Khamis, 27 Januari 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Kuan Yew amal strategi bermusuh

Posted:

Kuan Yew amal strategi bermusuh

Kuan Yew amal strategi bermusuh

Oleh AZIZI JAMALUDIN MHD TAHIR

PANDANGAN sinis bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew terhadap umat Islam cukup jelik. Gesaan agar umat Islam Singapura 'tidak terlalu kuat berpegang pada ajaran Islam' merupakan natijah kebebalan beliau yang sengaja ingin mencuri kemarahan mereka yang taat beragama. Ini kerana ajaran agama itulah yang dapat mengawal dan membimbing manusia menjadi terbaik, patuh dan taat kepada Allah dan pencipta-Nya.

Gesaan tersebut boleh mendorong umat Islam melakukan kejahatan yang akan membahayakan sesebuah negara itu sendiri. Seharusnya Islam sudah difahami dengan baik oleh seorang pemimpin yang pernah memimpin selama 31 tahun, yang mana sebahagian kecil penduduknya beragama Islam. Memahami sejarah perjuangan peribadinya, baik menerusi tulisan-tulisan dan kata-kata beliau, ternyata Kuan Yew masih tidak mengakui bahawa Islam adalah agama yang paling banyak menyebarkan semangat toleransi, boleh hidup bersama penganut agama lain dan membangunkan negara dalam acuan yang bersifat madani, bukan seperti ajaran lain yang menganjurkan kebencian dan permusuhan sesama manusia.

Islam telah membuktikan bahawa sejak permulaan lagi, ia telah membentuk struktur masyarakat yang saling memahami, bekerjasama dan membantu. Hal ini dapat diperhatikan melalui sejarah bagaimana kepimpinan Nabi Muhammad SAW telah membangunkan tamadun kemasyarakatan yang terbaik dalam sejarah manusia di Madinah. Ketaatan penganut Islam berpegang kepada kalimah 'Tiada Tuhan Lain Yang Disembah Selain Allah' telah memperkuatkan kerohanian masyarakat sehingga muncul sebuah kehidupan yang beradab dan maju.

Sepanjang sejarah manusia, kejatuhan sesebuah tamadun adalah disebabkan rakyatnya telah melupakan atau menyisihkan kehidupan beragama. Tragedi yang menimpa Empayar Roman misalnya, salah satu faktornya adalah kerana terlalu menekankan falsafah materialisme dan kebebasan melampau sehinggakan agama dijadikan asas kehidupan pinggiran.

Analisis Paul Kennedy dalam bukunya yang pernah menimbulkan banyak perdebatan, The Rise and Fall of Great Power turut menyingkap bahawa agama merupakan penentu terbesar dalam mengekalkan sesebuah tamadun. Justeru, walau sehebat manapun kemajuan sesebuah negara dalam pembangunan fizikal dan kebendaan, ia hanya membangkitkan suasana kehidupan manusia yang tidak pernah puas, rakus, adu-domba dan saling berkonflik.

Kuan Yew menyelar sikap rakyat negara itu yang 'ketat pegangan agama' sebagai halangan kepada pembinaan negara bangsa Singapura bagi tempoh yang lebih lama pada masa depan. Buktinya, kerana dasar yang diamalkan oleh negara itu mengekang suara pembangkang dan menghalang politiking telah menyebabkan sebahagian mereka yang merasakan kedudukannya tertindas mula beralih kepada pematuhan beragama.

Inilah sebenarnya yang cuba disembunyikan oleh Kuan Yew apabila menasihatkan generasi yang taat beragama supaya melenturkan pegangan agama bagi membolehkan Singapura terus kekal sebagai negara moden dan terbaik pada masa depan. Dalam hal ini, Kuan Yew sebenarnya lupa bahawa kemakmuran yang dinikmati oleh rakyat Singapura adalah kerana kebijaksanaannya menguruskan sumber-sumber yang diperoleh negara jiran yang dilihatnya sebagai 'kurang mesra.'

Hubungan yang tidak mesra itu sebenarnya dicipta oleh Singapura sendiri. Dalam situasi ingin berada di hadapan dan melonjakkan kedudukannya sebagai sebuah pelabuhan yang penting, Kuan Yew menyusun strategi bermusuh. Hal ini tidak dilakukan oleh pewarisnya, Lee Hsien Loong yang mengambil alih pentadbiran sejak 2004 dari Goh Chock Tong. Chock Tong menjadi Perdana Menteri sementara bagi mengikis persepsi umum mengenai pewarisan kepimpinan politik yang dilaksanakan oleh Parti Tindakan Rakyat PAP pada tahun 1999.

Berasaskan persepsi negatif itu, maka dapat dirumuskan bahawa Kuan Yew sebenarnya tidak pernah cuba memahami Islam secara mendalam. Islam hanya difahami berdasarkan sikap peribadi yang ditunjukkan oleh segelintir penganut. Pada hal dalam kehidupan manusia, Kuan Yew faham bahawa tidak semua manusia mempunyai pendapat, sikap, perangai, tingkah laku dan keperluan yang berbeza.

Perbezaan-perbezaan tersebutlah akhirnya menjadi sebuah nilai bersama melalui ikatan sosial ataupun keagamaan. Mungkin kerana Kuan Yew menghadapi kesukaran untuk memusnahkan akidah umat Islam agar menerima apa sahaja dasar yang dilaksanakan walaupun bertentangan dengan falsafah nilai agama, maka itulah persepsi negatif itu dikembangkan.

Nampaknya beliau sedang menghadapi konflik dalaman yang besar. Ini kerana jiwa segelintir rakyatnya yang tertekan mula melontarkan pelbagai pandangan marah, geram dan tidak sukakan dasar pemerintah. Luahan itu walaupun disekat, namun ia terus disalurkan melalui pelbagai media baru yang merunsingkan Menteri Mentor itu.

Islam tidak pernah menyuruh penganutnya menyekat kebebasan seseorang. Justeru, Allah SWT berfirman bermaksud: "Tiada paksaan dalam agama" (Surah Al-Baqarah ayat 256). Islam tetap memberikan keutamaan terhadap kebebasan individu, asalkan kebebasan itu tidak mengenepikan keyakinan terhadap keesaan Allah SWT dan melakukan perkara-perkara yang disuruh.

Jelas sekarang, Kuan Yew sedang mengeluh mengenai 'kemungkaran' yang tidak dapat diterima oleh umat Islam yang taat.

Sejarah Islam ketika zaman Umayyah misalnya membuktikan Islam sebuah agama yang bertoleransi. Ketika Pope John Paul II mengunjungi Masjid Umayyah di Damsyik, beliau tetap bertafakur di hadapan makam Nabi Yahya a.s. Mengulas tindakan itu, Pope John Paul memberikan alasan bahawa setiap penganut Islam dan Kristian mestilah saling memaafkan.

Beliau juga berkata, penganut agama terbesar tidak perlu berkonflik, saling menyalahkan antara satu sama lain, kerana ia akan menyebabkan keharmonian, keamanan dan kedamaian hidup bermasyarakat punah. Jika Pope John Paul II boleh memberikan pandangan agar saling hidup dalam keadaan bertoleransi, maka tidak ada sebab Kuan Yew tidak boleh menerima bahawa kepatuhan penganut Islam kepada agamanya bukanlah sesuatu yang merugikan matlamat pembinaan negara bangsa.

Kuan Yew tentu sedar bahawa kehebatan Mahatma Ghandi adalah kerana beliau tidak menimbulkan sengketa dan menambah bara konflik dalam masyarakat. Ghandi mengamalkan tindakan 'membina damai' dalam suasana orang lain berkonflik, akhirnya kaedah perjuangan nasionalismenya menjadi sebuah perjuangan yang amat berkesan sekali.

Teladan itu sebenarnya perlu dilakukan oleh Kuan Yew memandangkan beliau yang dikenali sebagai peneraju sebuah negara kecil menjadi sebuah negara besar kuasa ekonominya, agar lebih dihormati atas nasihatnya. Itulah teladan yang seharusnya dilakukan oleh Kuan Yew, bukannya membangkitkan sengketa serta rasa benci orang lain.

Sebagai bekas pemimpin, beliau seharusnya dapat menyelami sanubari rakyat yang sekian lama tercengkam oleh dasar autokratiknya. Inilah saat yang sesuai untuk memulihkan semangat baru agar hidup dalam kepelbagaian yang penuh dengan toleransi dan saling memahami.

Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Bersihkan dahulu Kota Bharu

Posted:

Bersihkan dahulu Kota Bharu

Bersihkan dahulu Kota Bharu

Oleh YULPISMAN ASLI


Keadaan sampah-sarap yang terbiar begitu sahaja kerana tidak dikutip oleh kakitangan MPKB di Bazaar Buluh Kubu, Kota Bharu.


BERSIHKAN dahulu bandar Kota Bharu! Mungkin perkara itu yang perlu diberi keutamaan oleh kerajaan Pas Kelantan yang ketika ini dilihat begitu cenderung terlibat sama menganjurkan ceramah atau forum anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Terbaru, kerajaan Pas Kelantan terlibat dalam penganjuran program Bersih 2.0 yang kononnya untuk membersihkan proses pilihan raya di negara ini.

Penganjur program itu mendakwa proses pilihan raya di negara ini tidak bersih dengan alasan wujud pengundi hantu dan banyak lagi. Maka berpusu-pusulah rakyat Kelantan, pastinya di kalangan pendukung setia parti Pas menghadiri ceramah dan forum tersebut seperti yang berlaku di Balai Islam Lundang pada malam 21 Januari lalu.

Forum tersebut menampilkan tiga ahli panel iaitu Prof. Dr. Abdul Aziz Bari; Ahli Jawatankuasa Bersih 2.0, Datuk Dr. Toh Kin Woon dan Exco Kelantan, Datuk Husam Musa. Sementara Prof. Dr. Abu Hassan Abdullah bertindak selaku moderator. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Abdul Fatah Mahmood.

Sepanjang hampir dua jam berceramah, ketiga-tiga ahli panel begitu bersemangat melontarkan buah fikiran dan alibi masing-masing bagi menyokong dakwaan proses pilihan raya di negara ini 'perlu dibersihkan'.

Malah, dalam ucapannya, Kin Woon juga tidak berselindung menuduh proses pilihan raya di Malaysia tidak telus, tidak adil, tidak bersih dan banyak kelemahan.

Bekas guru itu yang pernah berkhidmat di sebuah sekolah di negeri ini juga tidak teragak-agak menyatakan pendiriannya bahawa Malaysia diperintah oleh diktator ketika persoalan itu diajukan oleh Abu Hassan.

Dengan tema 'Membersihkan Pilihan raya Demi Masa Depan Rakyat', forum tersebut telah menarik lebih 2,000 pengunjung termasuk pelajar sekolah dan penuntut pusat pengajian tinggi yang turut teruja untuk 'terjun' ke dalam dunia politik.

Senario tersebut mungkin berbeza dengan pelajar dan penuntut bukan Melayu yang lebih cenderung meningkatkan kecemerlangan akademik mereka supaya kelak mendapat pekerjaan lebih baik dan bergaji lebih besar dalam dunia yang semakin mencabar.

Melihat respons hadirin, timbul persoalan alangkah baiknya jika usahasama dilakukan oleh Urus Setia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri bagi menggerakkan usaha bersepadu melibatkan pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan usia untuk membersihkan bandar Kota Bharu khususnya dan Kelantan amnya daripada pelbagai kekotoran sampah sarap.

Ini kerana jolokan Tanah Serendah Sekebun Bunga dan Negeri Serambi Mekah, masih tidak dapat mengubah tahap kebersihan di negeri ini yang semakin memualkan banyak pihak.

Berjalan di ceruk-ceruk atau lorong-lorong sekitar bandar ini terutama di Medan Selera MPKB di Bazaar Buluh Kubu yang menempatkan deretan kedai makan, anda pasti berdepan dengan sampah sarap yang busuk dan bertaburan di sana sini. Senario gerai makan terletak tidak jauh dari tong-tong sampah bukan lagi asing di sekitar bandar ini. Ada ketikanya menimbulkan persoalan, beginikah sikap rakyat Kelantan yang ditadbir dan diperintah oleh sebuah parti dengan dasar Membangun Bersama Islam?

Mungkin keadaan ini tidak mengapa bagi sesetengah rakyat Kelantan, kerana kawasan atau tempat lain di negeri-negeri lain hatta Kuala Lumpur juga mengalami situasi sama.

Namun, Kelantan diperintah oleh sebuah parti yang berjuang menegakkan penubuhan undang-undang Islam. Agama suci itu yang dianuti oleh lebih 90 peratus penduduk negeri ini, amat menitikberatkan aspek penjagaan kebersihan, sebagaimana dinyatakan oleh Husam dalam forum tersebut, umat Islam akan berwuduk setiap kali hendak menunaikan ibadat, menunjukkan betapa kebersihan amat penting dalam Islam.

Timbul persoalan, mungkinkah disebabkan selama 20 tahun Pas memerintah kerajaan negeri, mereka lebih banyak dimomokkan dengan isu politik berbanding bagaimana mereka perlu mengubah sikap penduduk bagi menjadikan Kelantan dan Kota Bharu sebagai bandar raya Islam contoh.

Dalam congakan mudah, sekiranya selama tempoh tersebut rakyat negeri ini yang berjumlah lebih 1.5 juta, terutama generasi mudanya diberikan didikan yang betul mencakupi pelbagai aspek, bukan hanya fokus kepada politik, tidak perlulah MPKB-BRI membelanjakan kira-kira RM2 juta setahun untuk meningkatkan mutu kebersihan bandar ini, melancarkan kempen Kota Bharu Bersih 2010 dan gerak gempur membersihkan persekitaran bandar pada sebelah malam.

Program gerak gempur itu bermula pada pukul 9 hingga 12 tengah malam. Ia dilancarkan selepas kempen Kota Bharu Bersih 2010 gagal untuk membersihkan bandar ini.

Bayangkan, pada ketika kebanyakan warga bandar berpusu-pusu pulang ke rumah atau bersenang lenang menonton televisyen bersama keluarga, para petugas dan kakitangan pihak berkuasa tempatan bertungkus-lumus menyapu jalan dan memungut sampah.

Ini belum mengambil kira kenyataan Persatuan Pelindung Pengguna Kelantan (PPPK) sebelum ini bahawa tinjauan ke atas 70 buah masjid mendapati 90 peratus tandas di rumah ibadat itu dalam keadaan kotor. Jadi, di manakah letaknya imej Kelantan sebagai Negeri Serambi Mekah pada kaca mata pengunjung luar?

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan