Khamis, 27 Januari 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Novel Interlok kekal diguna, bahagian sensitif dipinda

Posted: 26 Jan 2011 11:58 PM PST

KUALA LUMPUR, 27 Jan — Novel Interlok kekal digunakan sebagai teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan Lima dengan pindaan dibuat kepada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India, demikian diumumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata satu panel bebas akan diwujudkan untuk mengkaji bentuk pindaan dan mengemukakan perakuan kepada kerajaan.

"Keputusan mengekalkan novel ini dengan membuat pindaan supaya tidak menyinggung perasaan kaum India adalah jalan penyelesaian terbaik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu menimbulkan kontroversi berikutan keputusan Kementerian Pelajaran memilih novel itu sebagai teks sastera Tingkatan Lima tahun ini kerana didakwa terdapat perkataan yang menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini.

Sebelum beberapa badan mewakili masyarakat India termasuk MIC meminta Putrajaya menarik balik novel Interlok daripada digunakan sebagai bahan teks sastera Tingkatan Lima.

Penggunaan novel karya Abdullah, yang diterbitkan DBP sebagai teks sastera itu, menimbulkan kontroversi kerana ada kandungannya dikatakan menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini.

Antara perkataan yang menjadi pertikaian ialah rujukan "paria" dan dilabelkan seperti "lembu" dan "kambing".

Dipetik Bernama hari ini, Muhyiddin berkata, panel yang diputuskan pihaknya akan dianggotai pakar bahasa, ahli akademik, sasterawan dan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka serta wakil masyarakat India.

"Saya menjangkakan pindaan ini akan dapat dibuat dalam masa yang terdekat," katanya.

Muhyiddin juga menegaskan bahawa novel Interlok hanya akan digunakan setelah pindaan disiapkan dan diedarkan ke sekolah-sekolah.

Sementara pindaan itu disiapkan, beliau berkata Kementerian Pelajaran akan mengarahkan guru-guru untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Malaysia dengan menggunakan silibus yang sedia ada untuk tidak menjejaskan pembelajaran murid.

"Saya percaya kita mempunyai masa yang cukup untuk membuat pindaan secara teliti supaya tidak timbul lagi sebarang pertikaian mengenai novel Interlok selepas ini," katanya.

MENYUSUL LAGI

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Soi Lek: Demam politik rakyat Malaysia lebih tinggi

Posted: 26 Jan 2011 11:52 PM PST

Dr Chua berkata suruhanjaya tersebut akan menangani gambaran wujudnya "agenda tersembunyi". — gambar fail

LABIS, 27 Jan — MCA mengalu-ngalukan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk meluaskan skop suruhanjaya yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock, kata Presidennya MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Beliau berkata parti pembangkang telah mempolitikkannya untuk mewujudkan gambaran bahawa "ada yang disembunyikan atau agenda tersembunyi."

"Dengan suruhanjaya ini, semua ini akan reda. Di Malaysia, malangnya, setiap isu kecil dipolitikkan, demam politik di kalangan rakyat Malaysia adalah lebih tinggi... kerana sering berpolitiking oleh kedua-dua pembahagian politik.

"Ini tidak baik bagi sebuah negara kerana sebagai seorang pemimpin, hendaklah melakukan untuk pembangunan sosio-ekonomi negara, dan bukan terus berpolitiking," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan bahawa Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dilantik sebagai pengerusi suruhanjaya itu setelah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Suruhanjaya itu terdiri daripada dua bekas Hakim Mahkamah, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan bekas Hakim Mahkamah Rayuan  Datuk T. Selventhiranathan serta dua pakar forensik — perunding patologis forensik di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh, dan perunding pakar psiakiatri forensik dan Dekan Fakulti Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri, Datuk Saripuddin Kasim, dilantik sebagai setiausaha suruhanjaya itu bersama-sama anggota lain termasuk Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh dan Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Kwan Li Sa.

Skop lain rujukan suruhanjaya itu bagi menyiasat sama ada terdapat sebarang tidak kewajaran semasa menyoal siasat Teoh Beng Hock dalam Laporan Shah Alam 0052/2009 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan Perintah-perintah Tetap dan Amalannya, dan untuk mencadangkan tindakan yang sesuai, jika perlu.

Najib berkata suruhanjaya itu hendaklah menyiapkan siasatan dalam masa tiga bulan dari tarikh pelantikannya dan laporan tersebut akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong. Teoh, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat 5 koridor Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberikan keterangan di Pejabat SPRM, yang terletak di tingkat 14, bangunan itu.

Pada 5 Julai tahun ini, Koroner dalam inkues kematian Teoh menyampaikan keputusan terbukanya.

Ekoran itu, Najib pada 7 Januari mengumumkan untuk menubuhkan suruhanjaya tersebut. — Bernama

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan