Utusan Online - Pahang |
Mendekati kehidupan Orang Asli Posted: Mendekati kehidupan Orang Asli Oleh HARIS FADILAH AHMAD
KUALA LIPIS 31 Jan. - Mendekati kehidupan masyarakat Orang Asli di Pahang merupakan satu pengalaman menarik bagi orang ramai yang ingin mengenali suku kaum golongan itu. Sebagai contoh, perkampungan Orang Asli Pantos di Hulu Jelai dekat sini merupakan antara kawasan popular kerana ia sering dikunjungi oleh pelancong tempatan dan asing. Pelawat yang mengunjungi kampung itu akan terpegun melihat projek perumahan baru dilaksanakan oleh kerajaan untuk penempatan semula golongan itu menjalani kehidupan yang lebih tersusun. Malah terdapat sebuah Sekolah Kebangsaan Pantos yang menjadi tempat pembelajaran kanak-kanak Orang Asli di situ mendapat pendidikan sempurna seperti kaum lain di negeri ini. Kampung tersebut yang dihuni oleh suku kaum Semai Pantos menjalani rutin harian seperti memburu dan mengutip hasil hutan untuk kegunaan sendiri atau dijual. Ada juga di kalangan mereka yang bekerja di ladang kelapa sawit yang dibuka berhampiran tempat tinggal mereka. Selain kediaman unik yang dibina menggunakan buluh dan kayu, setiap kawasan penempatan itu juga akan dilengkapi dengan kemudahan bekalan elektrik. Mereka menggalas bakul untuk meletakkan barang jualan seperti rebung, akar kayu, daun herba, bunga hutan dan madu untuk dijual kepada pelawat yang singgah di Pusat Pelancongan Inap Desa Kuala Medang dan selebihnya dihantar ke Pekan Sungai Koyan. Kawasan penempatan Orang Asli Pantos dihubungi hampir 200 penduduk daripada 25 buah keluarga yang mendiami di situ sejak sebelum merdeka. Kebanyakannya sudah memeluk agama Islam sejak 20 tahun lalu. Melihat keunikan budaya dan cara hidup masyarakat Orang Asli ini, pastinya ramai yang ingin mempelajari dan mengetahui budaya mereka dengan lebih mendalam. Para pelawat akan dibawa mendekati keindahan alam semula jadi selain didedahkan dengan keunikan kehidupan masyarakat Orang Asli seperti kraf tangan, persenjataan, makanan, kebudayaan, tarian, lagu dan alat muzik. Pengetahuan mendalam mengenai rahsia dan selok belok hutan merupakan kelebihan kepada mereka untuk menjadi pemandu pelancong di kawasan itu. Keunikan makanan tradisional masyarakat Orang Asli ialah cara memasak nasi, ikan dan ayam, ubi kayu, ubi gadung dan ubi jaga dengan cara membakarnya di dalam buluh. Di Kampung Orang Asli Pantos, pelawat akan menemui seorang warga emas, Nurulhidayah Abdullah, 65, yang kerap membuat demonstrasi mengenai masakan tradisional masyarakat Orang Asli menggunakan buluh. Ibu kepada lapan orang anak itu, berkata, untuk memasak nasi, beras dan ubi akan dibasuh terlebih dahulu sebelum dibalut menggunakan daun lereh. "Sementara ayam dan ikan pula akan digaul bersama bahan-bahan seperti cili, garam dan campuran lain dan juga akan dibalut dengan daun lereh bagi tujuan menaikkan aromanya," katanya di sini baru-baru ini. Menurut beliau, makanan yang telah dibalut kemudiannya akan dimasukkan ke dalam buluh dan dibakar antara 30 hingga 45 minit sehingga masak. ''Pelancong asing yang singgah di sini akan teruja dengan keenakan masakan di dalam buluh," katanya. Bagi Penghulu Mukim Hulu Jelai, Mohd. Razaki Abdul Razak, pelawat akan didedahkan dengan keunikan tarian Sewang yang merupakan salah satu adat masyarakat Orang Asli di Jelai dan Cameron Highlands. Katanya, tarian itu asalnya untuk tujuan pemujaan dilakukan dalam bentuk tarian dan nyanyian yang diketuai oleh seorang bomoh dikenali sebagai Tok Halaq. "Tetapi sehingga kini telah pun diadaptasi dengan unsur kontemporari dengan pembaharuan irama lagu tetapi pakaian masih kekal dengan kain batek, irama ketukan buluh dan pemakaian selempang serta tanjak berasaskan daun kelapa. ''Kebiasaannya penduduk Orang Asli seakan-akan berpesta kerana tarian ini dilangsungkan selama tiga hingga enam hari mengikut tujuan seperti menyambut kelahiran, ketika kematian, berkhatan, mengubati penyakit dan membuka pantang," katanya. Mohd. Razaki yang juga Pengerusi Projek Inap Desa Kuala Medang, berkata, pengalaman unik lain yang akan didedahkan kepada para pelancong adalah dari segi amalan perubatan menggunakan sumber alam semula jadi seperti buah, akar dan daun pokok. ''Keistimewaan masyarakat Orang Asli juga boleh ditonjolkan menerusi hasil kreativiti kraf tangan mereka seperti ukiran dan juga anyaman," katanya. Justeru jelasnya, menerusi inisiatif Kementerian Pelancongan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), sebuah produk baru pelancongan iaitu Pakej Pelancongan Orang Asli telah dilancarkan tahun lalu. Katanya, pengenalan pakej tersebut bertujuan menarik minat pelancong domestik dan luar negara yang menggemari pelancongan ekobudaya. Tambahnya, ia turut mempunyai matlamat merealisasikan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli melalui sektor pelancongan. | ||
Jakoa sasar sifar miskin menjelang 2020 Posted: Jakoa sasar sifar miskin menjelang 2020
CAMERON HIGHLANDS 31 Jan. - Kerajaan Persekutuan tetap memberi fokus utama kepada usaha mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan Orang Asli di negara ini dengan mewujudkan kelas menengah kaum minoriti itu di bawah strategi pembangunan sehingga akhir Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10). Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, berdasarkan rekod sebelum ini sebanyak 65.6 peratus kadar kemiskinan pada tahun 2006 berjaya dikurangkan sehingga 49 peratus pada tahun lalu. Beliau berkata, kementerian bergerak pada landasan betul dan tidak perlu dipertikaikan oleh mana-mana pihak kerana aspirasi pembasmian kemiskinan Orang Asli menjurus kepada peningkatan pendapatan keluarga masyarakat itu. "Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menyasarkan sehingga 25 peratus kadar kemiskinan dikurangkan pada 2015 seterusnya memenuhi matlamat sifar menjelang 2020," katanya kepada pemberita selepas melancarkan nama dan logo baru jabatan itu di sini baru-baru ini. Menurut Shafie, kerajaan memberi tumpuan dalam bidang pendidikan kerana ia mampu menjana pembangunan modal insan di kalangan anak Orang Asli sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka. Justeru, katanya, iltizam kerajaan membangunkan masyarakat itu menerusi bidang pendidikan berhasil apabila seramai 832 orang anak Orang Asli berjaya menamatkan pengajian di universiti tempatan dan swasta sejak tahun 1981. "Tahun ini sahaja seramai 200 penuntut Orang Asli berada di institut pengajian tinggi awam yang mengambil pelbagai jurusan profesional sedang dipantau oleh kerajaan khususnya peluang mengisi sektor pekerjaan dan keusahawanan menjelang tahun 2015," katanya. Shafie berkata, kuantitatif kemasukan pelajar Orang Asli ke universiti tempatan membuktikan kecemerlangan dalam pembangunan modal insan, tetapi kerajaan mahu golongan itu terus melakar kejayaan dalam semua bidang agar seiring dengan kaum lain di negara ini. Beliau menambah, sasaran kerajaan menyediakan prasarana pelajaran yang lengkap di pedalaman dalam kerangka membolehkan anak-anak Oran Asli selesa mengikuti pelajaran formal bermula di peringkat rendah agar memudahkan mereka berkenaan meneruskan pembelajaran sehingga ke peringkat tinggi. | ||
Posted: Lesen TOL sehingga 2013Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF KUANTAN 31 Jan. - Seramai 2,000 pemegang lesen menduduki sementara (TOL) di Cameron Highlands menerima berita baik apabila kerajaan negeri mengumumkan lesen mereka diperbaharui secara automatik sehingga 2013. Sebelum ini, pemegang lesen tersebut yang kebanyakan penanam sayur memperbaharui lesen TOL setiap tahun untuk mengelak daripada diusir keluar. Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kemudahan itu diberi kepada tanah TOL yang digunakan untuk menjana pendapatan seperti penanaman sayur-sayuran. "Inilah cara kita menyelesaikan masalah tanah TOL di Cameron Highlands yang juga satu daripada isu sensitif yang sering dibangkitkan sebelum ini. "Sebelum ini kita bercadang tanah itu diserahkan semula kepada kerajaan supaya sebahagiannya boleh dikongsi bersama pemohon lain tetapi tidak ramai yang bersetuju dengan penyelesaian berkenaan," katanya. Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu yang dibangkitkan oleh beberapa perwakilan pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) mengenai tanah TOL di Cameron Highlands di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini semalam. Adnan yang juga Pengerusi BN Pahang berkata, usaha itu merupakan penyelesaian terhadap rungutan pemegang TOL yang terpaksa memperbaharui lesen berkenaan setiap tahun. Katanya, langkah sedemikian dibuat berikutan pemegang lesen tersebut menjana pendapatan negara dengan mengusahakan tanah berkenaan dengan aktiviti pertanian. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan