Khamis, 27 Januari 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


4 beradik dihalau ke hutan

Posted: 26 Jan 2011 10:05 AM PST

SETIU: Gara-gara kakak sulung gagal memberikan wang gaji hasil kerja sambilan di kedai makan kepada bapanya, empat beradik iaitu tiga perempuan berusia lapan, 10 dan 14 tahun serta seorang lelaki berusia tujuh tahun terpaksa bermalam dalam hutan ketika hujan lebat berhampiran Kampung Guntung dekat sini, selepas dihalau bapa mereka yang panas baran, awal pagi semalam.

Selain itu, kakak sulung berusia 14 tahun yang sudah tidak bersekolah mendakwa turut diterajang lelaki berusia 59 tahun itu sebelum tiga lagi adiknya dihalau keluar dari rumah mereka di Kampung Saujana di sini, kira-kira jam 1 pagi.

Lebih memeranjatkan, penderitaan empat beradik yang terpaksa berlapar sepanjang malam dalam kesejukan itu membongkar kejadian lebih tragis kerana mereka sebenarnya sering didera lelaki terbabit apabila disepak, diterajang, ditumbuk, dihentak dengan hulu parang serta dicucuh puntung rokok.

Kesan kecederaan semua mangsa terbongkar selepas mereka dibawa ke Hospital Setiu (HS) di sini, untuk rawatan lanjut.


Sejarah hitam empat beradik itu berakhir apabila diselamatkan orang ramai yang menemui mereka di sebuah wakaf di Kampung Guntung, selepas dihalau lelaki berkenaan yang 'naik hantu' gara-gara kakak sulung gagal memberikan wang diminta.


Lelaki terbabit juga dikatakan berang dengan tindakan seorang daripada anaknya menghantar SMS kepada ibu mereka yang melarikan diri dari rumah sejak September tahun lalu.

Harian Metro difahamkan, walaupun ibu kanak-kanak berkenaan meninggalkan mereka, dia masih berhubung melalui telefon dan sejak ketiadaannya, kehidupan empat beradik itu tidak terurus.

Semua kanak-kanak berkenaan ditemui seorang penduduk kampung yang kebetulan melalui kawasan hutan itu untuk menghantar anaknya ke sekolah yang kemudian memaklumkannya kepada penduduk kampung.

Mereka kemudian menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Setiu yang kemudian memaklumkan jabatan itu tidak mempunyai kuasa sebelum mereka menghubungi Balai Polis Permaisuri.

Berikutan itu, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan menyelamatkan kanak-kanak berkenaan yang kelihatan amat letih dan lesu sebelum menghantar mereka ke HS untuk pemeriksaan kesihatan dan kini dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Ketika dirawat, detik hitam empat beradik terbabit terungkai apabila mereka didapati mempunyai kesan lebam dan luka lama dipercayai akibat didera.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu dan berkata, semua kanak-kanak itu kini ditempatkan di HSNZ selepas dirujuk dari HS.

"Laporan polis itu dibuat orang ramai yang terserempak dengan kumpulan kanak-kanak terbabit dalam keadaan tidak bermaya dan letih sebelum menghubungi polis meminta bantuan.

"Sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi dimaklumkan dan membawa semua mangsa ke hospital untuk rawatan sebelum didapati mengalami kecederaan disyaki akibat didera," katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Susulan aduan itu, beliau berkata, kira-kira jam 7.15 malam semalam, polis menahan bapa kanak-kanak terbabit dan perintah reman terhadapnya akan dipohon bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31, Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Nasib bayi tak dibaham anjing

Posted: 26 Jan 2011 09:53 AM PST

SEREMBAN: "Nasib baik saya cepat sampai, jika tidak entah apa nasib bayi itu kerana ada anjing berkeliaran di situ," kata anggota tentera, Nuramsya Adam Hadri, 22, yang menemui seorang bayi perempuan ditinggalkan atas bonet kereta di tempat letak kenderaan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), kira-kira jam 8.15 malam kelmarin.

Nuramsya Adam berkata, selepas menunggu seketika dia membawa bayi itu ke pondok keselamatan hospital berkenaan.

Menceritakan kejadian itu, Nuramsya berkata, dia ke keretanya yang diletakkan berhampiran Pusat Rawatan Dialisis untuk pulang ke rumah selepas melawat isteri dan anak dimasukkan ke hospital kerana demam panas.

"Sebaik tiba berhampiran kereta, saya terdengar tangisan bayi lalu melakukan pemeriksaan sebelum melihat bayi perempuan di atas bonet Perodua Kancil.


"Pada mulanya saya sangka ia ditinggalkan ibunya untuk sementara waktu di situ," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam kelmarin.


Menurutnya, dia membawa bayi itu ke pondok pengawal dan dinasihatkan menghantar ke hospital sebelum membuat laporan di pondok polis berhampiran.

Ketua Puteri Umno Bahagian Rembau, Zuliana Mohd Ridzuan turut melawat bayi malang itu di HTJS.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai penemuan bayi berkenaan.

"Ketika ditemui bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu berada dalam keadaan sihat dan kini ditempatkan di HJTS untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan