Selasa, 25 Januari 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Meluncur di udara

Posted:

Meluncur di udara

Meluncur di udara

Oleh AZMAN MD. NOOR
utusankedah@utusan.com.my


BERADA di ruang udara sewaktu senja antara satu kemestian ahli sukan udara di Sungai Petani, Kedah. - utusan/Azaman Md. Noor


SUNGAI PETANI 24 Jan. - Jika ingin membuktikan anda seorang yang berani menyahut cabaran melayangkan diri di udara, maka sukan paramotor adalah paling sesuai untuk diceburi.

Sukan yang membolehkan tubuh anda 'terbang' sebenarnya adalah antara sukan udara yang paling selamat dan kini mula mendapat tempat di kalangan belia.

Sebab itu jurulatih sukan paramotor, Norhisham Mansur, 28, yang menyertai sukan berkenaan sejak tahun 2000 mahu memperkenalkannya kepada anak-anak muda yang gemarkan cabaran kerana ia juga menjanjikan keseronokan.

Lantaran itu Norhisham telah memulakan langkah bersama beberapa rakannya di sekitar negeri ini dengan mengajak lebih ramai anak muda berjiwa berani bersamanya menyertai sukan yang masih baru di kalangan masyarakat negara ini.

Anak bekas polis itu berkata, setiap minggu bertempat di kawasan tanah lapang belakang Hotel Cinta Sayang di sini mereka menunjukkan aksi bagi memperkenalkan sukan itu.

"Kita adakan sesi latihan setiap minggu untuk menarik lebih ramai mereka yang berminat menyertai sukan paramotor," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Dengan harga sebuah enjin dan peralatan antara RM3,000 hingga RM15,000 iaitu bergantung kepada jenis dan keupayaan, maka peserta sukan itu sudah mampu menikmati keseronokan di udara.

Anak ketiga daripada tujuh beradik itu yakin sekiranya sukan udara itu diperkenalkan secara serius, maka lebih ramai peminat sukan akan menyertainya kerana sebelum ini aktivitinya kurang didedahkan kepada umum.

"Paling menyeronokkan apabila kita mampu berada di ruang udara sehingga ketinggian 2,000 kaki. Ketinggian dan masa 'terbang' bergantung kepada diri sendiri," katanya.

Mengenai latihan, Norhisham berkata, antara satu hingga dua minggu diperlukan untuk membolehkan seseorang belajar sehingga mampu terbang secara solo.

Bagaimanapun katanya, bagi pelatih baru yang terbang secara solo pihaknya akan memandu arah menggunakan kawalan radio bagi menentu arah terbang dan angin.

Norhisham menambah, pihaknya mengenakan bayaran sebanyak RM3,000 untuk sesi belajar termasuk penyediaan nota, teori dan praktikal sebelum terbang secara solo.

Katanya, bayaran itu termasuk kos peralatan semasa peserta menjalani kursus sehingga berjaya.

Dalam pada itu, beberapa ahli sukan paramotor mengakui pada mulanya mereka agak gementar, namun perasaan itu semakin berubah apabila mereka melayang di udara.

Seorang kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM), Ku Ahmad Hafiz Ku Nayan, 22, mengakui hakikat itu pada pertama kali mahu meluncur di udara, namun kebimbangan bertukar seronok sebaik sahaja tubuh mula berada di udara.

Dia yang sudah beberapa bulan mengikuti latihan itu semakin teruja untuk 'terbang' setiap hari.

"Apabila sudah berada di udara, hati semakin seronok untuk terus giat aktif dalam sukan udara ini," ujarnya.

Rakannya, Ahmad Hafizul Hafiz Abdul Talib, 30, berkata, dia sudah lama tertarik dengan sukan itu bagi membuktikan kemampuan diri dalam menyahut cabaran melayang di udara.

"Bukan mudah untuk kita meyakinkan diri bahawa kita mampu 'terbang' tetapi saya sudah buktikan hakikat itu," katanya.

Dia berharap lebih ramai golongan muda turut serta dalam sukan itu bagi membantu mempopularkannya.

Bagi Mohd. Zamri Ibrahim, 35, pula, setiap kali dia berada di ruang udara, bermakna satu pengalaman berharga diperoleh sekali gus menguatkan lagi keyakinan dirinya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Sedut pasir ancam penduduk

Posted:

Sedut pasir ancam penduduk

Sedut pasir ancam penduduk

Oleh OPAT RATTANACHOT
uspetani@utusan.com.my


PENDUDUK menunjukkan jentera mengorek pasir Sungai Inchong yang berleluasa di Kampung Air Puteh, Serdang, Kedah, semalam.


BANDAR BAHARU 24 Jan. - Lebih 600 penduduk di tiga kampung dalam Mukim Serdang, dekat sini, sudah lama tidak tidur lena terutama setiap kali hujan lebat.

Selain bimbang banjir, rata-rata mereka juga risau mungkin kehilangan tempat bercucuk tanam apabila tebing Sungai Inchong semakin terhakis akibat kegiatan menyedut pasir.

Kampung tersebut ialah Kampung Air Poteh, Kampung Banggul Leban dan Kampung Kuala Air Puteh.

Seorang penduduk Mohd. Kassim Sharif, 54, berkata, kegiatan menyedut pasir secara tidak terkawal itu dikesan aktif sejak empat bulan lalu.

Katanya, keadaan sungai yang cetek menyebabkan aliran air menjadi perlahan ketika hujan lebat dan mengakibatkan kawasan rumah penduduk dinaiki air setinggi antara satu hingga dua meter.

"Kawasan ini memang terkenal dengan banjir kilat. Namun, ia kini diburukkan lagi dengan kegiatan mengorek pasir secara tidak terkawal," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Bagi seorang pengusaha kebun kelapa sawit, Sharifah Fatimah Sham Syed Abdullah, 58, beratus-ratus petani terjejas mata pencarian ekoran tanah mereka ditenggelami air.

"Setiap kali banjir, para pekebun terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak untuk menggantikan pokok yang mati dan membersihkan kebun," katanya.

Seorang lagi penduduk, Ibrahim Mat, 66, pula mendakwa kegiatan mengorek pasir sungai tersebut dikesan makin berleluasa selepas kerajaan negeri meluluskan banyak permit kepada pengusaha luar.

"Selain orang kampung dan pekebun, para nelayan sungai juga tidak dapat mencari ikan kerana Sungai Inchong yang dihubungkan ke Sungai Anak Kerian tercemar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Air Puteh, Helmi Abdul Khan mendakwa, semakan dengan pihak berkuasa mendapati salah satu lesen mengorek pasir yang diluluskan tersebut dimiliki oleh sebuah syarikat milik kerajaan negeri.

Katanya, pihaknya juga telah beberapa kali membuat bantahan secara rasmi di Pejabat Tanah dan Daerah Bandar Baharu serta Pejabat Tanah dan Galian Negeri.

"Setiap kali aduan dibuat, kerja-kerja mengorek pasir diarahkan berhenti. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu ia kembali aktif," katanya.

Helmi bersama penduduk bercadang mengemukakan aduan secara rasmi ke pejabat Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Pengerusi Penyelaras Parlimen Kulim/Bandar Baharu Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir ketika dihubungi pemberita melahirkan rasa kesalnya dengan kejadian tersebut.

Katanya, sikap rakus kerajaan negeri yang meluluskan banyak lesen mengorek pasir di kawasan berkenaan telah menimbulkan implikasi negatif kepada penduduk.

"Oleh kerana mahu mengaut cukai, kepentingan rakyat diabaikan dan ini tidak mencerminkan keadaan Kedah Sejahtera yang dilaungkan Azizan selama ini," katanya.

Beliau berharap, kerajaan negeri dapat membatalkan lesen berkenaan secepat mungkin.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Puteri UMNO bantu mangsa kebakaran

Posted:

Puteri UMNO bantu mangsa kebakaran

Puteri UMNO bantu mangsa kebakaran


SHAHANIM Mohd. Yusof (dua dari kiri) menyampaikan bantuan barangan elektrik kepada salah seorang mangsa kebakaran di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini. - utusan/ OPAT RATTANACHOT


SUNGAI PETANI 24 Jan. - Dua keluarga mangsa kebakaran di Kampung Belakang Sekolah Datuk Bijaya Setia, Jalan Kuala Ketil di sini bingung memikirkan masa depan masing-masing selepas mereka kehilangan tempat berteduh dalam kejadian baru-baru ini.

Seramai 14 ahli keluarga terlibat yang tinggal sehelai sepinggang kini terpaksa menumpang di sebuah rumah milik seorang penduduk yang bersimpati dengan nasib mereka.

Seorang ahli keluarga tersebut, R. Chandran, 51, berkata, mereka kini menunggu bantuan pihak bertanggungjawab kerana tidak mampu untuk membina semula rumah yang musnah terbakar itu.

Katanya, meskipun pemimpin kerajaan negeri serta pertubuhan bukan kerajaan ada melawat mereka selepas kebakaran tetapi belum ada sebarang perkembangan mengenai bantuan yang akan diterima.

"Kami berhasrat membina rumah baru di tapak asal memandangkan kami tidak mempunyai tanah lain lagi," katanya ketika ditemui selepas kunjungan Naib Ketua Puteri UMNO, Shahanim Mohd. Yusoff di sini, baru-baru ini.

Shahanim yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Sungai Petani turut menyampaikan bantuan makanan dan wang tunai kepada mangsa terbabit.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu, dua rumah penduduk di kampung tersebut musnah akibat dijilat api yang dikatakan bermula di sebuah rumah kosong bersebelahan.

Chandran berkata, kejadian itu berlaku semasa dia dan isteri serta tiga anaknya sedang berehat di rumah.

"Kejadian berlaku dalam tempoh singkat. Kami hanya mampu menyelamatkan diri dan semua barang termasuk pakaian sekolah anak-anak hangus dalam kebakaran," ujarnya.

Sementara itu, Shahanim berkata, bantuan yang dihulurkan itu diharapkan dapat meringankan beban dua keluarga mangsa kebakaran terlibat.

"Puteri UMNO tampil menghulurkan bantuan tanpa mengambil kira latar belakang politik, kaum dan agama. Kita juga berharap keluarga ini segera dibantu oleh agensi yang berkenaan supaya mereka dapat menjalani kehidupan seperti biasa," ujarnya.

Tambahnya, pihaknya akan berusaha memanjangkan permohonan kepada Bahagian Perumahan Kerajaan Kedah bagi membolehkan keluarga tersebut menetap sementara di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paya Nahu dalam tempoh terdekat.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan