Utusan Online - Dalam Negeri |
- Pindaan gagal dapat sokongan 2/3
- Lebih 1,000 ahli NGO bantah pinda perlembagaan
- Kerajaan negeri terperangkap mainan politik sendiri
Pindaan gagal dapat sokongan 2/3 Posted: Pindaan gagal dapat sokongan 2/3Oleh HELMI MOHD. FOAD dan ABDUL YAZID ALIAS
SHAH ALAM 24 Jan. – Seperti dijangka, pindaan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959 yang dicadang oleh Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor gagal diluluskan setelah tidak mendapat sokongan majoriti dua pertiga dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. Dalam sesi pengundian secara belah bahagian kira-kira pukul 6.15 petang ini, pindaan tersebut hanya disokong oleh 34 penyokong kerajaan manakala 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) sepakat menolak pindaan tersebut. Sementara itu, Badrul Hisham Abdullah yang mewakili Bebas dihalang menghadiri sidang itu setelah kerusi DUN Pelabuhan Klang yang disandangnya diisytiharkan kosong, Isnin lalu. Kerajaan negeri gagal mendapat empat undi bagi mendapat majoriti dua pertiga kerana mereka sekurang-kurangnya perlu memperoleh sokongan 38 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN. Speaker DUN, Datuk Teng Chang Khim ketika mengumumkan keputusan undian tersebut berkata, meskipun pindaan tersebut lebih suara yang bersetuju, ia tidak dapat diluluskan bagi bacaan kedua dan seterusnya. Katanya, perkara itu diputuskan berdasarkan Perkara 98, Fasal 5 (Bahagian 2) Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor. Sementara itu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui usul pindaan perlembagaan negeri untuk membolehkan beliau memperolehi 'kuasa menasihati' Sultan Selangor tidak dapat dilaksanakan dari awal lagi. Ini kerana katanya, kerajaan negeri menyedari pihaknya tidak mempunyai majoriti dua pertiga kerusi DUN untuk berbuat demikian. Bagaimanapun, beliau berharap cadangan pindaan untuk memberi kuasa kepada Menteri Besar melantik tiga pegawai eksekutif negeri itu dapat dibangkitkan semula selepas pilihan raya umum akan datang. ''Walaupun kita tidak berjaya hari ini, ia tidak akan mematahkan semangat pakatan pembangkang. ''Kami berpendirian bahawa Sultan Selangor dan kerajaan negeri berhak memainkan peranan dalam pemilihan tiga pegawai eksekutif bagi memastikan dasar kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan sempurna," katanya. Pindaan yang dibentangkan di bawah Peraturan 10 (3) Peraturan-Peraturan Tetap Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor bagi mengembalikan kuasa pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Pegawai Kewangan Negeri dan Pegawai Penasihat Undang-Undang Negeri kepada negeri dengan sultan perlu mendapatkan nasihatkan Menteri Besar. Dalam pada itu, ketika ditanya bilakah kerajaan negeri akan membenarkan Datuk Mohammed Khusrin Munawi mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapan Menteri Besar, Abdul Khalid berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama Exco kerajaan negeri. Bagaimanapun, beliau tidak memutuskan bilakah tempoh sebenar perbincangan itu akan diadakan sebaliknya ia bergantung kepada keadaan semasa. Pada sidang akhbar yang sama, Abdul Khalid yang tidak dapat menerima hakikat kegagalannya untuk meluluskan pindaan tersebut meletakkan kesalahan ke atas BN kerana tidak menyokong usaha kerajaan negeri itu. ''Lebih kesal lagi, BN gagal memberikan hujah-hujah yang konkrit dan berkualiti untuk menolak cadangan pindaan itu. ''Jelas penolakan itu dibuat di atas nama politik dan kesetiaan mereka kepada pihak-pihak yang berkuasa di Putrajaya. ''Sepatutnya sebagai wakil rakyat, keputusan mereka perlu berdasarkan kepentingan rakyat," katanya. Malah seperti dijangka sebelum ini, Abdul Khalid menuduh bahawa penolakan BN terhadap pindaan itu membuktikan UMNO sebenarnya tidak menghormati Raja-Raja Melayu dan menghalang peranan mereka dalam institusi Raja Berperlembagaan. ''Walaupun kita mungkin tidak berjaya membuat pindaan, ia tidak akan mematahkan semangat pakatan pembangkang. ''Malah, isu ini telah menguatkan lagi tekad untuk membuktikan kewibawaan kami dan memperoleh majoriti dua pertiga dalam pilihan raya kelak supaya pindaan ini dapat dibangkitkan semula," katanya. Abdul Khalid berkata, pihaknya masih mempunyai pendirian bahawa Sultan Selangor dan kerajaan negeri berhak untuk memainkan peranan dalam pemilihan tiga pegawai ex-officio demi memastikan dasar-dasar negeri dapat dilaksanakan dengan sempurna. ''Walaupun pihak Persekutuan nampaknya terus mengetepikan suara rakyat Selangor dan enggan menghormati semangat federalisme, kerajaan negeri akan berusaha memastikan pentadbiran negeri akan terus berjalan dengan baik dan selancar mungkin demi kebajikan rakyat negeri ini," katanya. Terdahulu perbahasan pindaan tersebut disertai oleh empat wakil BN dengan dimulai oleh Ketua Pembangkang, Datuk Mohamad Satim Diman dan enam wakil pakatan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas. Turut serta berbahas ialah Sulaiman Abd. Razak (BN-Permatang); Datuk Mohd. Samssudin Lias (BN- Sungai Burung) dan Abdul Shukor Idrus (BN-Kuang). Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) pula tampil sebagai wakil penyokong yang pertama bangkit berbahas menyokong pindaan rang undang-undang itu. | ||
Lebih 1,000 ahli NGO bantah pinda perlembagaan Posted: Lebih 1,000 ahli NGO bantah pinda perlembagaanSHAH ALAM 24 Jan. - Lebih 1,000 anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berarak ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini bagi menyerahkan memorandum bantahan terhadap pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959. Bantahan itu dibuat sempena sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini bagi membentangkan Enakmen Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor (Pindaan) 2011 bagi mengembalikan peruntukan sultan perlu mendapatkan nasihat Menteri Besar berhubung pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Kumpulan NGO itu yang disertai Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mula berkumpul di Dataran Shah Alam di sini sejak pukul 8 pagi sebelum berarak sejauh kira-kira satu kilometer ke bangunan SUK. Wakil kumpulan itu, Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo (gambar) menyerahkan memorandum berkenaan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burung Datuk Mohd Shamsudin Lias. Terdahulu, kumpulan NGO tersebut melafazkan ikrar taat setia kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selain mendesak supaya Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan dengan serta merta. Hadir sama dalam perhimpunan itu ialah Pengerusi GAPS, Hamizun Khairuddin; Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abdullah Mansor; Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi M. Zin dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Ungku Salleh Ungku Jamal. Ketika ditemui pemberita selepas perhimpunan itu, Ismail berkata, sidang DUN hari ini hanya merupakan mainan politik yang dicipta oleh Abdul Khalid. ''Umum mengetahui bahawa kerajaan pakatan pembangkang di Selangor tidak mempunyai undi majoriti dua pertiga dan tidak mungkin perlembagaan negeri boleh dipinda tanpa sokongan wakil rakyat BN. ''Pindaan ini juga adalah satu perbuatan sia-sia kerana ia jelas bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang telah menggariskan kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awm (SPA)," tegasnya. Cadangan pindaan perlembagaan negeri timbul setelah Menteri Besar mempertikaikan pelantikan Datuk Mohammed Khusrin sebagai SUK berkuatkuasa pada 1 Januari lalu yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negera, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan pada 27 Disember tahun lalu. Pada hari yang sama, sekretariat akhbar Menteri Besar mengeluarkan kenyataan bahawa pelantikan SUK baru itu masih belum muktamad. Ahmad Nawawi pula berkata, cadangan meminda perlembagaan negeri ini jelas menunjukkan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sebagai derhaka dan tidak menghormati Sultan Selangor. "Mereka cuba menipu rakyat dengan mendakwa pindaan itu dibuat untuk mengembalikan kuasa sultan sedangkan ia hanya akan menghakis kuasa Tuanku. ''Ini adalah satu cubaan untuk memberi kuasa mutlak kepada Menteri Besar supaya beliau boleh bertindak sesuka hati dalam hal pentadbiran kerajaan negeri," jelasnya. Tambahnya, kerajaan PKR sering menipu rakyat apabila mendakwa mereka sentiasa menghormati Sultan Selangor sebagai ketua di negeri ini. "Sampai sekarang Menteri Besar masih mempertikaikan pelantikan Mohammed Khusrin sebagai SUK negeri walaupun selepas beliau mengangkat sumpah taat setia di hadapan Tuanku," katanya. | ||
Kerajaan negeri terperangkap mainan politik sendiri Posted: Kerajaan negeri terperangkap mainan politik sendiriSHAH ALAM 24 Jan. – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohamad Satim Diman menyifatkan kerajaan Parti Keadilan Selangor (PKR) Selangor 'terperangkap' dengan strategi politik mereka sendiri berhubung isu pindaan perlembagaan negeri. Katanya, keputusan sidang DUN yang menolak pindaan untuk memberikan 'kuasa menasihat' Sultan Selangor kepada Menteri Besar hari ini jelas menggambarkan bahawa ia adalah muslihat politik yang dirancang oleh kerajaan negeri. Ini kerana katanya, kerajaan negeri sebenarnya telah tahu sejak dari awal lagi bahawa pindaan tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mempunyai majoriti dua pertiga DUN. "Bagaimanapun, mereka tetap mahukan pindaan ini dibuat meskipun tidak ada majoriti DUN. Jadi apakah yang sebenarnya mahu dibawa oleh kerajaan negeri. "Kita (Barisan Nasional) melihat bahawa usul pindaan ini merupakan satu taktik politik mereka hanya mahukan kuasa kepada Menteri Besar dalam melantik tiga pegawai eksekutif negeri, bukannya mengembalikan kuasa kepada Sultan Selangor. "Sebab itulah kita menolak usul pindaan ini. Kita lihat sendiri bagaimana hipokrasi kerajaan negeri dalam isu pindaan ini, mereka terperangkap dengan permainan politik mereka sendiri," katanya kepada pemberita selepas sidang DUN di sini hari ini. Dalam undi belah bahagian sidang DUN hari ini, keputusan pindaan itu tidak dapat dilaksanakan apabila hanya 34 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menyokong manakala 20 ADUN lagi menentang. Keputusan itu diumumkan oleh Speaker DUN, Datuk Teng Chang Khim kira-kira pukul 6.15 petang ini. Dalam pada itu, Mohamad Satim turut menggesa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya segera membenarkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohammed Khusrin Munawi mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapan Menteri Besar secepat mungkin. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan