Isnin, 31 Januari 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Gaduh rebut parkir

Posted: 30 Jan 2011 10:45 AM PST

KUALA LUMPUR: Keadaan laluan utama di Jalan Bukit Angkasa, Pantai Dalam, di sini, penuh sesak dengan deretan kenderaan yang diletak sesuka hati di kiri dan kanan jalan terutama ketika waktu puncak sehingga mencetuskan pergaduhan di kalangan pengguna jalan raya.

Lebih memburukkan keadaan apabila kesesakan itu semakin bertambah setiap kali bas awam yang melalui kawasan terbabit memberhentikan kenderaan di tengah jalan raya untuk mengambil dan menurunkan penumpang ekoran laluan yang amat sempit.


Tinjauan Harian Metro di kawasan itu mendapati deretan kenderaan yang diletak sesuka hati di bahagian tepi jalan raya itu mengakibatkan laluan sentiasa sibuk dan menyebabkan risiko berlaku kemalangan bertambah.

Peniaga, Zainab Saleh, 55, berkata, masalah itu berlaku sejak beberapa tahun lalu berpunca daripada kepesatan pertumbuhan kawasan berkenaan yang membuatkan jumlah penduduk meningkat sekali gus menjadikan kawasan itu penuh sesak saban hari.


"Sikap penduduk dan orang awam yang mementingkan diri sendiri dengan meletak kenderaan mereka sesuka hati tanpa mematuhi undang-undang mengakibatkan masalah menjadi semakin rumit.


"Setiap hari saya berniaga di sini dan melihat pelbagai sikap dan ragam pengguna jalan raya yang gemar meletakkan kereta mereka di bahagian yang salah dan perkara itu menjadikan keadaan jalan di sini sangat sesak terutama pagi dan petang," katanya.

Penduduk, Karim Ahmad Fuad, 35, berkata, masalah meletakkan kenderaan sesuka hati menyebabkan terjadi pergaduhan kecil antara penduduk di kawasan itu selain menyebabkan kemalangan.


Menurutnya, perkara itu sudah beberapa kali dibincangkan bersama persatuan penduduk, tetapi sehingga kini belum menemui penyelesaian terbaik kerana ia bukan saja membabitkan penduduk, tetapi juga orang awam.

"Perkara ini perlu diselesaikan secara bersama secepat mungkin bagi mengelak masalah lebih besar selepas ini terutama untuk memastikan tiada nyawa akan terkorban atau berlaku pergaduhan besar hanya untuk berebut parkir," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

'Tangan ajaib' sukarkan usaha banteras seludup kayu bakau

Posted: 30 Jan 2011 10:44 AM PST

PUTRAJAYA: Tindakan sesetengah pihak yang 'menghalalkan' kecurian dan penyeludupan kayu bakau ke Malaysia atau Indonesia boleh menjejaskan usaha Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) membanteras kegiatan itu di negeri terbabit.

Penolong Pengarah Perhutanan Negeri (Operasi dan Penguatkuasaan) JPNS, Mohd Yussainy Md Yusop berkata, operasi membanteras kegiatan itu yang sering dilakukan dengan kerjasama Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) seolah-olah tiada penamat jika ada 'tangan ajaib' membenarkan aktiviti itu berterusan.


"Dalam satu operasi yang dilakukan pada 28 Januari lalu terhadap sebuah kapal pengangkut di Pelabuhan Klang, kami menemui lebih 2,000 kayu bakau curi dipercayai dari Indonesia yang bernilai RM10 setiap batang.

"Hasil siasatan mendapati, tekong kapal terbabit gagal mengemukakan bukti sumber kayu itu diperoleh dari negara berkenaan mahupun perairan Malaysia. "Bagaimanapun, tekong terbabit memaklumkan dia mempunyai permit import (AP) kayu bakau untuk membawa masuk ke Malaysia," katanya.


Difahamkan, kapal pengangkut itu mendapat kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).


Mohd Yussainy berkata, walaupun tekong itu mempunyai AP, dia gagal menunjukkan sebarang dokumen yang dikeluarkan kerajaan Indonesia melalui Jabatan Perhutanan Negara Indonesia.

"Malah, tiada pedagang Indonesia yang membawa kayu bakau itu mengemukakan dokumen sumber bakau diperoleh. Kita mengesyaki kayu bakau yang dirampas itu ditebang di negara ini untuk diseludup keluar," katanya.


Dalam operasi itu, empat awak-awak termasuk tekong bot ditahan bagi membantu siasatan kerana memiliki hasil hutan tanpa memiliki dokumen sah terhadap sumber kayu terbabit dan gagal menunjukkan bukti ia diperoleh dari Indonesia atau Malaysia.

Katanya, JPNS sudah menghentikan sebarang pengeluaran kayu bakau sejak 1 Julai tahun lalu dan semua lesen pengusaha hasil kayu bakau juga ditamatkan.


"Sejak 1 Julai 2010 sehingga 15 Januari tahun ini, JPNS merampas lebih 200,000 kayu bakau yang mengakibatkan kehilangan hasil hutan besar kepada negeri Selangor.


"Selain itu, seramai lapan pekerja yang terbabit dalam aktiviti mencuri kayu bakau bersama satu dalang sudah didakwa JPNS," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan