Utusan Online - Jenayah |
Dua wanita didakwa dagang bayi Posted: Dua wanita didakwa dagang bayiOleh SITI NOORALINA AHMAD
KUALA LUMPUR 28 Jan. - Dua wanita termasuk seorang warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperdagangkan seorang bayi perempuan yang baru berusia tujuh hari, dua minggu lalu. Yoong Thim Thai, 53, dan Aling Athu, 36, memohon dibicarakan sebaik sahaja pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad. Thim Thai merupakan warga tempatan yang bekerja sebagai pembantu kedai elektrik manakala Aling pula seorang penganggur. Kedua-dua mereka didakwa dengan niat bersama memperdagangkan bayi perempuan bagi tujuan eksploitasi di tempat letak kereta Pasar Raya Tesco Ampang, Ampang Jaya di sini pada pukul 2.30 petang, 14 Januari lalu. Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda. Timbalan Pendakwa Raya, Zuraini Ab. Hamid mencadangkan wang jaminan RM20,000 dikenakan terhadap Thim Thai serta syarat tambahan dia perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan. Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela itu memohon jumlah lebih rendah kerana faktor usianya yang sudah lanjut. Bagaimanapun, bagi Aling pula, tiada sebarang jaminan ditawarkan atas alasan warga asing itu berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah. Mahkamah membenarkan Thim Thai dijamin RM20,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tersebut dan sebutan semula kes ditetapkan pada 28 Februari ini. Pada 18 Januari lalu, media melaporkan bahawa satu sindiket penjualan bayi terbesar berjaya ditumpaskan oleh polis yang menahan sembilan individu termasuk empat warga asing berusia antara 20 dan 50 tahun di sekitar Lembah Klang. Dalam tangkapan itu, seorang bayi perempuan berkulit cerah berusia seminggu berjaya diselamatkan dan kedua-dua tertuduh kes ini juga dipercayai ditangkap di tempat kejadian. Sindiket tersebut yang aktif di sekitar Lembah Klang, Sarawak dan Johor dikesan mempunyai rangkaian antarabangsa melibatkan negara-negara jiran. Menurut polis, bayi-bayi tersebut dijual dengan harga RM15,000 hingga RM20,000 bergantung kepada kesihatan dan rupa paras. | ||
Posted: Tiga menyamar polis ditahanoleh HAMDAN TAWADI BATU PAHAT 28 Jan. - Kecekapan polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan yang menyamar sebagai anggota pasukan itu, kurang dua jam selepas didakwa menyamun dan merogol seorang pekerja kilang warga Vietnam di Sri Gading, di sini tengah malam tadi. Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah malam itu, ketiga-tiga suspek berusia antara 22 dan 38 tahun terbabit menceroboh asrama yang menempatkan pekerja sebuah kilang di Sri Gading. Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd. Aris berkata, kesemua suspek yang berpakaian biasa memberitahu mangsa kononnya mereka adalah anggota polis. "Suspek mengambil telefon bimbit mangsa yang berusia 35 tahun dan kemudian cuba merampas rantai emas yang dipakainya. "Teman lelaki mangsa mengesyaki suspek bukan anggota polis dan menghalang mereka daripada mencuri rantai itu," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Senggarang, di sini hari ini. Ibrahim memberitahu, suspek yang gagal merampas rantai itu kemudian melarikan mangsa dengan menaiki sebuah kereta Proton Iswara. Katanya, teman lelaki mangsa cuba menghalang namun gagal. "Mangsa kemudian mendakwa dibawa ke suatu tempat sebelum dirogol secara bergilir-gilir di tempat duduk belakang kereta," katanya. Menurut Ibrahim, teman lelaki wanita itu kemudian membuat laporan polis selepas dapat mengecam nombor pendaftaran kereta digunakan suspek. "Dalam tempoh satu setengah jam selepas laporan itu dibuat, polis berjaya mengesan dan menahan dua daripada suspek bersama kereta yang dinaiki di kawasan Perindustrian Sri Gading. "Seorang lagi suspek dapat melarikan diri namun ditahan tidak berapa lama kemudian di rumahnya di Sri Gading," ujar beliau.. Ibrahim menambah, mangsa telah dihantar ke Hospital Batu Pahat untuk rawatan dan pengesahan sama ada dia dirogol atau tidak. Kesemua suspek katanya, direman untuk siasatan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai kakitangan kerajaan. "Kes turut disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara 20 tahun dan sebatan," ujar beliau. Ibrahim turut memberitahu, pihaknya menyiasat kemungkinan suspek-suspek turut terbabit dalam enam kes menyamar sebagai polis serta samun di daerah ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan