Utusan Online - Utara |
Posted: Tiada rumah, masjid diroboh Oleh ASLIZA MUSA
BATU GAJAH 27 JAN. - Dakwaan mengatakan kerajaan negeri telah merobohkan rumah-rumah penduduk dan masjid di negeri ini disifatkan sebagai satu cubaan dan pembohongan besar untuk meracuni pemikiran rakyat supaya membenci kerajaan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman berkata, fitnah yang dilemparkan oleh pihak yang berselindung di sebalik imej Islam itu sengaja diada-adakan bagi menimbulkan perasaan kurang senang di kalangan rakyat. Katanya, sebagai sebuah parti yang berpaksikan imej Islam, tindakan menyebarkan fitnah tersebut dianggap tidak wajar selain mampu mengelirukan rakyat. "Sehingga ke hari ini, kerajaan negeri tidak pernah merobohkan mana-mana rumah rakyat mahupun masjid. Fitnah ini merupakan satu pembohongan dan sengaja ditimbulkan bagi mengelirukan rakyat. "Perbuatan ini menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan memalukan apatah lagi ia dilakukan oleh sebuah parti yang selama ini mengaku membawa kebaikan," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan majlis pelancaran terminal bas Batu Gajah Sentral di sini hari ini. Hamidah berkata, penyebaran melalui risalah itu mula dikesan sejak dua minggu lalu di sekitar daerah ini dan dilakukan oleh dewan pemuda sebuah parti di sini. Katanya, pihaknya telah membuat laporan polis berhubung isu tersebut dan menggesa penyebaran fitnah itu dihentikan segera. Dalam perkembangan lain, Hamidah memberitahu, pihaknya tidak pernah mengeluar dan menjual resit untuk ditukarkan dengan barangan keperluan seperti beras dan gula. Katanya, orang ramai yang terpedaya dan membeli resit bernilai RM10 itu telah diminta menuntut barangan tersebut di pejabatnya di sini. "Kita telah menerima beberapa aduan mengenai perkara ini. Mereka datang ke pejabat saya dan menuntut beras dan gula sedangkan kami tidak pernah mengeluarkan sebarang pertukaran menggunakan resit. "Ini perbuatan yang tidak bertanggungjawab kerana mencemarkan nama baik dan kita telah pun membuat laporan polis mengenainya agar selepas ini tiada lagi terpedaya dengan penipuan itu," katanya. | ||
Nilai harta diselamat berganda Posted: Nilai harta diselamat bergandaOleh SAFINA RAMLI
ALOR SETAR 27 Jan. - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berjaya menyelamatkan harta benda orang awam bernilai RM811 juta daripada musnah dalam kebakaran pada tahun lalu berbanding RM408 juta pada 2009. Pengarah JBPM negeri, Haron Tahir berkata, pada tahun lalu jumlah kerugian akibat kebakaran adalah sebanyak RM44 juta berbanding RM38 juta pada 2009. "Kes kebakaran seperti membakar jerami, sampah pula semakin meningkat iaitu sebanyak 692 kes tahun ini berbanding 601 kes pada 2009. "Selain itu, kes kebakaran yang berpunca daripada elektrik juga meningkat kepada 467 kes pada tahun lalu berbanding 400 kes pada sebelumnya," katanya selepas majlis Perbarisan Tahunan JBPM Negeri Kedah dan Pelepasan Pasukan Pemantau Ops Tahun Baru Cina di perkarangan ibu pejabat JBPM di sini hari ini. Menurut Haron, jumlah kematian akibat kebakaran di negeri ini pada 2010 berkurangan sebanyak empat orang berbanding 27 orang pada 2009. "Jumlah kecederaan pada 2009 adalah tiga orang manakala lapan orang cedera dalam kebakaran pada 2010. "Pihak kami juga menerima 23 panggilan palsu sepanjang tahun lalu dan kami telah berjaya mengesan individu yang melakukan perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu serta menasihati mereka agar tidak melakukan perbuatan tersebut kembali," tegasnya. Dalam pada itu, Haron memberitahu, pihak bomba juga mensasarkan 60 saat sahaja untuk jentera bomba keluar dari balai ke lokasi kebakaran atau kemalangan. "Cabaran utama yang dihadapi oleh mana-mana perkhidmatan bomba di dunia ialah untuk sampai ke tempat kecemasan dalam masa yang singkat. "Bagi memastikan kita dapat segera sampai ke lokasi kejadian, setiap anggota mestilah sentiasa bersedia untuk bertindak dengan cepat," katanya. | ||
Masih tiada air di Tabika Bayan Lepas Posted: Masih tiada air di Tabika Bayan LepasPULAU PINANG 27 Jan. - Janji Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) negeri untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas di Bayan Lepas masih lagi tinggal janji. Kemas negeri sebelum ini memberi jaminan bahawa masalah tersebut akan diselesaikan dalam tempoh seminggu iaitu selewat-lewatnya 15 Januari lalu. Namun sehingga hari ini, ia masih belum menemui jalan penyelesaian. Malah, guru dan pembantu tabika berkenaan terpaksa menyambung paip sendiri kerana tidak sanggup untuk mengangkut air dari Pusat Kesihatan Barat Daya yang jaraknya kira-kira 50 meter. Dipercayai kerja-kerja mengorek tanah untuk pemasangan paip dan meter bekalan air di hadapan sekolah berkenaan yang tertangguh sejak 16 Januari lalu menjadi antara punca masalah berkenaan. Pengarah Kemas negeri, Shahrulnizam Jantan mengesahkan kelewatan pemasangan meter baru tersebut. "Sepatutnya meter tersebut siap dipasang pada 16 Januari lalu, tetapi ekoran kontraktor berhadapan dengan masalah teknikal, menyebabkan ia terpaksa ditangguhkan lagi buat sementara waktu. "Namun begitu, sebaik sahaja pemasangan meter siap dilakukan esok, bekalan air ke tabika berkenaan akan kembali pulih seperti biasa," katanya. Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan keluhan ibu bapa kepada 30 orang murid tabika tersebut mengenai masalah ketiadaan bekalan air. Difahamkan tabika berkenaan yang terletak bersebelahan dengan dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berkongsi meter yang sama. Namun begitu, dikatakan beberapa pihak yang tidak puas hati dan mendakwa operasi tadika itu menyebabkan bil air naik mendadak sehingga mencecah RM1,000 sebulan menyebabkan bekalan air ke tabika berkenaan dipotong. "Ketika ini paip dan meter air telah diasingkan daripada dewan tersebut yang menelan kos perbelanjaan sebanyak RM3,000," kata Shahrulnizam. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan