Utusan Online - Jenayah |
PDRM bersedia peningkatan pengguna lebuh raya Posted: PDRM bersedia peningkatan pengguna lebuh rayaKUALA LUMPUR 30 Jan. - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah bersiap sedia dengan jumlah pengguna lebuh raya yang dijangka meningkat 50 peratus sempena cuti Tahun Baru Cina minggu ini. Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, berdasarkan syarikat konsesi lebuh raya, lebih 1.5 juta pengguna akan menggunakan lebuh raya sepanjang cuti umum tersebut. Beliau memberi jaminan pihaknya bersiap sedia mengawal dan memastikan kadar kemalangan dapat dikurangkan. "Oleh itu, kita meningkatkan kawalan di semua lebuh raya bagi memastikan kadar kemalangan dapat dikawal selain memastikan lebuh raya dalam keadaan selamat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini. Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh menyasarkan menurunkan kadar kemalangan maut dan kecederaan jalan raya daripada 18.5 peratus ke 10 peratus pada setiap musim perayaan di negara ini. Beliau berkata, kadar itu mampu dicapai sekiranya semua pihak dapat bekerjasama untuk memberi khidmat nasihat kepada pengguna jalan raya. Jelas Abdul Aziz, pihaknya menjangka penambahan jumlah kenderaan di semua lebuh raya pada 1 dan 2 Februari iaitu sehari sebelum perayaan Tahun Baru Cina. Katanya, selain itu, pada 5 dan 6 Februari juga dijangka mengalami kesesakan di lebuh raya ekoran orang ramai pulang semula ke ibu negara. Beliau berkata, kehadiran semua anggota polis termasuk anggota tugas am yang sama-sama bertugas sempena cuti umum itu dilihat dapat mengurangkan kemalangan, sekali gus kadar jenayah. "Orang ramai berasa selamat dengan kehadiran pihak polis di kawasan laluan masing-masing," katanya. Selain itu, beliau turut menasihatkan orang ramai mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu secara berhemah. Katanya, kejayaan Ops Sikap yang dilancarkan PDRM bukan terletak pada agensi-agensi penguatkuasaan sebaliknya bergantung kepada sikap pemandu itu sendiri. | ||
50 motosikal disita, 132 saman dikeluarkan Posted: 50 motosikal disita, 132 saman dikeluarkan
KUALA LUMPUR 30 Jan. - Sebanyak 50 buah motosikal disita manakala 132 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu di empat lokasi berasingan di ibu negara, semalam. Operasi lebih dua jam bermula pukul 12 tengah malam itu dijalankan oleh polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Empat lokasi terlibat adalah di Jalan Raja Laut, Jalan Tunku Abdul Rahman dan dua lokasi di Jalan Sultan Ismail. Menurut Pegawai Turus Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Ng Sook Leong, sebanyak 359 kenderaan telah diperiksa dalam operasi tersebut. "Operasi itu melibatkan 10 pegawai dan 69 anggota trafik, JPJ (sembilan), JAS (lapan) dan DBKL (tiga)," katanya ketika ditemui di lokasi operasi, di sini awal pagi ini. Sementara itu, polis turut menyerbu tiga pusat hiburan di Jalan Doraisamy di sini yang dikesan membenarkan remaja bawah umur memasuki premis mereka. Dalam serbuan pukul 2.30 pagi itu, seramai 19 daripada 200 pengunjung yang diperiksa berusia antara 17 dan 18 tahun. Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman, kesemua remaja berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi bagi siasatan lanjut. "Serbuan itu membuktikan ada pengusaha pusat hiburan membenarkan remaja bawah umur masuk premis mereka untuk mengaut untung. "Siasatan awal menunjukkan, remaja berkenaan mengikuti rakan dewasa mereka untuk mengaburi mata orang awam," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan