Utusan Online - Selatan |
- Melaka lantik 'spy' harga barang
- Korporat perlu aktif salur bantuan
- Jangan terpedaya janji pembangkang
Melaka lantik 'spy' harga barang Posted: Melaka lantik 'spy' harga barangOleh NORIZAN ABDUL MUHID
MELAKA 30 Jan. - Dua orang dari setiap Parlimen di negeri ini dilantik sebagai pengintip atau 'spy' untuk melaporkan sebarang kegiatan penipuan barang atau harga oleh peniaga sepanjang musim perayaan ini. Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan dan Pengguna negeri, Datuk R. Perumal berkata, dua orang awam itu akan memantau kegiatan tersebut sepanjang tempoh 12 hari Skim Kawalan Harga berkuatkuasa. Menurutnya, ia bagi memudahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengambil tindakan terhadap peniaga yang melanggar Akta Kawalan Harga 1946. ''Sebanyak 11 jenis barang borong dan runcit ditetapkan sebagai harga terkawal dan ditandakan tanda harga merah jambu antaranya ayam hidup, telur ayam, kubis bulat import, ikan bawal putih, udang dan daging babi," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Tahun Baru Cina peringkat negeri di Pasar Besar Melaka Sentral, di sini hari ini. Menurutnya, dua orang awam terbabit akan melaporkan kepada kementerian berkenaan sekiranya wujud kegiatan menyembunyi atau menaikkan harga barang oleh peniaga. Pada masa yang sama, katanya, kira-kira 100 anggota dan pegawai kementerian turut terbabit memantau kegiatan tersebut sepanjang tempoh skim kawalan harga. ''Saya harap peniaga mematuhi skim harga yang ditetapkan dan kita akan meletakkan pegawai penguat kuasa malah pemantau harga dari kalangan orang awam akan memeriksa kegiatan peniaga," ujarnya. Perumal meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan aduan tentang penipuan harga melalui talian bebas tol 1 800 886 800; e-aduan@kpdnkk.gov.my atau 06-2345854; 06-2345860 atau 06-2345869. Menurutnya, peniaga diwajibkan meletakkan pelekat harga berwarna merah jambu dan mempamerkan harga barang terkawal tersebut supaya pengguna dapat membezakan dengan harga barang lain. ''Peniaga yang ingkar, tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Harga 1946 yang mana denda sehingga RM15,000 atau kompaun RM7,500 atau dua tahun penjara," katanya. Selain itu, kata beliau, tindakan yang sama turut dikenakan ke atas syarikat dengan boleh didenda sehingga RM25,000 atau dikompaun RM12,500. | ||
Korporat perlu aktif salur bantuan Posted: Korporat perlu aktif salur bantuanMELAKA 30 Jan. - Badan Amal Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Negeri Melaka (Bistari) memerlukan pembabitan yang lebih aktif dari golongan korporat bagi menggembleng tenaga membantu membela nasib golongan kurang bernasib baik. Pengerusi Bistari, Datin Seri Asmah Abd. Rahman berkata, golongan itu perlu memainkan peranan mereka membantu masyarakat memerlukan bantuan tanpa mengambil kira soal keuntungan yang diperoleh melalui usaha tersebut. Menurutnya, budaya itu perlu ada dalam setiap kegiatan atau aktiviti golongan korporat dan tidak hanya mengamalkan sikap sedemikian mengikut musim tertentu. ''Bagi Bistari, kita memang gembira dengan budaya beramal dengan penganjuran begitu banyak program bagi menyalur bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik. ''Namun, pada masa yang sama, kita amat berharap agar lebih ramai pihak korporat untuk sama-sama memainkan peranan mereka membantu pertubuhan bukan kerajaan menjayakan program kebajikan," katanya. Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Kempen Amal Kembali Ke Sekolah anjuran Kelab Ambank Group di kediaman Seri Bendahara, di sini kelmarin. Turut hadir, Pengurus Wilayah Ambank Group, Mohd. Azman Tajuddin dan Pengarah Pelajaran negeri, Juliah Lemah. Seramai 60 pelajar cemerlang dari keluarga berpendapatan rendah dipilih mewakili 15 sekolah rendah dan sekolah menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Baru menerima sumbangan peralatan dan beg sekolah. Selain itu, katanya, peranan membantu golongan kurang bernasib baik wajar dipikul oleh semua pihak terutama korporat dan tidak seharusnya semata-mata diletakkan pada kerajaan. Pada masa yang sama, beliau mengingatkan bahawa budaya memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan tidak sepatutnya diamalkan pada musim tertentu sebaliknya diadakan secara berterusan. ''Kita tidak mahu setiap kali musim perayaan atau acara tertentu sahaja, banyak pihak begitu sibuk menghulurkan bantuan tetapi mereka tidak sedar bahawa lebih ramai yang memerlukan bantuan pada bila-bila masa," katanya. Usaha itu, katanya, demi memastikan golongan kurang bernasib baik khususnya mereka yang kesempitan wang diberi perhatian agar aspek pendidikan anak-anak tidak terabai. ''Namun, kita hargai keprihatinan sesetengah korporat yang sentiasa peka dengan menganjurkan begitu banyak program bagi menyalur bantuan kepada golongan yang tidak bernasib baik. ''Namun, pada masa yang sama, kita amat berharap golongan ini dapat dibela dan diberi perhatian sepanjang masa, tidaklah terhad pada musim musim perayaan sahaja," katanya. Beliau berkata, budaya memberi bantuan kepada golongan tidak bernasib baik itu sebenarnya merupakan satu budaya yang cukup unik di negara ini tanpa mengira bangsa dan anutan agama. ''Ini menunjukkan bukan sahaja kerajaan, tetapi badan-badan korporat pertubuhan sukarela, malah, individu mempunyai semangat bantu-membantu yang cukup tinggi," katanya. | ||
Jangan terpedaya janji pembangkang Posted: Jangan terpedaya janji pembangkangRASAH 30 Jan. - Rakyat negeri ini dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan segala dakwaan pembangkang terhadap kerajaan yang hanya bertujuan meraih populariti politik semata-mata. Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, taktik pembohongan dan fitnah yang dibawa pembangkang merupakan satu perkara biasa demi mencapai matlamat politik sempit mereka. Jelasnya, sedangkan janji-janji pembangkang sewaktu kempen pilihan raya umum lalu hanyalah omong kosong yang sehingga kini masih tertunggak dan tidak ada sebab untuk masyarakat terus tertipu dengan dakyah mereka. ''Mereka hanya berjanji kerana tahu mereka tidak akan jadi kerajaan. Kalau ada kerajaan sekalipun sehingga kini masih ada janji-janji mereka yang sehingga sekarang tidak tertunai. ''Berbeza dengan BN yang mana kalau kita berjanji kita akan buat. Kita akan lakukan perkara yang terbaik buat rakyat supaya mereka boleh hidup dalam keadaan yang sejahtera," katanya. Mohamad berkata demikian ketika berucap pada Majlis Karnival 1Malaysia Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Baru Rahang dekat sini baru-baru ini. Dalam pada itu, Mohamad mengumumkan kerajaan negeri akan membina Dewan Orang Ramai di Kampung Baru Rahang tidak lama lagi melibatkan kos RM1.5 juta. Jelasnya, kemudahan itu dijangka memberi manfaat kepada orang ramai di kawasan setempat bagi membolehkan mereka melakukan sebarang kegiatan atau aktiviti kemasyarakatan. ''Kerja-kerja pembinaan dewan orang ramai ini akan bermula Mac dan dewannya juga mempunyai pelbagai kemudahan asas dan sebagainya. ''Kita berharap dengan adanya dewan ini nanti ia akan memberikan kemudahan kepada masyarakat setempat untuk melakukan sebarang aktiviti atau program untuk orang ramai nanti," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan