Utusan Online - Pahang |
- Kemalangan meningkat di Pahang
- Stadium Temerloh layak untuk Liga FAM
- Warga emas terkejut ubi keledek gergasi di halaman rumah
Kemalangan meningkat di Pahang Posted: Kemalangan meningkat di PahangOleh HARIS FADILAH AHMAD
KUALA LIPIS 30 Jan. - Jumlah kemalangan di Pahang meningkat sebanyak 7.7 peratus kepada 17,315 kes pada tahun lalu berbanding 16,076 kes pada 2009. Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Kemudahan Asas dan Pertumbuhan negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abd. Razak berkata, jumlah kemalangan maut meningkat sebanyak 9.1 peratus dengan 492 kes pada tahun lalu berbanding 451 kes pada 2009. ''Jumlah kematian meningkat kepada 574 orang pada tahun lalu berbanding 511 orang pada 2009 iaitu peningkatan seramai 63 orang atau 12.3 peratus," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen bersepadu keselamatan jalan raya sempena Tahun Baru Cina peringkat negeri di perhentian Rehat dan Rawat (R&R) Benta, di sini semalam. Hadir sama, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman; Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pahang, Datuk Baharuddin Mohd. Yusof; Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Datuk Zakaria Man dan Ketua Polis Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan. Pada majlis itu, Mohd. Soffi dan Mohamad Shahrom mengedarkan beg berisi risalah dan makanan kepada 200 pemandu. Mohd. Sofi yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Pahang memberitahu, jumlah kecederaan parah menurunkan kepada 446 kes atau 20.6 peratus pada tahun lalu berbanding 562 kes pada 2009. ''Statistik juga menunjukkan kadar kecederaan ringan menurun sebanyak 123 kes (13.5 peratus) kepada 786 kes pada tahun lalu berbanding 909 kes pada 2009," katanya. Beliau menjelaskan, gaya pemanduan yang bahaya dan kecuaian merupakan faktor utama berlakunya kemalangan di negeri ini. Menurut beliau, statistik menunjukkan kadar kemalangan jalan raya yang meningkat pada setiap musim perayaan berpunca daripada kedua-dua faktor tersebut. Katanya, walaupun kerajaan menanggung kerugian apabila mengeluarkan kos yang tinggi untuk menjalankan pelbagai kempen keselamatan jalan raya tetapi sikap pemandu masih di takuk lama. ''Kita akan terus menggunakan pendekatan mendidik kerana faktor sikap manusia antara punca kemalangan. JKJR dan MKJR perlu proaktif melaksanakan peranan itu. ''Kerajaan tanpa jemu terus memastikan kempen ini berjalan lancar dan mesej yang tepat dapat disampaikan kepada kumpulan sasaran untuk mengurangkan kadar kemalangan," katanya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta meminta pengusaha dan pemandu kenderaan sentiasa memeriksa keadaan tayar kerana ia dianggap sebagai faktor 'hidup dan mati.' ''Tanpa pengetahuan mengenai keadaan tayar sesebuah kenderaan, ia boleh mengundang kemalangan yang membawa kepada kematian," katanya. | ||
Stadium Temerloh layak untuk Liga FAM Posted: Stadium Temerloh layak untuk Liga FAMTEMERLOH 30 Jan. - Peminat bola sepak di daerah ini bakal berpeluang menyaksikan perlawanan yang lebih berkualiti apabila Stadium Temerloh di sini bakal dijadikan gelanggang bagi pasukan Shahzan Muda untuk aksi Liga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) musim ini. Selepas melalui beberapa pemeriksaan oleh FAM sejak dua tahun lalu, badan induk bola sepak tempatan itu berpuas hati dengan keadaan stadium tersebut. Ahli Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (Jkpt) FAM, Datuk Dr. Omar Othman berkata, hasil pemeriksaan itu, pencahayaan yang dihasilkan oleh lampu limpah stadium tersebut melepasi paras minimum iaitu 800 lux sebagaimana yang ditetapkan. Menurutnya, pencahayaan yang dihasilkan di Stadium Temerloh kini mencecah 1,156 lux iaitu kurang 100 lux bagi penganjuran kejohanan peringkat antarabangsa. ''Tiada masalah dari segi pencahayaan kerana ia melepasi standard ditetapkan. Dari segi padang pula, kita telah menjalankan pemeriksaan baru-baru ini. ''Kita memperakui Stadium Temerloh boleh dijadikan venue bagi pertandingan Liga FAM namun keputusan penuh hanya diputuskan Jawatankuasa Pertandingan Liga Tempatan FAM," katanya ketika ditemui selepas memeriksa keadaan Stadium Temerloh semalam. Turut hadir, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Akbar Abu dan Presiden Persatuan Bola Sepak Temerloh (PBST), Datuk Dr. Sallehuddin Ishak. Sementara itu, Akbar melahirkan rasa syukur apabila Stadium Temerloh yang boleh memuatkan 4,000 penonton layak dipilih sebagai tempat pertandingan Liga FAM. Beliau berterima kasih kepada FAM yang selama ini memberikan bimbingan dan nasihat dari segi teknikal bagi memastikan Stadium Temerloh dipilih menjadi gelanggang perlawanan. "Saya juga berterima kasih kepada Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) yang banyak mengeluarkan peruntukan dan tenaga bagi memastikan kejayaan ini. "Ini juga adalah cetusan idea Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah untuk membawa perlawanan diadakan di sini," katanya. Sallehuddin pula berkata, pihaknya difahamkan pertandingan pertama Liga FAM membabitkan pasukan Shahzan Muda akan diadakan pada pertengahan bulan depan. ''Stadium ini akan menjadi venue perlawanan hampir setiap minggu," katanya. Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Nor Mansor, bagi memastikan keselamatan penonton, seramai 50 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan berkawal pada setiap perlawanan diadakan. ''Kita memberi jaminan keselamatan penonton yang hadir dan juga keselamatan pengguna jalan raya lain. ''Lencongan arah trafik akan dibuat jika perlawanan berlangsung melibatkan laluan ke stadium tanpa mengubah aliran trafik dalam bandar," katanya. | ||
Warga emas terkejut ubi keledek gergasi di halaman rumah Posted: Warga emas terkejut ubi keledek gergasi di halaman rumah
KUANTAN 30 Jan. - Seorang warga emas terkejut apabila mendapati objek yang disangka busut, rupa-rupanya adalah sebiji ubi keledek gergasi di halaman rumah mereka di Jalan Sungai Ular Damai Satu di sini semalam. Ubi keledek atau nama saintifiknya 'Ipomoea Batatas' yang berukur lilit 145 sentimeter dan seberat 10 kilogram itu hampir menyamai sebiji tayar kereta Perodua Kancil. Menurut pemiliknya, Wan Ramlah Wan Omar, 64, dia menanam ubi berkenaan di halaman rumahnya kira-kira 11 bulan lalu selepas mengambil anak pokok itu dari rumah salah seorang saudaranya di Sungai Lembing dekat sini. ''Pada minggu lalu anak saya, Zulkarnain Awang Shafie, 40, memotong rumput dan daun pokok ubi itu yang menjalar di halaman rumah sebelum menyedari kewujudan objek yang disangkakan busut. "Saya terkejut apabila mendapati saiz ubi itu besar dan tidak menyangka kerana ketika ditanam saya tidak pernah membajanya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini. Menurut Wan Ramlah, dia pelik apabila ubi tersebut membesar sehingga saiz tersebut sedangkan ubi keledek yang ditanam bersebelahannya hanya bersaiz normal. Dia percaya ubi keledek gergasi itu ada kaitan dengan mimpinya kelmarin. ''Kelmarin, saya bermimpi berkunjung ke majlis kenduri rumah saudara dan terkejut melihat pelbagai jenis masakan dihidangkan dan apa yang peliknya, hanya seorang yang hadir pada majlis kenduri tersebut. "Saya tidak pasti sama ada mimpi tersebut ada kaitan dengan ubi gergasi atau ia hanya mainan tidur," katanya. Wan Ramlah memberitahu, dia tidak keberatan untuk menjual ubi keledek gergasi itu jika ada pihak yang berminat. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan