Jumaat, 28 Januari 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Kes Kugan: MIC, keluarga tuntut badan bebas siasat

Posted: 28 Jan 2011 01:15 AM PST

KUALA LUMPUR, 28 Jan — Dalam reaksi segera ekoran keputusan mahkamah membebaskan konstabel polis daripada tuduhan kes kematian A. Kugan pagi tadi, MIC mahu perdana menteri mengadakan sebuah badan bebas untuk menyiasat kes-kes suspek mati ketika berada dalam tahanan polis.

Pada sidang media berasingan, keluarga Kugan juga mahu kerajaan menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan bagi menyiasat kes itu.

"Saya meminta PM menubuhkan sebuah badan bebas, seperti Suruhanjaya Polis, dengan kuasa penuh untuk menerima aduan, menyiasat dan mengeluarkan laporan dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab terhadap kematian-kematian ketika dalam tahanan polis," kata Ketua Penerangan MIC pusat S. Murugessan dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, langkah itu akan mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis dan memperlihatkan keseriusan kerajaan mengendalikan kejadian-kejadian itu.

Kata beliau, bilangan kes kematian ketika dalam tahanan di negara ini semakin banyak.

"Kes terbaru seorang anggota polis dibebaskan menunjukkan kita tiada mekanisme yang sesuai untuk memantau dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke atas kematian semasa dalam tahanan ke muka pengadilan," katanya.

Murugessan berkata buat masa ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kes-kes kematian tahanan di lokap dan "keadilan mesti kelihatan diberikan" kepada mereka yang terbabit.

"Dalam keadaan penyiasat adalah dari badan yang sama (pasukan polis), di mana kematian didapati berlaku, maka isu berkecuali dan ketelusan juga bangkit," kata beliau.

Pagi tadi, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Konstabel V. Navindran daripada dua tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang tahanan polis, A. Kugan, dua tahun yang lalu.

Hakim Aslam Zainuddin berkata setelah meneliti hujah pihak pendakwaan dan pembelaan, beliau mendapati pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie dalam pertuduhan terhadap Navindran.

Beliau tidak memberikan sebarang alasan penghakiman.

Navindran, 28, dituduh melakukan  kesalahan itu di bilik soal siasat Balai Polis Taipan USJ, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 4 petang pada 16 Januari 2009.

Kugan, 23, suspek kes curi kereta mewah, meninggal dunia ketika dalam tahanan polis.

Navindran, yang jelas kelihatan tersentak dan terharu dengan keputusan mahkamah, memberitahu pemberita bahawa beliau amat gembira dengan keputusan itu dan ingin kembali bertugas semula secepat mungkin.

Dalam pada itu, ibu saudara Kugan, Renuka Subramaniam, memberitahu pemberita di Petaling Jaya bahawa keluarganya mahu keadilan diberikan ekoran kematian Kugan.

"Kami tidak puas hati langsung dengan keputusan ini. Kami sebagai rakyat Malaysia merasakan tidak selamat memandangkan kita masih boleh mati walaupun berada dalam tahanan polis," katanya ketika berada di sini ibu Kugan.

Justeru katanya keluarga mereka ingin tahu bagaimana Kugan mengalami kecederaan jika tiada pihak yang bertanggungjawab.

"Jika pihak polis dibenarkan untuk terus bertindak macam ini, maka ramai lagi akan mati ketika dalam tahanan," katanya.

Ibu Kugan, N. Indira, pula berkata, dia hanya boleh mengatakan bahawa mereka mahu Kugan kembali.

Naib Presiden PKR N. Surendran juga mengesahkan keluarga itu akan meminta agar suruhanjaya diraja siasatan diadakan berhubung kematian Kugan.

"Kes ini perlu dibuka semula dan kesemua mereka yang bertanggungjawab perlu didakwa melakukan pembunuhan, ini kes bunuh," katanya lagi.

Surendran berkata, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail telah gagal dalam tanggungjawabnya memastikan keluarga Kugan menerima keadilan.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Mesyuarat pertama suruhanjaya siasatan Teoh Beng Hock esok

Posted: 28 Jan 2011 01:02 AM PST

KUALA LUMPUR, 28 Jan — Suruhanjaya Siasatan bagi menyiasat kematian pembantu khas seorang anggota exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock, akan mengadakan mesyuarat pertamanya esok.

Setiausaha Suruhanjaya Siasatan Datuk Saripuddin Kasim berkata mesyuarat itu akan diadakan pada pukul 11.30 pagi di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta. 

"Mesyuarat kedua pula dijadualkan pada 9 Februari 2001 manakala siasatan dijadualkan pada 14 Feb 2011," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan suruhanjaya itu, yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Chen Yuen, bagi menyiasat kematian Teoh.

Teoh ditemui mati selepas beliau disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua tahun lepas.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi  kenyataan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Suruhanjaya itu antara lain akan menyiasat sama ada terdapat sebarang ketidakwajaran dalam perjalanan siasatan SPRM terhadap Teoh berhubung dengan Perintah-perintah Tetap dan amalannya selain mengesyorkan sebarang tindakan yang sesuai, jika perlu.

Suruhanjaya itu dianggotai dua bekas hakim dan dua pakar forensik, dibantu oleh empat pegawai undang-undang.

Mereka ialah bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman dan bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan manakala pakar forensik terdiri daripada Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom. — Bernama

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan