Ahad, 30 Januari 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


UiTM mahu buka kampus keempat Pulau Pinang

Posted: 30 Jan 2011 12:54 AM PST

Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

BALIK PULAU, 30 Jan — Universiti Teknologi Mara (UiTM) merancang membuka satu lagi kampus di Pulau Pinang dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

"Perkara ini masih dalam perancangan dan kita sedang mencari satu tempat yang sesuai untuk membina kampus baru itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan UiTM Pulau Pinang Kampus Balik Pulau di sini, hari ini.

UiTM Pulau Pinang kini mempunyai kampus di Permatang Pauh dan satu lagi kampus akan dibuka di Bertam, Seberang Perai.

Beliau berkata cadangan pembinaan kampus baru itu selaras dengan usaha kerajaan untuk menambah bilangan tenaga kerja mahir di negara ini.

"Kita perlu menambah tenaga kerja mahir kerana antara prasyarat yang diminta oleh pelabur yang ingin melabur di negara ini ialah kita perlu ada tenaga kerja mahir dalam bidang tertentu," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM Prof Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata UiTM Pulau Pinang Kampus Balik Pulau, yang beroperasi di kampus sementara, menawarkan kursus peringkat pradiploma.

"UiTM Balik Pulau mula beroperasi pada Julai lepas dengan pengambilan pertama pelajar seramai kira-kira 300 orang dan pengambilan kedua melibatkan kira-kira 300 pelajar," katanya.

Katanya penubuhan kampus Balik Pulau itu memberi peluang kepada pelajar miskin dari luar bandar yang mempunyai potensi tinggi dalam bidang akademik melanjutkan pengajian.

Selain itu, katanya UiTM merancang memperkenalkan 200 lagi program baru dalam pelbagai bidang pengkhususan pada masa akan datang. — Bernama

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Husni: Indonesia minat beli elektrik dari Bakun

Posted: 30 Jan 2011 12:43 AM PST

IPOH, 30 Jan — Indonesia berminat untuk mendapatkan bekalan tenaga elektrik dari Empangan Hidroelektrik Bakun apabila ia siap dan beroperasi kelak, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata perkara itu dibangkitkan oleh pemimpin negara berkenaan semasa lawatannya ke Indonesia baru-baru ini.

"Mereka menyuarakan hasrat untuk mendapatkan tenaga elektrik dari Empangan Bakun untuk disalurkan ke wilayah Kalimantan yang terletak bersebelahan dengan Sarawak.

"Ini kerana mereka melihat empangan itu berpotensi dan mempunyai kelebihan untuk membekalkan tenaga elektrik ke kawasan lain di Borneo yang menempatkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Kalimantan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan sempena sambutan Tahun Baru Cina di sini hari ini.

Empangan Bakun yang dijadual siap tahun depan mampu menghasilkan 2,400 megawatt (MW) tenaga elektrik.

Sementara itu, Ahmad Husni (gambar) berkata Kementerian Kewangan dan Kerajaan Negeri Sarawak masih meneruskan perbincangan mengenai isu penjualan Empangan Hidroelektrik Bakun.

"Perkara ini masih di peringkat rundingan dan terdapat beberapa perkara yang perlu diteliti... di peringkat Kerajaan Persekutuan kita mahu perkara ini selesai dengan cepat bagi membolehkan pembangunan dibuat secara berterusan di Sabah dan Sarawak," katanya.

Tahun lepas, Kerajaan Negeri Sarawak menyatakan hasrat untuk membeli empangan berkenaan pada harga RM6 bilion dan bersedia meningkatkan bidaan kepada RM7 bilion bergantung kepada kaedah pembayaran.

Kos keseluruhan empangan itu adalah RM7.3 bilion tetapi ia telah melebihi kadar itu berikutan beberapa masalah yang berlaku ketika pembinaannya. — Bernama

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan