamer artifak keluarga Tun RazakOleh HARIS FADILAH AHMAD
KUALA LIPIS 28 Jan. - Rumah bekas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang dijadikan Muzium Warisan Sejarah di sini yang mula beroperasi hari ini merupakan lokasi baru pelancongan menerusi program 'Jelajah Sehari' di bandar ini. Setiausaha Majlis Daerah Lipis, Mohd. Pauzi Abu Hussaini berkata, pelawat berpeluang mengunjungi muzium itu yang mempamerkan pelbagai artifak keluarga bekas Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abd. Razak Hussein. Beliau berkata, rumah yang pernah menjadi tempat kelahiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu menempatkan 104 jenis artifak kolonial British, Kesultanan Melayu Pahang dan tokoh politik tempatan. Selain itu katanya, artifak lain yang turut disediakan ialah pejuang kemerdekaan, pentadbir kerajaan, penggiat seni, makanan dan pakaian tradisional Melayu serta sejarah perlombongan emas di daerah ini. "Rumah yang dibina pada 1920 itu telah diubah suai oleh Majlis Daerah Lipis (MDL) menerusi Projek Konserversi dan Arkeologi, Jabatan Warisan Negara dengan peruntukan RM640,000 telah siap sepenuhnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Menurut beliau, muzium itu yang terletak di Bukit Bius di sini antara tempat pemuliharaan pelbagai artifak sejarah dan menjadi tulang belakang pembangunan sektor pelancongan di Lipis. Jelasnya, pembangunan itu selaras dengan program 'Jelajah Sehari' ke bandar Kuala Lipis yang dilancarkan oleh kerajaan negeri baru-baru ini sekali gus menjadi tarikan pelawat domestik dan pelancong asing ke daerah itu. Sehubungan itu katanya, lokasi berkenaan juga bakal menjadi tarikan pelajar dan penuntut pusat pengajian tinggi awam dan swasta melihat secara dekat khazanah tersebut selain kajian serta pendokumentasian tertentu. Tambahnya, MDL akan menyediakan peti cadangan dan borang untuk diisi oleh para pelawat bagi mendapatkan maklum balas dalam meningkatkan mutu pengurusan muzium berkenaan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
saya brminat untuk membela rusa tapi bagaimane cara nya?saya mempnyai tanah ...
BalasPadam