Sabtu, 29 Januari 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Patung Nefertiti jadi rebutan

Posted:

Patung Nefertiti jadi rebutan

Patung Nefertiti jadi rebutan

Oleh KU MOHD. RIZDUAN KU ABDUL RAHMAN
kurizduan.kurahman@kosmo.com.my



BARU-BARU ini, Majlis Agung Antikuiti Mesir (SCA) menggesa Jerman memulangkan kepala patung Permaisuri Nefertiti kepada majlis itu. Nefertiti dianggap begitu unik disebabkan wajah jelitanya selain kontroversi selepas kematiannya.

Individu yang bersungguh-sungguh mahu patung ratu berusia 3,300 tahun itu dibawa pulang ialah Ketua Jabatan Antikuiti Mesir, Dr. Zahi Hawass yang menjalankan kempen mengembalikan artifak purba negara itu sejak lapan tahun lalu.

Kempen beliau itu dilihat agak sukar kerana pada tahun 2007, pihak berkuasa Jerman enggan meminjamkan patung Nefertiti semasa Mesir menganjurkan satu pameran dengan alasan ia mudah pecah jika dipindahkan.

Nama Nefertiti jarang diperkatakan dalam riwayat tamadun Mesir purba, tidak seperti Cleopatra yang sehingga kini dianggap wanita paling bahaya dalam sejarah dan penggoda yang telah memikat lelaki paling berkuasa di dunia, iaitu Julius Caesar dan Marcus Antonius dari Rom.

Namun, jika disorot semula lembaran sejarah Nefertiti yang juga isteri kepada Amenhotep IV, dia sebenarnya mempunyai pengaruh yang sangat besar.

Dalam beberapa catatan rekod Mesir purba, figura wanita pertama Dinasti ke-18 ini sangat diagungkan. Dia bersama Amenhotep IV telah mencetuskan revolusi agama Aten yang memuja satu tuhan sahaja iaitu tuhan matahari.

Keperibadian isteri kesayangan Firaun ini juga semakin menyerlah apabila dia diberi peranan besar dalam aspek agama selepas diangkat sebagai wakil wanita dalam aspek ketuhanan.

Dibunuh

Sesetengah teori mengatakan Nefertiti adalah penulis revolusi agama dan budaya yang diilhamkan oleh Akhenaten yang menolak agama-agama lain sehingga membangkitkan kemarahan golongan pendeta.

Tidak gentar dengan ancaman, Nefertiti bersama Akhenaten mengambil keputusan untuk memindahkan pusat pemerintahan Mesir dari Thebes ke Amarna semata-mata untuk mentaati tuhan baru mereka.

Pakar sejarah mengaitkan perkembangan agama baru ini adalah hasil usaha Nefertiti.

Nefertiti juga dipercayai memegang kuasa yang lebih besar daripada kuasa seorang permaisuri semasa pemerintahan suaminya.

Bahkan, pendapat mengatakan pemerintahan Mesir purba pada zaman Firaun Akhenaten adalah pemerintahan bersama pasangan suami isteri ini.


CANCELOR Jerman, Angela Merkel merenung Permaisuri Nefertiti di Muzium Neues di Berlin pada 16 Oktober 2009. Patung berusia 3,300 tahun itu telah menarik berpuluh ribu pengunjung setiap tahun ke muzium itu.


Pengaruh penting Nefertiti boleh dilihat melalui lukisan dan ukiran gambarnya yang banyak ditemui di dinding kuil.

Persamaan saiz di antara ukirannya dan ukiran Akhenaten memberi petunjuk mereka mempunyai kepentingan yang sama dalam struktur politik Mesir purba.

Sayangnya, zaman kegemilangan permaisuri yang mendapat jolokan Wanita Paling Cantik Di Dunia ini tidak lama.

Pada tahun ke-14 pemerintahan Akhenaten iaitu kira-kira tahun 1335 Sebelum Masihi, nama dan pengaruh besar Nefertiti lenyap begitu sahaja.

Teori sejarah mengatakan Nefertiti meninggal dunia disebabkan wabak penyakit yang melanda kawasan itu.

Ada juga yang mengatakan dia tidak lagi disukai suaminya kerana rekod sejarah selepas itu menunjukkan Akhenaten banyak merujuk kepada isteri keduanya iaitu Kiya, ibu kepada Firaun Tutankhamun yang terkenal dengan gudang emasnya.

Selain itu, timbul juga teori Nefertiti dibunuh oleh pendeta Mesir kerana dia memulakan revolusi agama di Amarna.

Anehnya, semua rekod tentang permaisuri ini telah dihapuskan supaya tiada sesiapa yang akan menyebut namanya.

Perang Dunia

Misteri dan kontroversi kehilangan Nefertiti masih diperdebatkan.

Bukan sahaja fakta sejarah, malah patung ukiran permaisuri tersebut yang didakwa dibawa keluar secara haram masih menjadi rebutan antara Mesir dan Jerman.

Gesaan yang dikeluarkan kerajaan Mesir supaya kepala patung berkenaan dipulangkan ke Kaherah tidak dipedulikan Jerman.


KEDUDUKAN Lembah Raja yang berhampiran Sungai Nil di Luxor, Mesir. Sebuah filem Itali tahun 1961 lakonan Jeanne Crain menggambarkan Nefertiti sebagai 'Ratu Sungai Nil'.


Malah, tindakan Zahi Hawass yang bersungguh-sungguh dalam kempen tersebut ditempelak Yayasan Warisan Budaya Prussia yang bertanggungjawab mengendalikan Muzium Neues apabila mereka mendakwa mempunyai dokumen sah pemindahan patung itu dari Mesir ke Jerman.

Bagi sesetengah pihak, tindakan Zahi mungkin tidak disenangi, namun beliau bertindak demikian selepas mengetahui patung berleher jinjang dengan mata yang unik itu didapati dibawa keluar dari Mesir secara haram pada tahun 1924.

Meneliti patung ukiran Nefertiti yang dihasilkan daripada batu kapur itu, ia cukup layak untuk dianggap salah satu hasil kerja seni terbaik dunia pramoden.

Berusia 3,300 tahun, artifak unik tersebut telah ditemui di sebuah kompleks membuat patung di Lembah Raja di Luxor, kira-kira 275 kilometer dari selatan Kaherah pada tahun 1912 sebelum dibawa ke Jerman oleh ahli ekskavasi Jerman, Ludwig Borchardt.

Melalui ukiran ini sahaja, ramai yang dapat membayangkan kejelitaan asli Permaisuri Nefertiti.

Bibir merahnya yang separa tebal, mata yang bundar dan lehernya yang jinjang menjadikan patung kepala ini cukup menawan.

Dengan hiasan mahkota tinggi yang disempurnakan dengan lekapan batu-batu aneka warna yang bernilai tinggi, sentuhan warna gelap yang tebal pada kening dan garisan mata nyata membangkitkan pesona wanita berkulit kuning langsat itu.

Bagaimanapun, Zahi optimis Jerman akan menyerahkan semula artifak tamadun milik negaranya itu.

Malah, usaha kerajaan Mesir untuk membawa pulang patung tersebut telah dimulakan sejak Perang Dunia Kedua tamat iaitu pada tahun 1947.

"Saya tahu Jerman tidak senang dengan apa yang saya lakukan. Saya tidak kisah apa mereka mahu kata. Saya hanya mahu membawa pulang patung kepala Permaisuri Nefertiti.

"Kerajaan dan rakyat Mesir begitu bersemangat menanti kepulangan harta dan warisan tamandun purba ini kepada pihak yang sepatutnya.

"Jika perkara ini menjadi kenyataan, kepala patung itu akan dipamerkan di muzium baru di selatan Kaherah," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Hantu takut bunyi bising

Posted:

Hantu takut bunyi bising

Hantu takut bunyi bising

Oleh IKHWAN IDERIS
ikhwan.ideris@kosmo.com.my


MASYARAKAT Cina percaya bunyi mercun dapat menghalau hantu dan semangat jahat. Ia juga satu bentuk hiburan yang disukai oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini.


MEMANG tidak dapat dinafikan sambutan Tahun Baru Cina mempunyai kepentingan dan makna yang mendalam bagi masyarakat Cina di serata dunia.

Salah satu aktiviti wajib pada perayaan itu ialah membakar mercun.

Mercun merupakan ciptaan terawal orang Cina, sama seperti kompas, kain sutera dan tembikar. Ia dikatakan telah wujud sejak lebih 2,000 tahun lalu.

Antara tujuan mercun dicipta ialah untuk digunakan di medan perang sebagai bahan letupan.

Setiausaha Agung Kehormat, Persatuan Cina Muslim Malaysia, Ann Wan Seng berkata, mercun juga digunakan untuk sambutan keramaian dan perkahwinan, bertujuan untuk memeriahkan majlis, menarik perhatian orang ramai dan menimbulkan suasana ceria.

"Ia dibakar untuk menghalau benda-benda yang tidak baik seperti semangat jahat dan hantu serta menghalang perkara buruk datang menghampiri.

Memanjang

"Tujuan orang Cina membakar mercun adalah untuk mendapatkan bunyi yang kuat. Lagi bising lagi bagus.

"Kini, ia juga menjadi satu bentuk hiburan di kalangan kanak-kanak," katanya.

Menurut Wan Seng, mercun boleh dibahagikan kepada dua jenis yang utama.


GENDANG turut digunakan untuk menghasilkan bunyi bising pada sambutan Tahun Baru Cina.


Pertama ialah mercun yang digunakan untuk upacara tertentu, misalnya pada majlis perkahwinan, pembukaan kedai baru dan hari perayaan.

Mercun itu dililit dengan kertas berwarna merah, diikat dan digantung secara memanjang dan akan menghasilkan letupan berturutan apabila dibakar.

"Warna merah melambangkan semangat, kegembiraan, nadi kehidupan dan paling penting, wang. Ia juga membawa maksud kemakmuran.

"Satu lagi ialah untuk permainan dan dibakar bagi menghasilkan percikan api. Ia hadir dalam pelbagai bentuk seperti mercun roket dan mercun katak," katanya.

Wan Seng menjelaskan perayaan Tahun Baru Cina akan disambut selama 15 hari dan mempunyai tiga hari utama.

Perkahwinan

"Pertama ialah hari pertama tahun baru mengikut kalendar masyarakat Cina di mana mercun akan dibakar pada pukul 12 tengah malam.

"Masyarakat Cina Hokkien pula akan meraikannya pada hari kesembilan dan pada 15 haribulan, perayaan Capgome diadakan, menandakan berakhirnya sambutan Tahun Baru Cina," katanya.

Sungguhpun aktiviti bermain dan menjual mercun telah diharamkan di negara ini, ia masih dibolehkan pada hari-hari perayaan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan tradisi dan budaya masyarakat sejak dulu lagi.


DI China, negara pertama di dunia yang menghasilkan mercun, kini mengharamkan permainan bahan letupan itu di bandar-bandar utamanya kecuali pada perayaan tertentu.


"Sekiranya pada hari perayaan ia tidak menjadi masalah. Bagaimanapun, kebenaran daripada pihak berkuasa adalah perlu jika ia dijalankan pada hari-hari biasa, misalnya untuk majlis perkahwinan.

"Pembakaran mercun juga tidak dibuat sesuka hati, sebaliknya hanya dilakukan di kawasan yang terhad seperti di halaman rumah atau di hadapan kedai," katanya.

Tambah Wan Seng lagi, aktiviti membakar mercun sebenarnya merupakan satu bentuk komunikasi oleh kaum Cina.

"Apabila orang bakar mercun, kita dapat tahu suatu kejadian yang baik sedang berlaku," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

'Pandanglah muka mereka'

Posted:

'Pandanglah muka mereka'

'Pandanglah muka mereka'

Oleh IKHWAN.IDERIS
ikhwan.ideris@kosmo.com.my


SURIYANA dan kumpulan sukarelawannya puas dapat melakukan kerja amal.


WALAUPUN bergelar Datin, tiada istilah kekok untuk Datin Suriyana Mohd. Kassim bergaul dengan golongan merempat yang tidur di kaki-kaki lima kedai.

Sekalipun tidak ramai yang mengenalinya, Suriyana terkenal dalam kalangan golongan tidak berumah di Kuala Lumpur sebagai aktivis dan salah seorang pengasas Persatuan Amal Mencapai Harapan Selangor dan Wilayah Persekutuan, yang lebih dikenali dengan nama Reach Out.

Pertubuhan bukan kerajaan itu sering memberikan makanan kepada golongan gelandangan pada setiap malam Ahad.

Tidak hanya membuka meja untuk mengagihkan makanan, mereka turut pergi ke tempat tidur golongan tidak berumah ini untuk membekalkan mereka makanan.

"Sebelum memulakan Reach Out, saya sebenarnya mengikut satu organisasi lain yang juga memberi makanan kepada golongan memerlukan," cerita Suriyana.

Bagaimanapun, organisasi tersebut tidak lagi mengagihkan makanan pada tahun 2008 atas sebab tertentu.

Jadi, Suriyana dan beberapa rakannya menubuhkan Reach Out untuk meneruskan amalan itu.

"Kita buat kerja kena ikhlas. Dalam agama bersedekah adalah satu amalan mulia.

"Kenapa perlu berhenti melakukannya sedangkan ada orang sedang menunggu makanan di luar sana?" katanya.

Suriyana menjelaskan memberi makanan kepada golongan ini mempunyai cara dan adab tersendiri.

"Apabila memberi bungkusan makanan, pandang tepat pada muka mereka. Sekiranya kita pergi ke tempat mereka, jangan sekali-kali memijak tempat tidur mereka.

"Dulu, ketika kami menyerahkan bungkusan makanan, kami akan cakap terima kasih pada mereka.

"Lama-kelamaan mereka pula yang cakap terima kasih kepada kami. Mesti ada adab dan cara untuk mengajar mereka," katanya.

Menurut Suriyana, golongan itu wujud disebabkan pelbagai isu dan masalah masing-masing.

Tiada rumah

"Ada yang mempunyai pekerjaan tapi tiada rumah. Atau ada rumah, tiada kerja.

"Sesetengahnya tak boleh dipanggil rumah pun, hanya bilik. Itu pun dikongsi beramai-ramai.

"Sebahagiannya merupakan anak-anak muda yang datang dari Sabah dan Sarawak. Mereka dengar di Kuala Lumpur senang cari kerja.

"Malangnya di sini persaingan sangat tinggi. Pemegang diploma dan ijazah pun hanya menjadi jurujual dan bekerja di kedai kopi seperti Starbucks. Sesetengahnya terpaksa melakukan dua kerja.

"Ada juga yang sengaja memilih untuk hidup di jalanan. Daripada menyewa rumah, mereka lebih rela menghantar duit gaji ke kampung bagi membantu keluarga dan adik-adik yang masih bersekolah," katanya.


SURIYANA memasukkan kira-kira 280 bungkus makanan ke dalam kereta untuk diagihkan kepada golongan merempat di Perhentian Bas Klang, Kuala Lumpur semalam.


Suriyana tidak sekadar bercakap, sebaliknya cuba untuk menyelami keperitan hidup golongan ini.

"Saya pernah lihat ramai orang tua menjual kotak yang mereka kutip. Jadi saya juga cuba menjual kotak untuk mendapatkan sedikit wang.

"Kebetulan kami ada banyak penaja makanan seperti High 5, Roti Boy dan Spritzer, jadi kami memang simpan banyak kotak.

"Namun, setelah semuanya dijual, kami hanya dapat RM8.60. Rupa-rupanya harga kotak cuma 20 sen sekilogram.

"Kita juga mungkin pernah tengok orang heret tin untuk dijual. Harganya sekarang sekadar RM3 lebih sekilogram.

"Kita pun tahu betapa ringan tin itu," katanya bagi menggambarkan kesusahan hidup golongan itu.

Selepas menjalankan aktiviti memberi makanan selama lebih empat tahun, golongan tidak berumah ini tidak hanya mengenali Suriyana, bahkan hubungan mereka bertambah rapat.

"Kalau jumpa di tepi jalan, memang kami kenal. Mereka akan tegur, kadang-kadang belanja kami minum.

"Pernah satu ketika, saya ke sebuah kedai di Jalan Pudu untuk membeli sudu dan bekas plastik bagi membungkus makanan.

"Wang yang digunakan untuk tujuan itu adalah hasil derma penaja tertentu, jadi kami selalunya cuba mendapatkan harga yang paling rendah.

"Kebetulan ada seorang lelaki Cina daripada golongan tidak berumah nampak kami di kedai itu, jadi dia pun datang dan tawar-menawar dengan tauke kedai untuk mendapatkan diskaun.

"Selepas itu, dia juga bersungguh-sungguh untuk membelanja kami minum walaupun kami menolak pada mulanya.

"Hari itu dia belanja kami makan mi goreng di kedai mamak kerana katanya hari itu dia memang mempunyai wang," cerita Suriyana.

Bergaduh

Sungguhpun terpaksa berhadapan dengan pelbagai dugaan, Suriyana bersyukur kerana tiada kejadian yang tidak diingini menimpanya setakat ini.

"Ketika memberi makan, ada seorang lelaki India, mabuk agaknya, marah-marah sebab tak sabar untuk mendapatkan makanan.

"Pada masa itu, saya belum mengedarkan makanan sebab belum sampai waktu yang sepatutnya.

"Dia mengamuk, katanya nak tunggu apa lagi, ramai orang dah beratur. Kemudian seorang pemuda dari Sarawak marah dengan kelakuan lelaki itu dan mengeluarkan pisau, mereka nak bergaduh.

"Tiba-tiba ramai golongan tidak berumah ini berdiri mengelilingi saya untuk melindungi saya. Terkejut saya dibuatnya," cerita ibu kepada lima orang anak ini lagi.

Dengan umur yang telah mencecah 48 tahun, ternyata Suriyana masih kuat dan bersemangat untuk meneruskan perkara yang dimulakannya tiga tahun lalu.

Tidak pernah terlintas di fikirannya untuk berhenti dan menyerah.

"Jika kita ada agenda dan motif untuk membuat kerja-kerja sebegini, lama-kelamaan kita akan berasa bosan dan malas, apabila melihat cita-cita kita tidak kesampaian.

"Tapi sekiranya kita ikhlas, kita akan sentiasa bersemangat untuk meneruskannya," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan