Rabu, 26 Januari 2011

Malaysiakini :: Berita

Malaysiakini :: Berita


Faktor manusia, jalan raya penyumbang kemalangan

Posted: 26 Jan 2011 07:01 PM PST

Satu tinjauan online baru-baru ini oleh 'Malaysians Unite for Road Safety' menunjukkan selain faktor manusia, keadaan jalan raya juga menjadi penyumbang kepada nahas jalan raya.

Dalam tinjauan itu (http://www.mufors.org.my), 61.6 peratus daripada responden percaya faktor manusia paling banyak menyumbang kepada kemalangan sementara 15.6 peratus daripada responden menyalahkan keadaan jalan raya.

Memang benar keadaan jalan raya juga menyumbangkan kepada kemalangan dan atas sebab itulah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) tampil dengan terbitan bertema 'Buku Panduan bagi Audit Trafik dan Keselamatan Jalan Raya'(METRA) untuk mengesyorkan jalan penyelesaian kepada permasalah itu.

Laporan ini adalah sebagai pelengkap kepada Garis Panduan Audit Keselamatan Jalan Raya Kementerian Kerja Raya bagi menentukan aspek keselamatan jalan raya dan projek jalan raya di Malaysia.

Para pengguna akan dapat memahami jalan yang penting bagi mereka dan mengambil tindakan perlu berhubung isu-isu berkaitan keselamatan.

METRA akan membantu kerajaan tempatan, jurutera, juru audit, penyelidik serta institut pengajian tinggi untuk mengetahui lebih lanjut akan keadaan jalan raya di negara.

Ketua Pengarah MIROS Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah baru-baru ini berkata keselamatan jalan raya bertumpu kepada tiga faktor kritikal - pemandu, kenderaan dan jalan raya.

"Dengan memastikan jalan di Malaysia turut menyepadukan ciri-ciri keselamatan yang tinggi, kami dapat membantu dengan berkesan untuk mengurangkan bilangan kemalangan jalan raya, kematian dan kecederaan," kata beliau dan menambah kata isu-isu berkaitan dengan kenderaan dan jalan raya boleh ditangani secara sistematik berbanding mengubah sikap pemandu yang lebih sukar untuk dilakukan.

Kejadian kemalangan jalan raya menimbulkan kebimbangan serius di kalangan pengguna jalan raya khasnya memandangkan angka maut yang tinggi. Jumlah besar kematian dalam siri kemalangan tunggal terutama membabitkan bas adalah sesuatu yang membimbangkan.

Kemalangan bas persiaran di Simpang Pulai, Cameron Highlands, Disember lepas yang menyebabkan 25 pelancong Thai dan dua warga Malaysia terbunuh merupakan contoh baik akan hakikat ini.

Suruhanjaya Sosial dan Ekonomi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik (UNESCAP) mencatatkan 52,742 kes rakyat Malaysia terbunuh atau cedera dalam kemalangan jalan raya pada 2008 sementara Indonesia dengan bilangan penduduk 10 kali lebih daripada populasi Malaysia, hanya mencatatkan 22,702 kes pada tahun yang sama.

Jadi persoalan di sini ialah sama ada pemandu dan kenderaan mereka yang harus dipersalahkan ataupun jalan sedia ada tidak menepati piawaian keselamatan.

Walaupun jalan di Malaysia menepati piawaian keselamatan dunia, sebahagian daripada pengguna jalan raya masih ragu akan hakikat ini seperti yang dapat dilihat daripada keputusan tinjauan ini.

Antara faktor yang dibahaskan ialah sejauh mana sesuainya rekabentuk jalan dan aspek penyenggaraan.

Beberapa daripada laluan jalan raya di Malaysia menghadapi kekurangan dari segi rekabentuk dan penyenggaraan, kerosakan dan isu-isu pengurusan dalaman daripada pihak bertanggungjawab.

Mungkin segar dalam minda rakyat Malaysia siri kejadian kemalangan maut berdekatan plaza tol lama di Jelapang, Ipoh. Ini merupakan contoh baik jalan itu sendiri menjadi faktor penyumbang kepada siri tragedi di situ.

Pada 2008 PLUS Expressways Berhad merekabentuk semula laluan Jelapang dalam usaha meningkatkan aspek keselamatan dan menambahbaik aliran trafik. Laluan baru ini dibuka kepada umum pada Julai 2009 dan sejak itu tiada tragedi serius dicatatkan di situ.

METRA telah mempertimbangkan faktor pengguna jalan raya dalam garis panduannya. Garispanduan ini adalah mudah untuk digunakan dan akan menggalakkan lebih banyak audit dan dengan itu memastikan jalan di Malaysia selamat.

Pihak berkuasa tempatan adalah antara sasaran penting bagi MIROS kerana mereka bertanggungjawab secara langsung bagi pembinaan dan pengurusan jalan rayadi kawasan bidangkuasa masing-masing dan boleh menyumbang secara langsung ke arah inisiatif memastikan jalan lebih selamat bagi pengguna.

"Keselamatan jalan raya merupakan usaha kolektif dan tanggungjawab semua pihak. Soal kawasan dan bidangkuasa tidak harus timbul sehingga ia melewatkan tindakan wajar untuk memperbetulkan keadaan dan mendedahkan pengguna jalan raya kepada risiko", kata Ahmad Farhan.

Bagi METRA terdapat dua jenis audit, iaitu audit utama dan audit sekunder.

Audit utama meliputi faktor yang termasuk lokasi dan saiz jalan raya, konfigurasi jalan, jenis mukabumi yang terbabit, kesesuaian had laju berbanding bentuk mukabumi, pelan jalan dan geometri, jarak penglihatan, pemandangan pemandu serta kecekapan operasi dan kawalan.

Sementara itu, permukaan jalan, objek fizikal tepi jalan, rekabentuk jalan dan kehadiran kemudahan adalah antara perkara yang tersenarai dalam audit sekunder.

METRA juga meliputi pernilaian bagi pelbagai senario sebagai contoh situasi di persimpangan, keberkesanan lampu isyarat dan kesesuaian infrastruktur motosikal, antara beberapa daripada aspek.

Sementara itu, isu-isu lain yang diliputi termasuk menilai keperluan lorong mendaki, memasang lampu amaran serta jajaran pokok bersebelahan jalan.

Dengan pelancaran METRA pada pertengahan 2011, salinan percuma akan dihantar kepada pelbagai pihak berkuasa tempatan serta ketua-ketua bahagian terpilih di Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Pihak-pihak berminat boleh menghubungi Bahagian Terbitan dan Pengurusan Pengetahuan MIROS di 03-89249200 atau faks 03-87332005.

Sementara pembina jalan raya berusaha membetulkan keadaan, orang ramai juga perlu memainkan peranan selaras dengan usaha ini.

Pada 2008, Malaysia kerugian RM7.8 bilion daripada potensi KDNK oleh kerana kemalangan jalan raya.

Kesimpulannya, pengguna jalan raya tetap perlu memainkan peranan utama dalam menjamin keselamatan jalan raya.

--Bernama

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Pekerja bank tubuh kesatuan dalaman

Posted: 26 Jan 2011 06:49 PM PST

Pekerja bukan eksekutif Maybank telah menubuhkan kesatuan dalaman bagi mewakili kepentingan mereka serta menyelesaikan isu berbangkit menerusi rundingan, dan bukannya konfrontasi.

Ia ditubuhkan pada Oktober tahun lepas.

Dikenali sebagai Kesatuan Pekerja-Pekerja Bukan Eksekutif Maybank (Mayneu), ia ddidaftarkan di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959 pada 3 Jan lepas, setelah mendapat pengiktirafan Kementerian Sumber Manusia.

Mayneu kini berusaha mencapai keanggotaan seramai 3,500 orang dari seluruh negara bagi membolehkannya diiktiraf Maybank.

Dalam kenyataan pertama yang dikeluarkan hari ini, kesatuan itu berkata sebaik sahaja diiktiraf, pekerja bukan eksekutif bank tersebut akan diwakili Mayneu.

Setakat ini, kesatuan itu mempunyai lebih 1,500 anggota berdaftar.

Maybank adalah bank terbesar di Malaysia dengan lebih 380 cawangan domestik dan 90 cawangan antarabangsa.

Sementara itu, Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) berkata Mayneu tidak akan menggugat kedudukan 7,000 pekerja Maybank yang menjadi anggota NUBE.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata NUBE akan terus memperjuangkan hak anggotanya.

--Bernama

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan