Isnin, 31 Januari 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Banjir: Tanaman, ternakan dibanci

Posted:

Banjir: Tanaman, ternakan dibanci

Banjir: Tanaman, ternakan dibanci

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

KUBANG PASU 30 Jan. - Kerajaan masih menjalankan bancian bagi mendapatkan anggaran sebenar nilai kerosakan tanaman selain padi dan ternakan yang terjejas akibat banjir di negeri ini serta Perlis, awal November lalu.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum berkata, proses penilaian menerusi agensi berkaitan itu memakan masa kerana ia melibatkan jumlah kerosakan yang banyak.

"Jumlah kerosakan sebenar belum dapat dikenal pasti sepenuhnya namun sebaik sahaja semua proses penilaian selesai dijalankan, kita akan memberikan bantuan kepada mereka yang terlibat secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah sempena Program Darulaman Jamboree 2011 Mountain Bike di Tasik Darul Aman di sini hari ini.

Seramai 360 peserta dari negeri ini, Perlis dan Perak mengambil bahagian pada acara julung-julung kali dianjurkan oleh Danish Adventure Event Management dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Kubang Pasu itu.

Sementara itu, Mohd. Johari yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu memberitahu, kira-kira 5,000 lagi mangsa banjir di daerah ini akan menerima bantuan wang ihsan secepat mungkin dalam proses pengagihan yang memasuki fasa kedua.

Menurut beliau, agihan bantuan wang tunai sebanyak RM500 kepada setiap keluarga mangsa banjir itu melibatkan kumpulan yang terjejas kediaman mereka tetapi tidak berpindah ke pusat pemindahan.

"Ia telah mula diagihkan di Parlimen Alor Setar semalam dan akan diikuti dengan kawasan lain di Kedah dan Perlis secara berperingkat sehingga semuanya selesai.

"Jumlah mangsa terlibat ramai, jadi kita perlu mengikut jadual bagi mengelakkan sebarang masalah keciciran dan sebagainya," katanya.

Pada masa sama, kata beliau, bagi mereka yang tercicir nama namun layak menerima bantuan wang ihsan itu, mereka perlu segera berjumpa dengan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) ataupun ke pejabat wakil rakyat bagi membuat pendaftaran.

"Walaupun nama mereka tercicir, kita akan cuba berikan juga bantuan tersebut dan kita akan cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan semua agihan wang ihsan ini sekurang-kurangnya sebelum Tahun Baru Cina ini," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Mohd. Hafizi lumpuh 10 tahun mahu sambung belajar

Posted:

Mohd. Hafizi lumpuh 10 tahun mahu sambung belajar

Mohd. Hafizi lumpuh 10 tahun mahu sambung belajar


Ahmad Fatahi Omar menziarah Mohd. Hafizi Hassan yang lumpuh sejak 10 tahun lalu di Kampung Batu 8, Tokai, Pendang, Kedah, kelmarin.


PENDANG 30 Jan. - "Jika ada peluang, saya ingin meneruskan pelajaran yang tertinggal sejak 10 tahun lalu".

Demikian keluh seorang pemuda, Mohd. Hafizi Hassan, 24, yang terlantar sejak 10 tahun lalu selepas terbabit dalam kemalangan yang menyebabkan beliau lumpuh separuh badan.

Ketika pemuda lain yang sebaya dengannya sedang mula membina kehidupan, Mohd. Hafizi hanya mampu menghitung masa depan yang seakan-akan kelam dan tidak pasti.

Pemuda yang bersemangat ini tinggal bersama ibu, Halijah Abu Seman, 65, dan bapanya, Hassan Taib, 64, di Kampung Batu 8 Tokai, dekat sini.

Beliau anak bongsu daripada empat beradik.

Bapanya bekerja mengambil upah mengerjakan sawah dengan pendapatan yang tidak menentu bergantung kepada musim menanam padi manakala ibunya perlu berada di sampingnya sepanjang masa bagi membantu menjaga keperluannya.

Mengimbas kembali kemalangan yang menimpanya, Mohd. Hafizi berkata, kejadian itu berlaku pada Oktober 2001 ketika dia menunggang motosikal pulang ke rumah selepas tamat waktu persekolahan.

Ketika itu, katanya, dia menuntut di tingkatan tiga Sekolah Menengah Tokai dekat sini.

"Kemalangan berlaku membabitkan saya dan sebuah kereta. Akibatnya saya koma selama beberapa hari dan kecederaan pada tulang belakang akhirnya menyebabkan saya lumpuh antara perut hingga ke hujung kaki," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya semalam.

Utusan Malaysia dibawa bertemu dengan pemuda itu oleh Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Kedah, Ahmad Fatahi Omar, yang bersimpati dengan nasib yang menimpa Mohd. Hafizi.

Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi dan sebuah kerusi roda.

Mohd. Hafizi hanya menerima bantuan sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan beliau hanya dapat menggunakan jumlah itu untuk ubat-ubatan dan lampin pakai buang yang perlu dikerat dua untuk menjimatkan perbelanjaan.

Setiap hari, beliau hanya terlantar di sebuah tilam angin yang sudah usang merenung masa depan yang tidak pasti.

Ketika ditanya tentang kehidupannya, Mohd. Hafizi berkata: "Saya bercita-cita menyambung pelajaran yang tertinggal selama 10 tahun lalu tetapi tanpa bantuan daripada semua pihak, saya terpaksa memendamkan saja keinginan itu".

Sebarang bantuan boleh menghubungi keluarga Mohd. Hafizi boleh dihubungi talian 04-7644076.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Kereta api Bukit Bendera beroperasi semula Mac

Posted:

Kereta api Bukit Bendera beroperasi semula Mac

Kereta api Bukit Bendera beroperasi semula Mac

PULAU PINANG 30 Jan. - Perkhidmatan kereta api Bukit Bendera di sini akan mula menjalani ujian operasi selama sebulan bermula awal bulan depan sebelum operasinya disambung semula selewat-lewatnya akhir Mac ini.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, ujian itu akan dimulakan sebaik sahaja kerja-kerja menaik taraf kereta api tersebut selesai hujung bulan ini.

Katanya, apabila siap sepenuhnya kelak, projek itu akan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk operasi dan penyelenggaraan.

"Kerja-kerja (menaik taraf) secara fizikal sudah hampir selesai. Kita yakin Mac depan sudah boleh beroperasi semula seperti yang dijadualkan.

"Apabila beroperasi nanti, kereta api ini akan berwajah baru menggunakan koc-koc baru buatan Switzerland yang lebih moden selain lebih selesa untuk penumpang," jelasnya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MCA negeri di sini hari ini.

Menerusi projek membabitkan kos RM68.8 juta itu, kereta api jenis furnikular yang digunakan sejak 1923 digantikan dengan kereta api jenis elektrik yang lebih moden serta memberi keselesaan kepada pengunjung ke Bukit Bendera .

Sebelum ini, perkhidmatan kereta api berusia 87 tahun itu dihentikan operasinya bermula 22 Februari tahun lalu untuk kerja-kerja menaik taraf.

Selepas selesai kerja-kerja naik taraf itu, setiap koc baru berhawa dingin itu boleh membawa sehingga 50 penumpang dengan masa perjalanan sehala selama 10 minit.

Penumpang juga boleh sampai ke puncak bukit itu tanpa perlu menukar tren di Stesen Pertengahan seperti yang dilakukan sebelum ini.

Sementara itu, Yen Yen melahirkan penghargaannya terhadap inisiatif yang dilakukan ahli botani, Datuk Seri Lim Chong Keat untuk membangunkan sebuah taman di puncak Bukit Bendera.

Katanya, usaha itu secara tidak langsung mampu dijadikan tarikan baru untuk pelancong berkunjung ke puncak bukit tersebut.

"Kita sentiasa berusaha memikirkan cara untuk menjadikan Bukit Bendera popular bukan sahaja di kalangan rakyat tempatan malah pelancong asing. Idea sebegini amat membantu usaha tersebut dan kita amat menghargainya," katanya.

Kata Yen Yen, apabila siap kelak, kadar bayaran masuk ke taman tersebut akan dikenakan secara berbeza kepada rakyat tempatan dan pelancong asing.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan